04 May, 2010

Bahaya Berkawan Dengan Teman-Teman Jahat

Penglibatan saya dalam gerak kerja "Membela Anak Yatim, Membina Insan Kamil" di Baitul Husna, Bukit Sekilau cukup membawa erti yang mendalam. Dalam pada mengenangkan untung nasib anak-anak BH yang pada usia muda sudah diuji sedemikian rupa (menjadi yatim & kemiskinan keluarga) saya amat-amat bersyukur kerana peringatan ALlah yang disampaikan oleh RasulNya sentiasa akan menjadi pedoman hidup - "Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara...."

Setiap hari Isnin saya akan bersama-sama anak-anak BH untuk menunaikan solat Magrib dan Isyak secara berjemaah. Waktu senggang di antara keduanya saya isi seadanya dengan membacakan kitab Tarbiyatul Aulad fil Islam karangan Ustaz Abdullah Nasih Ulwan. Inilah satu medan latihan yang cukup berkesan untuk diri saya sendiri. Tatkala menunggu anak sendiri yang sedang membesar, saya dipilih oleh ALlah untuk melatih diri ini supaya saya bersedia dan boleh mendidik anak-anak sendiri kelak melalui penglibatan dalam gerak kerja BH ini.

Tazkirah malam semalam masih lagi membincangkan 'Faktor-Faktor Yang Menyebabkan Penyelewengan Anak-Anak' yang dikupas oleh pengarangnya dalam Fasal 4 kitab ini. Pengarang menyatakan dalam isi ke 5 iaitu 'Percampuran yang merbahaya dan teman-teman jahat' :

"Di antara gelaja-gejala besar yang menyebabkan penyelewengan anak-anak ialah memilih teman-teman jahat dan percampuran orang-orang yang rosak moralnya, terutama sekali jika anak itu bodoh, kurang kepercayaan kepada diri sendiri, dan pincang pula kelakuannya, maka dengan segera saja dia akan terpengaruh, apabila dia bercampur gaul dengan orang-orang jahat, dan berteman dengan penjenayah-penjenayah."

Faktor kawan adalah sangat signifikan dalam membina peribadi anak-anak. Sebagai ibu-bapa, kita perlu mengambil tahu dengan siapa anak-anak kita berkawan. Ini menjadi salah satu skop tugas seorang ibu atau bapa dalam mendidik anak-anak. Biasakan diri bertanya kepada anak-anak kita : "Siapa kawan-kawan yang biasa dengan kamu di sekolah?", "Kawan-kawan kamu itu tinggal di mana?", "Siapa ibu-bapa kawan-kawan kamu itu?" dan lain-lain. Kumpullah maklumat sebanyak mungkin mengenai kawan-kawan yang anak-anak kita bergaul dengan mereka.

Perkara ini merupakan langkah awal untuk memastikan bahawa anak-anak kita akan berada dalam lingkungan pengaruh (circle of influence) yang positif. Setidak-tidaknya, anak-anak kita tidak akan terdedah kepada perilaku-perilaku yang tidak baik yang boleh mendorong mereka untuk meniru pula. Dalam masa yang sama, kita perlu mendorong mereka untuk mencari kawan yang baik-baik serta bergaul dengan cara yang beradab melalui perbuatan dan tutur kata.

Pengarang seterusnya menghuraikan :

"Dia akan meniru pula adat kebiasaan yang buruk, dan kelakuan mereka yang rendah, serta menurut jalan kejahatan dengan langkah yang cepat, sehingga tidak berapa lama saja, tabiat penjenayahan itu akan menjadi tabiatnya, dan penyelewengan itu akan melekat ke dalam kebiasannya. Kelakakan menjadi sukarlah untuk mengembalikannya ke jalan lurus semula, dan menyelamatkannya daripada jurang kesesatan dan kecelakaan".

Janganlah kita menyesal di kemudian hari apabila semuanya sudah terlambat. Disebabkan salah memilih kawan, anak-anak kita sendiri akan terjerumus ke lembah kerosakan dan kecelakaan. Sebab itulah, peranan ibu-bapa dalam mendidik anak-anak sangat menyeluruh. Daripada sekecil-kecil memilih nama anak semasa baru dilahirkan sehinggalah kepada menjatuhkan hukuman jika mereka melakukan kesalahan. Dan memastikan anak-anak berkawan dengan kawan-kawan yang baik termasuk salah satu di antaranya.

Pengarang seterusnya berpesan kepada ibu-bapa :

  1. perhatikan anak-anak dengan teliti dan sempurna, terutama semasa usia tamyiz untuk mengetahui dengan siapa anak-anak bercampur gaul dan berkawan.
  2. mengambil tahu ke mana anak-anak pergi pagi dan petang bersama kawan-kawan, dan ke tempat yang bagaimana mereka menghabiskan masa
  3. memilih persahabatan yang baik bagi anak-anak supaya mereka dapat mencontohi segala budi yang mulia dan kelakuan yang terpuji yang diamalkan oleh kawan-kawan mereka
  4. hendaklah mengancam anak-anak dari bercampur dengan anak-anak jalanan, teman-teman yang jahat, agar terselamat daripada tali temali kesesatan dan perangkap tipu daya.
Layarilah laman blog Baitul Husna di http://baitulhusnabktskl.blogspot.com untuk sama-sama menyumbang jasa dan bakti di sana. Kami alu-alukan sumbangan dalam bentuk kewangan dan kelengkapan.

HM - anak zaman sekarang kata nak keluar pergi tusyen dengan kawan, tapi rupanya-rupanya tusyen di shopping complex..

0 maklum balas:

Post a Comment

Powered by Blogger.