13 May, 2010

Bahaya Menonton Filem Lucah dan Jenayah

Mari kita terus meneliti pesanan-pesanan Syeikh Abdullah Nasih Ulwan dalam bukunya Tarbiyatul Aulad fil Islam. Setakat entri kali ini, kita sudah menyentuh tajuk 'Faktor-Faktor Penyelewengan Anak-Anak' di sini dan di sini. Pengisian ini saya ubahsuai untuk disampaikan dalam bentuk Tazkirah kepada Anak-Anak Baitul Husna yang sememangnya perlu dididik dan dibentuk peribadi Muslimah mereka.

Cabaran mendidik anak-anak semakin besar pada masa kini. Unsur-unsur yang boleh merosakkan pemikiran anak-anak berada di sekeliling mereka, samada di dalam rumah mahupun di luar rumah. Jika ibu bapa tidak bertegas untuk menapis segala unsur yang meresap masuk dalam pemikiran anak-anak, kita bimbang gejala yang lebih buruk akan berlaku.

Syeikh Abdullah meneruskan perbincangan beliau dengan menyatakan bahayanya anak-anak menonton filem-filem jenayah dan lucah. Pada pandangan beliau, anak-anak yang dibiarkan menonton filem-filem lucah atau cerita-cerita polis dan gangster akan menyebabkan mereka terdedah dengan kejahatan, penjenayahan dan menjurus mereka berkelakuan pincang dan menyeleweng.

Kemudian, apabila keluar berjalan ke kedai-kedai, anak-anak pula akan terdedah dengan majalah-majalah beruncur lucah dan buku-buku cerita yang menaikkan nafsu. Semua ini akan menyebabkan kerosakan pemikiran dan akhlak termasuklah orang dewasa. Kalau orang dewasa pun boleh terpengaruh, anak-anak muda remaja apatah lagi.


Masalah jangka panjang menurut Syeikh Abdullah ialah apabila anak-anak sudah besar nanti, maka akan terlekatlah dikepala mereka gambaran-gambaran cerita lucah dan jenayah yang mereka sudah terdedah sedari kecil lagi. Ianya akan terbentuk dalam khayalan mereka, mencipta ilusi-ilusi, seterusnya akan cuba pula untuk menirunya dalam bentuk perbuatan. Masalah ini akan lebih buruk jika dalam masa yang sama anak-anak kita tidak dibimbing dan diberikan pedoman agama yang mantap.

Pada waktu itu nanti, apabila anak-anak sudah terjebak dalam perlakuan yang tidak baik, maka tidak berguna lagilah nasihat-nasihat ibu-bapa atau tunjuk ajar guru-guru mereka di sekolah. Nasib sudah menjadi bubur bak kata pepatah melayu.

Begitulah, peringatan memang sudah diberikan oleh tokoh-tokoh ilmuwan Islam yang sememangnya prihatin dalam soal pendidikan anak-anak. Karya besar pendidikan ini sudah dicetak dalam Bahasa Melayu sejak 1988. Pada ketika itu, tidak ada lagi majalah-majalah atau buku-buku cerita berunsur lucah di pasaran. Jauh sekali ada filem-filem lucah atau berunsur lucah yang mudah diperolehi. Seingat saya, majalah-majalah sebegini mula muncul pada tahun 1994 dan ke atas.

Sebagai ibu bapa, maka tugas kita adalah untuk memastikan segala perkara yang berunsur lucah dan jenayah tidak dibawa masuk ke dalam rumah apatah lagi dalam bilik tidur anak-anak. Cubalah seboleh upaya juga untuk mengawal rancangan TV yang ditonton oleh anak-anak di rumah. Dalam masa yang sama sentiasa lah juga bercakap dengan anak-anak akan bahayanya mendedahkan diri dengan filem dan majalah yang berunsur jenayah dan lucah ini.

HM - tak pelik lah banyak masalah zina, rogol, buang bayi yang dilakukan oleh anak-anak remaja kita.

Nota : sumber gambar dari sini.

1 maklum balas:

Suara Kalbu said...

Masalah sosial sekarang makin tenat.

Soal buang bayi selalu menjentik hati saya sebab mengenangkan anak tak berdosa ini menjadi mangsa.

Post a Comment

Powered by Blogger.