19 April, 2010

Jangan Salah Taip URL

Apa yang hendak dikongsikan dalam entri ini sebenarnya perkara lama. Tapi tak salah kalau diulang-ulang untuk ingat-mengingati sesama kita yang rajin melayari blog-blog yang wujud pada hari ini.

Saya sertakan satu artikel yang sederhana panjang. Intipatinya ialah jangan salah taip URL blogspot, nanti anda akan dialih ke laman lain yang tidak berkaitan. Bukan sahaja tak berkaitan, malah lebih membimbangkan ianya adalah dakyah untuk menyebarkan maklumat mengenai agama Kristian.

Pengajarannya ialah, usaha menyebarkan ajaran agama di dunia ini tidak pernah padam. Agama-agama samawi terutamanya yang bersifat gerakan sentiasa dikembangkan oleh penganut-penganutnya. Persoalannya ialah sejauh mana kita memanfaatkan Internet dan memanipulasikan kecuaian pengguna Internet untuk kebaikan agama Islam yang dicintai?

Selamat membaca dan sebarang komen sangat-sangat dihargai..

HM - Kebenaran yang tidak tersusun akan dikalahkan oleh Kebatilan yang tersusun..

***************************************

Dunia pemblogan sangat popular pada era teknologi maklumat dan komunikasi masa kini. Pelbagai pelantar blog telah diwujudkan di dunia siber seperti Blogspot, Wordpress, Blogdrive, Blogmas, Livejournal, dan lain-lain. Selain kandungan blog berbentuk teks yang dikombinasikan dengan imej dan pautan bagi mengutarakan pandangan peribadi blogawan terhadap sesuatu topik, kandungan blog juga berfokus kepada kesenian (artlog), fotografi (photolog), lukisan (sketchlog), video (vlog), muzik (MP3log) dan audio (podcasting).

Di kalangan pelantar-pelantar blog yang wujud, Blogspot dilihat paling banyak digunakan oleh blogawan. Di antara ciri pelantar blog ini ialah antara muka mesra-mudah, ubahsuai template, tambahkan gambar dan video di dalam pos, membentuk komuniti peribadi dengan mewujudkan pengikut, komen daripada pembaca pos, memasukkan pos semasa bergerak dan aplikasi pihak ketiga yang memanfaatkan teknologi Web 2.0.


Untuk mengakses sesuatu laman Blogspot, pelayar boleh membuat carian kata kunci di enjin carian atau menaip terus URL penuh blog tersebut. Skema URL yang perlu ditaip ialah http://namablog.blogspot.com . Pernahkah kita terfikir apa yang akan terjadi jika pelayar tersalah menaipkan URL blog yang sebenar? Contohnya, pelayar telah menaip b-l-o-g-p-o-t dan tertinggal huruf S. Ataupun, pelayar menaip b-l-o-g-p-s-o-t dengan tertukar kedudukan huruf S dan P.

Kebiasaannya, jika URL tersalah ditaipkan satu mesej ralat akan dipaparkan oleh web browser dengan melaporkan kegagalan untuk mengenalpasti alamat IP laman web tersebut. Selain itu, mesej ralat mengatakan laman web tersebut tidak wujud juga selalu dipaparkan. Tetapi, berbeza jika anda menaip b-l-o-g-p-o-t atau b-l-o-g-p-s-o-t pada URL blogspot.com. Ini kerana blogpot.com dan blogpsot.com telah didaftarkan sebagai satu nama domain yang sah!

Dengan menggunakan laman who.is sebuah laman untuk memeriksa pendaftaran nama domain (dan alamat IP), blogpot.com dan blogpsot.com dimiliki oleh orang yang sama iaitu Doug Powell yang beralamat di St. Petersburg, Florida, USA. Nama domain ini telah dicipta pada 30 Oktober 2002 dan akan tamat pada 30 Oktober 2013. Alamat IPnya ialah 68.171.33.192 dan statusnya adalah ‘Aktif’.

Manipulasi yang dilakukan ialah apabila pelayar web tersilap menaip URL blog yang hendak dilawatinya dengan menaip http://namablog.blogpot.com (tertinggal huruf S) atau http://namablog.blogpsot.com (tertukar kedudukan huruf P dan S). Ini akan menyebabkan trafik data yang sepatutnya memaparkan kandungan blog sebenar telah di’rampas’ dan dialihkan kepada laman web azt.com atau blogpot.com atau blogpsot.com . Ironinya, laman web tersebut dinamakan Mega Site of Bible Studies and Information yang mengandungi segala macam maklumat mengenai agama Kristian. Maklumat-maklumat seperti 666, Armageddon, Audio Bible & Sermons, Bible Info and Statistics, Christian Info dan lain-lain sarat terkandung di dalamnya.

Perkara ini boleh dianggap sebagai usaha untuk menyebarkan ajaran agama Kristian dengan cara yang tersusun dan sistematik. Pendakyah-pendakyah agama Kristian sudah memanfaatkan teknologi maklumat dan komunikasi yang ada pada masa kini sebagai satu kesempatan atas kesilapan pengguna teknologi itu sendiri. Strategi begini sudah tentu tidak dapat difikirkan jika mereka hanya menyebarkan ajaran agama Kristian secara sampingan atau part-time. Sudah tentulah ada sekumpulan penganut agama Kristian yang saban waktu berfikir untuk menyebarkan agama mereka dengan lebih strategik dan berkesan.

Walaupun ada bantahan di kalangan blogawan yang seagama, tetapi ianya hanya menjurus kepada aspek terma dan syarat dalam mendaftarkan sesuatu nama domain. Mereka mendakwa pemilik nama domain ini telah melanggar syarat-syarat tersebut. Ada juga yang mempertahankan ‘rampasan trafik’ ini dengan mendakwa ianya bukanlah satu rampasan yang sebenar dan tidak salah daripada sudut undang-undang kerana kesilapan menaip nama domain telah menyebabkan laman web yang lain telah dicapai.

Sebagai perbandingan, umat Islam seharusnya terus berusaha untuk menyebarkan ajaran agama Islam dengan lebih baik. Penggunaan blog, laman web, forum, rangkaian sosial, bilik sembang dan lain-lain harus di tahap optimum bagi tujuan untuk penyebaran ajaran agama Islam. Ini kerana, usaha musuh-musuh Islam juga adalah sama pantasnya malah lebih lagi jika dibandingkan dengan umat Islam. Janganlah sampai satu ketika apabila ada umat Islam yang murtad kerana sentiasa melayari maklumat agama lain yang banyak terdapat dalam dunia siber.

1 maklum balas:

abadi romeo said...

Salam perkenalan..info yg baik untuk dikongsi bersama..

Post a Comment

Powered by Blogger.