15 December, 2014

Alhamdulillah, selesai dengan jayanya Majlis Perletakan Batu Asas Asrama Puteri Baitul Husna Kuantan, Rumah Anak Yatim Dan Fakir Miskin. Majlis disempurnakan oleh Tn. Hj. Ahmad Azam Ab Rahman @ Abah Ammar, Timbalan Presiden Wadah Pencerdasan Umat (WADAH). Turut hadir tuan tanah yang menyumbangkan tapak, penyumbang2 tetap serta para penggerak dan pendokong Baitul Husna Kuantan. 

Ayuh kita terima tawaran jual beli oleh Allah SWT untuk merebut syurgaNya di Akhirat nanti atas asbab infaq dan sumbangan kita dalam kerja-kerja kebajikan, menyantuni anak yatim, menyumbang kepada fakir miskin.

Sumbangan untuk pembangunan boleh disalurkan kepada akaun 'Baitul Husna' Bank Islam 06082010001642 atau akaun 'Pertubuhan Kebajikan Baitul Husna Kuantan' BSN 0611441000083024.

Maklumat lanjut boleh diajukan kepada Sdr. Norhasanin Ahmad 0169223407.
 
 

11 December, 2014


Menurut Wikipedia, Zombie ialah mayat hidup yang digambar di dalam filem seram atau fantasi. Mayat adalah jasad yang sudah mati, tidak bernyawa. Bermakna, tidak lagi bertindak seperti jasad yang masih hidup. Disebabkan Zombie digambarkan sebagai mayat hidup, bolehlah kita bayangkan yang mayat tersebut masih boleh bergerak, tetapi tidak lagi bernafas, berkata-kata, makan, minum, dan lain-lain.

Ironinya, zombie sudah berada di dalam rumah kita sendiri pada hari ini. Ya, rumah kita, rumah saya, dan rumah anda semua. Tentu sekali bukan Zombie yang ditonton di kaca TV seperti cerita-cerita karya Mamat Khalid - Zombie Kampung Pisang, Zombie Kilang Biskut, dan lain-lain. Zombie di dalam rumah ini benar-benar mayat yang hidup!

Apabila ahli-ahli rumah masing-masing memegang telefon pintar, tablet dan laptop, hanyut dalam dunia maya secara tersendiri. Masing-masing sibuk dengan urusan rangkaian sosial dan permainan atas talian, sehinggakan tiada dialog dan perbualan dicetuskan sesama ahli-ahli rumah. Senyap sunyi, tetapi ada pergerakan fizikal sekali sekala. Maka, kita sendirilah Zombie di dalam rumah yang dikatakan itu...

04 December, 2014

Catatan terakhir di dalam blog ini ialah pada 2-Julai-2014. Hari ini 4-Dis-2014. Bermakna 5 bulan tiada apa-apa catatan yang dikemaskinikan di dalam blog ini.

Ini sangat menggusarkan. Momentum catatan sudah berkurangan.

Perlu segera kembali menulis. Berkongsi pandangan dan cerita semasa. Otak juga akan bergerak dan berfikir. Demi meninggalkan sesuatu yang boleh dimanfaatkan oleh semua.

02 July, 2014







19 June, 2014


Pagi ini selepas menghabiskan bacaan buku Ahmad Ammar, Tarbiyah Sesudah Kematian, tidak lengkap rasanya hari ini jika tidak mencatatkan pengajaran dan ibrah yang perlu digali daripada buku ini. Apatah lagi dengan Fenomena Ammar yang masih membara di seluruh negara. Termasuklah selepas kami menganjurkan Bicara Inspirasi Ammar Peringkat Negeri Pahang pada bulan Mei lalu.

Video yang dihasilkan oleh GPTD - Ahmad Ammar Dalam Kenangan (1993-2013) diulang tonton untuk menyubur inspirasi, menggerak minda, menyusun perancangan. Alunan seruling ney itu sungguh menggegarkan jiwa.

Mari kita bedah buku ini setakat yang termampu. Buku ini disusun oleh Mejar (B) Mohammad Qayyum A.Badaruddin. Beliau seorang perunding motivasi yang giat menulis buku-buku motivasi dan menganjurkan program-program latihan dan motivasi. Buku ini dianggap buku rasmi kedua selepas buku Cerita Cinta Ahmad Ammar yang dijadikan iringan dalam program Jelajah Inspirasi Ammar ke seluruh negara.

