24 April, 2010

Apabila Perasaan Cinta, Kasih dan Belas Terhadap Anak Sudah Tiada

Dalam tempoh sebulan dua kebelakangan ini kita telah dihidangkan dengan berita-berita yang menyahat hati. Kes-kes penderaan anak kecil sehingga mati dan kes buang bayi sememangnya menuntut kita semua untuk merenung sejenak ke dalam hati kecil kita sendiri. Cuba tanyakan kepada diri sendiri soalan-soalan seperti "Ke manakah hilang rasa belas kepada insan kecil?" atau "Adakah aku juga akan berbuat demikian kelak?".

Anak-anak adalah kurniaan ALlah SWT yang sangat bernilai. Tak peliklah apabila kita mengumpamakan anak-anak sebagai saham pada masa depan. Saham untuk membantu kita di hari-hari tua ataupun saham untuk membawa kita ke syurga ALlah yang diimpikan. Sebab itulah, memiliki anak tidak cukup sekadar melahirkan dan membesarkan sahaja. Malah, jauh lebih penting adalah untuk mengisi jiwa-jiwa khalifah muda ini dengan segala macam pedoman supaya kelak mereka akan tampil sebagaimana pengiktirafan ALlah dalam Surah Al-Baqarah ayat ke 30 itu.

Namun persoalannya sekarang ialah sejauh mana ibu bapa bersedia untuk melaksanakan tugas pendidikan ini. Sudah tentu ada yang mampu melunaskan dan sudah tentu ada yang tidak. Lebih membimbangkan di kalangan ibu bapa yang tidak mampu mendidik anak-anak akan bertindak di luar batas kemanusiaan seperti mana yang dapat kita lihat pada hari ini. Fenomena buang bayi dan dera anak-anak akan berterusan jika hati ibu bapa tidak mendapat titipan cahaya hidayah yang agung.

Saya terhimbau dengan karya besar Abdullah Nasih Ulwan - Tarbiyatul Aulad fil Islam yang perlu dibaca, dihadam dan diamalkan oleh kalangan ibu bapa. Dalam Fasal 2 di bawah tajuk Perasaan Naluri Terhadap Anak-Anak penulis telah memasukkan perbincangan asasi mengenai ibu bapa dan anak-anak iaitu perasaan cinta dan kasih merupakan fitrah. Beliau mengingatkan kita :

"Memang telah termaklum secara pasti, bahawa hati kedua ibu bapa terkerah ke atas kecintaan anak, berakar umbi di dalamnya segala sifat-sifat belas kasihan, rahmat terhadap si anak, kecenderungan keibu-bapaan dalam soal memeliharanya serta pengorbanan yang penuh dalam soal keselamatannya. Kalaulah tidak kerana adanya yang demikian, nescayalah bangsa manusia akan terhapus daripada muka bumi ini, dan nescayalah kedua ibu bapa tidak akan bersabar dalam soal pemeliharaan anak-anaknya, dan mereka tidak akan bertungkus lumus untuk mencukupi anak-anak serta mendidik mereka mengekang mata di waktu malam untuk menjaga mereka, dan memerhatikan maslahat-maslahat mereka"

Saudara-saudaraku, buku ini mengajar kita mendidik anak-anak mengikut jalur Islam yang Haq. Sudah tentulah bukan berlaku ketidak-sengajaan penulis meletakkan topik perasaan kasih dan cinta kepada anak-anak ini adalah fitrah sebagai topik-topik awal dalam bukunya. Maknanya, tak usah cakap lah nak didik anak-anak kalau kita sendiri tidak ada perasaan cinta, kasih,dan belas kepada anak-anak!

Maka tidak peliklah kalau kejadian buang bayi dan dera anak masih berlaku. Betullah kata Abdullah Nasih Ulwan, akan terhapuslah manusia daripada muka bumi kalau sudah tiada perasaan kasihan belas kepada anak-anak.

HM - selalu jugak ada rasa nak marah pada Harraz, tapi kena banyak-banyak sabar :-)

0 maklum balas:

Post a Comment

Powered by Blogger.