28 April, 2010

“Report Abuse” : Antara Kebebasan Bersuara Dan Mempertahankan Maruah Agama

Blog yang wujud pada hari ini dilihat sebagai saluran berkesan untuk menyampaikan sesuatu mesej, pendapat, laporan, cerita dan idea. Maka tidak hairanlah, ianya digunakan secara meluas samada oleh individu, organisasi, komuniti mahupun agensi kerajaan. Selain itu, buku karangan Bonnie A. Nardi pada tahun 2004 berjudul “The Blogosphere” merumuskan bahawa blogawan terdorong untuk mendokumentasikan kehidupan mereka, menyampaikan komentar dan pendapat, mengekspresikan emosi secara mendalam, menyusun idea-idea melalui tulisan serta membentuk dan menyenggara forum komuniti. Justeru, kuasa blog adalah sangat berpengaruh daripada sekadar menceritakan perihal diri peribadi sehinggalah kepada mencetuskan polemik di dalam masyarakat.

Disebabkan polisi pendaftaran akaunnya yang percuma dan mudah, blog sudah menjadi satu fenomena dunia untuk menutup dekad 2000an ini. Selain daripada itu, komunikasi secara aktif melalui ruangan komen, lampiran imej, widget yang pelbagai fungsi, serasi jalin dengan laman rangkaian sosial juga menjadikan blog sebagai saluran penyebaran idea, pernyataan pendirian, medium indoktrinisasi dan tidak kurang juga wahana propaganda.


Tulisan ini seterusnya akan merujuk kepada platform Blogger walaupun platform blog paling popular sehingga tahun 2009 adalah Wordpress diikuti Typepad (rujuk laman blog Royal Pingdom untuk maklumat lanjut).

Salah satu fungsi yang disediakan platform Blogger ialah "Report Abuse”. Fungsi yang terdapat pada bar navigasi boleh digunakan oleh keseluruhan komuniti blogawan untuk mengenalpasti kandungan (entry, posting) yang dianggap boleh dibangkang. Kandungan tersebut juga boleh dianggap sebagai memerlukan semakan oleh pembaca yang lain. Ini bermakna, jika pembaca membaca kandungan sesuatu blog dan akhirnya dia tidak boleh menerima kandungan tersebut, maka pembaca tersebut boleh mengambil pendirian untuk tidak bersetuju, lantas membangkangnya dengan menggunakan fungsi "Report Abuse”.

Fungsi ini tidak bertindak sebagai alat tapisan kandungan, tetapi ianya akan melaporkan kepada pengendali platform Blogger untuk mengambil tindakan terhadap kandungan dan blog tersebut sebagai “unlisted” (blog tersebut tidak akan dipromosikan di Blogger). Untuk kes-kes yang lebih serius, pengendali platform Blogger akan menguatkuasakan polisi tata tertibnya seperti mengeluarkan kandungan atau memadamkan akaun blog tersebut.

Banyak perselisihan yang timbul berhubung fungsi "Report Abuse” yang disediakan Blogger. Blogawan berpendapat fungsi ini mirip kepada “censorship” sehingga menghalang kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat. Selain itu, blogawan juga berhujah mengatakan bahawa pengendali Blogger tidak ada hak ke atas kandungan yang ditulis kerana ianya adalah hak milik penulisnya yang bersusah payah menyediakan kandungan tersebut. Pengendali Blogger hanya berperanan menyediakan platform yang membolehkan blogawan menerbitkan tulisan mereka. Ini kerana idea dan pandangan mereka yang terkandung di dalam tulisan mereka tidak sama dengan blog spam atau blog porno yang lebih sesuai dikenakan tindakan “unlisted” atau dipadamkan akaunnya.