Buku ini mengumpulkan catatan-catatan yang dihasilkan daripada pengisian yang disampaikan oleh kedua-dua ibu bapa Ammar iaitu Hj. Ahmad Azam dan Pn. Nur Azlina dalam program-program di seluruh dunia. Pengisian mengenai Ammar ini merangkumi topik Wawasan Ummatik yang diterapkan pada jiwa anak muda bernama Ammar serta akhlak yang ditonjolkan oleh Ammar kepada keluarga, guru, sahabat, jiran dan ummah seluruhnya.

Berikut beberapa isi yang boleh dikongsi bersama :
  • Ammar membesar dengan inspirasi keluarga bagi menjadi pejuang agama yang memenuhi impiannya sendiri serta impian ayahnya untuk mencontohi Sultan Muhammad Al-Fatih.
  • Wawasan Ummatik ayahnya itu adalah untuk mewaqafkan sosok tubuh Ammar kepada ummat tanpa memikirkan kerjaya selepas pengajian, maka Allah memudahkan segala urusan.
  • Watak sahabat Nabi bernama Abu Ayyub Al-Ansori juga menjadi inspirasi dan dianggap sebagai penunjuk jalan supaya terus kekal dalam jalan yang dipilih.
  • Peranan Madrasah Hayrat sangat berkesan untuk membina kerohanian yang kental dalam diri Ammar. Di sana dia mempelajari Risalah An-Nur tulisan Badiuzzaman Said Nursi yang merupakan kitab tafsir Quran bertema bagi meransang rakyat Turki dalam mempertahankan akidah dan Islam.
  • Ternyata selepas menguasai Risalah An-Nur selama 8 bulan sahaja, transformasi telah berlaku dalam diri Ammar. Ini dapat dilihat dalam catatan-catatan dalam buku nota beliau.
  • Semangat untuk menjadi pengkaji tamadun sangat kuat dalam dirinya. Dalam apa jua kesempatan dia mengembara untuk mempelajari dari tempat yang dilawatinya. Syria, Kemboja, Indonesia adalah antara negara yang sempat dilawatinya.a

18 June, 2014


17 June, 2014

sumber

Musim anak-anak menyambung pengajian ke IPTA/S sedang berlangsung. Di sana dan sini diadakan sesi Hari Pendaftaran Pelajar Baru untuk sesi kemasukan 2014 ini. Tentu sahaja ini adalah masa yang dinanti-nantikan oleh anak-anak lepasan SPM/STPM/STAM dan lain-lain. Ini kerana mereka akan melangkah ke alam baru kehidupan iaitu menjadi  warga pengajian tinggi negara ini.

Sebelum ini kita ada bincangkan keperluan untuk mendapat maklumat selengkapnya sebelum memilih untuk menyambung pengajian serta keprihatinan ibu bapa dalam menentukan hala tuju pengajian tinggi anak-anak mereka.

Di pihak anak-anak pula sudah tentu ada pertimbangan yang dibuat sebelum memilih mana-mana IPTA/S untuk menyambung pengajian mereka. Di antaranya :
  1. IPTA/S berkenaan menawarkan bidang pengajian yang mereka minati. Bidang yang diminati sangat penting kerana ini akan menjadikan pelajar berkenaan boleh memberikan tumpuan yang tinggi dalam pengajian mereka.
  2. IPTA/S berkenaan menawarkan bidang pengajian yang mempunyai permintaan tinggi di pasaran kerja. Kebimbangan tiada kerja selepas habis belajar masih lagi menjadi penghalang kepada pelajar-pelajar dan keluarga  mereka untuk membuat pilihan pengajian tertentu.
  3. Dorongan kawan-kawan lebih besar pengaruhnya dalam memilih IPTA/S dan bidang pengajiannya. Mereka yang sudah ada kawan-kawan baik di sekolah seolah tidak mahu berpisah walaupun selepas melanjut pengajian ke peringkat IPTA/S.
  4. Pengiktirafan dan akreditasi khususnya daripada MQA yang sudah mula difahami oleh pelajar-pelajar sejak di sekolah lagi. Namun, maklumat mengenai akreditasi MQA ini masih lagi difahami separuh masak oleh mereka terutama yang melibatkan program pengajian baru yang baru diluluskan untuk dijalankan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia dan MQA.
  5. Pengaruh ibu bapa di rumah serta mungkin juga pengaruh guru dan kaunselor di sekolah yang mahu seseorang anak/pelajar itu memilih IPTA/S dan bidang pengajian yang mereka kehendaki. 

