03 April, 2010

Widget Islamik Dalam Blog Tingkatkan Syiar Islam

Penggunaan blog pada masa kini adalah sangat meluas. Peranannya dalam menyebarkan cerita terbaharu, perkembangan semasa, ulasan, pendapat, idea, kritikan seseorang blogger adalah sangat berkesan. Malahan, blog juga digunakan untuk tujuan promosi perniagaan, hebahan maklumat komuniti, perhubungan organisasi serta muat turun data dan aplikasi.

Dengan adanya teknologi Web 2.0 pada masa kini, kandungan blog juga boleh dipelbagaikan dengan memasukkan ciri-ciri interaktif yang lebih mengasyikkan. Ini kerana teknologi Web 2.0 merujuk kepada pembangunan dan rekabentuk web yang menyokong perkongsian maklumat dan saling beroperasi serta kerjasama secara interaktif. Dengan ini, blogawan boleh bertukar-tukar kandungan web di dalam blog mereka. Salah satu adaptasi blog terhadap teknologi Web 2.0 ialah widget.

Dalam dunia pemblogan, widget ialah aturan kod mudah alih yang boleh dipasang dan dijalankan di dalam laman web HTML berasingan tanpa perlu dikompilkan oleh pengguna akhir. Selain widget, ianya juga disebut sebagai gadget, badge, module, webjit, capsule, snippet, mini and flake. Widget selalunya dibangunkan menggunakan DHTML, JavaScript, ataupun Adobe Flash.


Dengan kepintaran yang dimiliki oleh pengaturcara, pelbagai widget telah dicipta dan dimasukkan ke dalam blog. Lebih menarik, telah wujud widget yang bercirikan Islamik bagi menghiasi laman-laman blog yang dimiliki oleh blogawan Muslim. Paling terkenal ialah widget yang dihasilkan oleh Alhabib yang menyediakan perkhidmatan web Islamik melalui laman http://www.al-habib.info. Di dalam laman ini, blogawan boleh menggunakan perkhidmatan web Islamik seperti kad ucapan untuk acara-acara kebesaran Islam, kalendar Hijrah, jam Islamik, penunjuk arah kiblat, dan lain-lain widget seperti Asmaul Husna, Countdown tarikh kebesaran Islam, ucapan salam beranimasi, teks basmallah, teks shahadah beranimasi dan petikan kata-kata Islamik harian.

Sesungguhnya, kewujudan widget Islamik seperti yang diusahakan oleh Alhabib adalah sangat tepat pada masanya. Ini kerana, blog sudah terbukti berkesan dalam memainkan peranannya menyampaikan maklumat. Maka, umat Islam seluruh dunia perlu mengambil peluang ini untuk mewujudkan blog-blog yang dihiasi dengan widget-widget Islamik bagi menyebarkan mesej agama Islam kepada seluruh dunia. Perkara sebegini adalah usaha dakwah secara tidak langsung di samping akan dapat meningkatkan syiar agama Islam di dunia maya.

Selain membaca entri yang ditulis oleh blogawan, pembaca-pembaca blog sudah tentu akan tertarik dengan widget-widget Islamik yang dimasukkan. Ini akan menjadikan pembaca blog akan melakukan pencarian maklumat lanjutan mengenai agama Islam disebabkan oleh widget-widget yang interaktif ini. Akhirnya, mesej agama Islam akan terus tersebar dengan memanfaatkan teknologi maklumat dan komunikasi yang ada pada masa kini.

HM - artikel ini tersiar dalam Risalah Tajdid terbitan Sekolah Pengajian Islam KIPSAS

0 maklum balas:

Post a Comment

Powered by Blogger.