Sebagai umat Islam yang terdedah dengan teknologi penyebaran maklumat pada masa kini, kita harus lebih bijak menggunakan semua fungsi yang disediakan pengendali Blogger untuk mempertahankan maruah agama Islam yang dijunjung ini. Dalam era globalisasi yang sungguh mengasak dan mendesak kini, kesucian agama Islam sangat terdedah kepada manipulasi licik musuh-musuhnya. Di alam siber, Islam digambarkan sebagai agama teroris melalui penerbitan klip video “Fitna” yang mengkritik Al-Quran sambil memaparkan imej pengganas dan serangan ke atas WTC. Nabi Muhammad SAW juga telah dihina dengan digambarkan dalam bentuk karikatur yang jelas menunjukkan perasaan sakit hati yang sangat menebal di kalangan musuh Baginda. Selain itu juga, faham Islamiphobia terus diwawarkan melalui laman web dan blog sehingga merosakkan imej sebenar Islam sebagai agama yang mementingkan keamanan dan kasih sayang.

Dalam dunia pemblogan secara khususnya, cabaran ini juga tidak boleh dipandang remeh. Kemunculan blog Adibah Ahmad sedikit masa dahulu telah menggemparkan komuniti Islam di negara kita. Blog tersebut telah memuatkan kandungan-kandungan yang menghina Nabi Muhammad SAW dan agama Islam secara keterlaluan tanpa batasan. Ramai yang mengkritik dan marah dengan kandungan blog ini kerana dengan sengaja menghina agama Islam. Walaupun apa yang berlaku adalah manipulasi teknologi apabila maklumat peribadi Adibah Ahmad (yang dipaparkan di laman Friendster) seperti nama penuh, nombor telefon pejabat, alamat pejabat telah digunakan oleh pihak ketiga dengan mewujudkan blog dan meletakkan Adibah Ahmad sebagai pemiliknya, perkara ini hendaklah dipandang serius oleh komuniti Muslim. Justeru, tindakan yang berkesan ialah dengan memberikan status “Flag” -- fungsi yang sama sebelum "Report Abuse" -- dan melaporkan kepada pengendali Blogger supaya memadamkan blog ini.

Begitu juga dengan blog Rasul Melayu Kahar Ahmad yang jelas menyebarkan ajaran sesat yang jauh menyimpang daripada ajaran sebenar Islam. Apabila Rasul juga menulis blog maka sudah tentulah kegemparan masyarakat yang dipancingnya. Pelbagai tulisan yang mempersoalkan tengan kerasulan Nabi Muhammad selain tafsiran semula ayat-ayat Al-Quran untuk kepentingan peribadi yang sempit sarat terkandung dalam blog ini. Ketika isu Rasul Melayu hangat diperkatakan, blog ini telah berjaya dimusnahkan oleh kumpulan yang menggelarkan diri mereka Geng 26 selain daripada laporan “Flag” yang dibuat oleh pembaca-pembaca Muslim yang benar-benar menyayangi agama Islam dan ajarannya yang tulen.

Walaupun isu asasnya ialah kebebasan bersuara di dalam dunia siber tetapi apabila sudah melangkaui sempadan agama, maka umat Islam tidak boleh berdiam diri. Mesejnya adalah jelas kepada blogawan sedunia : “berbicaralah dengan berhemah mengenai agama Islam di dunia siber jika tidak mahu blog tersebut diserbu dan dilakukan tindakan "Report Abuse" untuk memadamkannya”.

Kesimpulannya, agama Islam perlu dipertahankan daripada dihina, dilabelkan dengan imej yang negatif atau ajaran yang menyesatkan. Jika perkara sebegini masih berleluasa maka blogawan Muslim perlu sentiasa bersedia untuk bertindak balas. Ini kerana kita sentiasa sedar, apabila satu blog menghina Islam dipadamkan daripada senarai pengendali, sudah tentu akan muncul lagi blog-blog lain seumpanya dalam bilangan yang lebih banyak.

HM - artikel ini saya ubah suai sedikit kerana kandungan asalnya merujuk kepada fungsi "Flag" yang terdapat dalam Blogger sebelum ini. Sekarang, fungsi "Flag" telah digantikan dengan fungsi "Report Abuse".

0 maklum balas:

Post a Comment

Powered by Blogger.