Perkara-perkara yang tidak menjadi pertimbangan di kalangan anak-anak untuk memilih IPTA/S dan program pengajian adalah seperti berikut :
  1. Kemudahan, infrastuktur, kelayakan pensyarah, persekitaran kondusif, sistem pengurusan kualiti akademik, testimoni alumni, sokongan kerajaan negeri dan persekutuan, aktiviti ko-kurikulum, sistem sokongan bina insan, dan lain-lain yang disediakan di sesebuah IPTA/S.
  2. Yuran murah dan kompetetif kerana isu yuran tetap dianggap mahal khususnya di IPTS walaupun ada IPTS yang mampu menawarkan kemudahan all-in merangkumi asrama penginapan.
  3. Reputasi sesebuah IPTA/S terutama penarafan yang diberikan oleh pihak kementerian seperti  SETARA, MyQUEST selain perakuan jaminan kualiti pengurusan seperti ISO, MS dan lain-lain.

16 June, 2014

Rasanya tidak lengkap pagi ini jika tidak menyebarkan seluas-luasnya gambar ini. Gambar ini menceritakan mengenai penyokong-penyokong negara Jepun yang membersihkan kawasan tempat duduk mereka selepas menonton dan menyokong pasukan mereka dalam World Cup 2014 Brazil.

Gambar menceritakan segala-galanya tanpa menipu.

 

Komen-komen yang diterima daripada twit-pic ini juga memuji sikap penyokong-penyokong negara matahari terbit tersebut.


Justeru, marilah sama-sama kita contohi mereka. Amalan kebersihan diberikan perhatian tinggi dalam kehidupan. Tentu sahaja perbuatan ini sudah menjadi sebati dalam kehidupan mereka seharian.

Mereka melakukan perbuatan yang "World Class" di dalam pertandingan bolasepak World Cup.

13 June, 2014




Salam Nisfu Syaaban. Hari ini 15 Syaaban bermakna kurang lebih ada 2 minggu lagi kita akan berjumpa semula dengan bulan yang sangat dirindui iaitu Ramadan. Nisfu Syaaban kita ambil sebagai siren amaran yang  berkata "bersiap sedialah kamu untuk memanfaatkan kehadiran semula Ramadan". 

Moga-moga ALlah panjangkan lagi umur kita untuk bertemu semula dengan Ramadan.

Maka, seperti juga apabila kita menanti-nanti urusan lain dalam hidup, maka persiapan sesungguh-sungguhnya akan dilakukan. Contohnya, musim sambung belajar pada masa sekarang. Sudah tentulah pelajar dan ibu bapa akan memastikan segala persiapan disediakan secukupnya sebelum hadir pada hari pendaftaran pelajar baharu.

Buatlah persediaan secukupnya supaya kita tidak alami kejutan pada 1 Ramadan nanti. Lakukan pecutan terakhir supaya kita benar-benar bersedia untuk mengucapkan "Ahlan wa Sahlan, Marhaban, Ya Ramadan"

sumber
Namun, Ramadan kali ini benar-benar teruji dengan kehadiran FIFA World Cup 2014. Saya setuju dengan mesej-mesej dalam WhatsApp yang mengatakan WC2014 ini adalah sebahagian daripada fitnah akhir zaman. Direncana sedemikian rupa, tarikhnya yang bertembung dengan Ramadan, pesta yang dirancang, kegilaan yang serba mungkin.

Justeru, buatlah pilihan berpandukan iman. Wisel pertandingan sudah dibunyikan. Perlawanan sudah dimulakan. Kita lihat di hujung persaingan nanti. Samada kita menjulang Piala Dunia atau Piala Ramadan.

09 June, 2014

Tidak lengkap malah tidak wajar jika tidak mencatatkan perjalanan Program Bicara Inspirasi Ammar, Kebangkitan Jiwa Anak Muda, Peringkat Negeri Pahang yang telah kami usahakan pada bulan Mei 2014 yang lalu. Apatah lagi, nama Ammar itu sudah menjadi fenomena di negara ini dan sekian ramai anak muda yang mengikuti fenomena yang tercetus ini sejak pulangnya Ammar kepada Allah 7 bulan yang lalu.

Program Bicara Inspirasi Ammar, Kebangkitan Jiwa Anak Muda, Peringkat Negeri Pahang ini dianjurkan sempena Sambutan Hari Belia Negeri Pahang 2014. Bertarikh 8 & 9 Mei 2014, tiga lokasi telah dilawati oleh Abah Ammar  - Tn. Hj. Ahmad Azam dan Ibu Ammar - Pn. Nur Azlina iaitu MRSM Kuantan, Kuliah Lughah Waddin Pekan dan Maahad Tahfiz Negeri Pahang.

MRSM Kuantan
Lokasi pertama di MRSM Kuantan sangat menggalakkan. Semua pelajar MRSM Kuantan seramai  700++ orang memenuhi dewan untuk sama-sama berkongsi inspirasi mereka. Ternyata, sebahagian besar pelajar MRSM mengikuti Fenomena Ammar dengan membaca buku-buku yang telah diterbitkan. Peranan yang dimainkan oleh guru dan ustaz juga sangat baik sehingga pelajar-pelajar MRSM sangat menghargai sesi bicara yang diadakan di tempat mereka. MRSM Kuanta dipilih kerana mereka adalah pelajar aliran Sains seperti juga Arwah Ammar. Namun, memilih untuk mengikuti pengajian Sejarah di Turki walaupun telah mendapat keputusan cemerlang dalam aliran Sains semasa Peperiksaan SPM. Terima kasih warga MRSM Kuantan.
 

Kuliah Lughah Waddin Sultan Abu Bakar, Pekan
 Lokasi kedua ialah di Kuliah Lughah Waddin Sultan Abu Bakar, Pekan. Sengaja lokasi ini dipilih supaya Abah dan Ibu Ammar dapat  bertemu dengan  anak muda berlatar agama yang diharap akan menjadi pejuang agama Islam pada masa hadapan. Ternyata Inspirasi Ammar juga sangat subur di sini bukan sahaja di kalangan pelajarnya, tetapi pada diri Tuan Pengetua sendiri. Dalam ucapan aluannya, Tuan Pengetua membicarakan kisah hidup Ammar sehinggalah hari kemalangan yang mengakibatkan kematiannya. Semoga lebih ramai Ammar akan bangkit dari Kuliah pada masa akan datang.

Maahad Tahfiz Negeri Pahang
 Lokasi ketiga iaitu Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP), Tanjung Lumpur juga mencatat inspirasi yang sangat menarik. Bermula daripada kesungguhan CEOnya YH. Dato' Hj. Zulkifli Al-Hafiz sehinggalah kepada komitmen tenaga pengajar dan kerjasama pelajar-pelajar menjadikan program ini sangat berjaya. Lebih menarik pada hari yang sama, terdapat juga pelajar dan guru dari Sekolah Imtiyaz Kuala Terengganu yang kebetulan sedang berprogram di MTNP. Semoga jiwa-jiwa anak muda Islamiy dari MTNP akan meneruskan perjuangan yang dicetuskan oleh Ammar.



Buku berjudul Nahdah Jiwa Anak Muda, Di Sebalik Perjalanan Ahmad Ammar ini dianggap sebagai dokumentasi mengenai sistem kehidupan yang dilalui oleh Arwah Ammar sehingga dia menjadi sebutan ramai. Artikel-artikel yang disumbangkan oleh ahli keluarga, rakan seperjuangan, pemimpin Jamaah Hayrat Turki dan lain-lain harus dibaca dan diteliti dengan serius jika kita mahu membangkitkan lebih ramai Ammar. Buku ini baru seminggu diterbitkan semasa program di laksanakan di Pahang dan menjadi buku ketiga yang dikategorikan sebagai buku rasmi dalam siri Jelajah Fenomena Ammar ke seluruh negara.

28 April, 2014


Selepas sebulan keputusan SPM diumumkan, Institut Pengajian Tinggi (IPT) samada awam atau swasta; samada bertaraf universiti penuh, kolej universiti ataupun kolej, terus giat mempromosikan program-program pengajian yang mereka tawarkan. Karnival dan pameran pendidikan disertai oleh IPT di seluruh negara. Iklan-iklan sudah menguasai media cetak, elektronik serta media baru. Ini menunjukkan IPT benar-benar bersedia untuk menerima kemasukan pelajar baru terutama dari kalangan lepasan SPM 2013.

Adakah perkara yang sama -- bersedia untuk menyambung pengajian -- juga berlaku di kalangan bakal-bakal siswa-siswi ini?

Sudah tentulah keputusan seseorang lepasan SPM 2013 memilih satu IPT untuk menyambung pengajian bukan sahaja melibatkan diri mereka sahaja. Ibu bapa juga terlibat sama. Malah, ibu bapa juga tidak sedikit kebimbangan dan keprihatinan mereka jika anak mereka memilih IPT tertentu untuk menyambung pengajian.

Di kalangan ibu bapa kebiasaannya kebimbangan mereka berkisar di sekitar perkara-perkara berikut :
  1. Hal ehwal logistik : asrama / penginapan / rumah sewa / pengangkutan. Tidak dinafikan ibu bapa sangat prihatin mengenai hal ehwal logistik kerana untuk 'melepaskan' anak mereka menyambung pengajian, biarlah di tempat yang boleh menjamin perkara-perkara ini. Kebimbangan ini ada asasnya kerana zaman sekarang sangat berbeza berbanding dahulu. Isu keselamatan dan kebajikan anak-anak remaja seringkali menghantui pemikiran ibu bapa.
  2. Kredibiliti IPT : merangkumi pengiktirafan pengajian, kemudahan dan infrastruktur pengajian, serta kualiti graduan. Ibu bapa sekarang memang mempunyai maklumat yang banyak. Ini menjadikan mereka sentiasa peka dengan program pengajian yang ditawarkan oleh sesebuah IPT. Tentu sahaja ibu bapa akan membuat 'home work' kepada IPT yang dipilih oleh anak mereka supaya maklumat yang jelas akan diperolehi sebagai jawapan kepada tahap kredibilitii sesebuah IPT.
  3. Kos Pengajian : merupakan perkara paling popular yang menjadi perhatian ibu bapa. Soalan-soalan seperti ada biasiswa ditawarkan? layak kah anak saya mendapat pinjaman? jika tamat belajar boleh dapat pengurangan untuk bayar balik pinjaman? jika anak saya tiada kerja tetap bagaimana hendak membayar semula pinjaman? Jika biasiswa (hampir tiada) dan pinjaman mencukupi untuk dibayar kepada IPT, itu sudah melegakan ibu bapa. Jika tidak, ibu bapa perlu membuat penyelarasan belanja bulanan mereka dengan memasukkan duit poket anak yang menyambung pengajian di IPT.
Ya, ada beberapa lagi perkara yang menjadi bualan dan kebimbangan di kalangan ibu bapa. Insya-Allah dengan maklumat yang tepat sebagaimana yang diterangkan dalam post sebelum ini, ibu bapa tidak perlu terlalu bimbang untuk melepaskan anak mereak menyambung pengajian di mana-mana IPT yang menjadi pilihan.

10 April, 2014

Selepas keputusan SPM 2013 diumumkan pada Mac yang lalu, maka tibalah masa untuk meninjau-ninjau peluang menyambungkan pengajian ke peringkat lebih tinggi. Dalam zaman yang serba mencabar ini, syarat kelayakan akademik menjadi sangat penting untuk membina masa depan yang lebih baik. Jadi, berhenti belajar di peringkat SPM bukanlah pilihan jawapan yang perlu dipilih oleh lepasan SPM 2013.

Pelajar-pelajar yang mendapat keputusan cemerlang sudah tentulah peluang lebih cerah untuk menyambung pengajian di Pusat Matrikulasi KPM atau Pusat Asasi IPTA. Kedua-dua pusat ini merupakan jalan utama untuk menyambung pengajian Ijazah di IPTA dalam negara. Bermakna, jalan ini boleh dianggap sebagai paling cepat dan paling murah untuk kemudiannya nanti menggenggam segulung ijazah.

Kepada yang keputusan mereka sederhana sahaja dalam SPM yang lalu, tentulah sedikit sukar untuk bersaing dalam jalan utama tadi. Maka, tinjau-tinjaulah peluang yang lain seperti program-program diploma IPTA, politeknik dan IPT swasta. IPTS merangkumi universiti, kolej universiti dan kolej. Program-program diploma ini menjadi jalan kedua untuk  menyambung pengajian ke IPT awam kemudiannya nanti. Jika tidak, dengan diploma yang dimiliki sudah boleh mencari pekerjaan di industri yang menawarkan gaji yang baik.

Maka, dapatkanlah sebanyak mungkin maklumat peluang-peluang untuk menyambung pengajian. Kanival-karnival pendidikan yang dianjurkan oleh KPM, MARA dan lain-lain perlu dikunjungi untuk tujuan ini. Selepas mendapat maklumat yang secukupnya, barulah buat keputusan untuk memilih IPT dan program pengajian bagi meningkatkan lagi ilmu dan kelayakan akademik masing-masing.

Powered by Blogger.