05 May, 2010

Ceramah Pilihan - Saya Suka :-)

Saya juga mendengar siaran Radio Pahang FM, yang dulunya dikenali sebagai Radio 3 Kuantan dan Radio Malaysia Pahang. Walaupun ramai kenalan dan saudara mara sedikit pelik mengapa saya mendengar siaran radio ini kerana pada mereka kalau mendengar Radio Pahang FM seolah-olah tidak stylo lah.. Persepsi yang ada ialah kandungan siarannya yang lesu, tidak dinamik, berorientasikan 'orang lama', juruhebah yang bosan, lagu-lagu asli lama sahaja, dan lain-lain lah..

Pedulikan apa orang lain kata. Saya mendengar siaran radio ini sudah tentu ada sebabnya. Saya juga sebenarnya tidaklah mendengar keseluruhan siaran yang bermula jam 6.00 pagi sehingga 12.00 tengah malam itu. Dan tidaklah juga leka mendengar lagu-lagu hiburan yang turut dihidangkan ke halwa telinga.

Saya menukar siaran radio samada di rumah atau semasa memandu kepada Pahang FM apabila siaran berita ke udara. Biasanya, siaran berita adalah daripada Angkasapuri dan kandungannya agak 'update' untuk hari tersebut. Berbanding dengan siaran-siaran berita di radio lain yang kebiasannya hanya membaca semula petikan berita yang sudah tersiar di laman web surat khabar pada hari berkenaan.

Selain berita nasional, saya juga perlu mengikuti berita tempatan - perkara-perkara yang berlaku di negeri Pahang ini sendiri. Perlulah juga ambil pusing apa yang berlaku dalam negeri sendiri. Biasanya waktu siaran 'Warta Pahang' ialah pada jam 7.45 pagi dan 4.00 petang, kalau masih belum berubah..

Dan satu lagi slot yang saya ikuti -- tetapi kini sudah tiada lagi -- ialah slot Salam Belia yang dikeudarakan pada jam 2.15 petang hingga 3.00 petang pada setiap hari Sabtu. Selama 45 minit ini, segala maklumat mengenai kegiatan pertubuhan belia negeri Pahang akan dihebahkan. Malah saya sendiri pernah dijemput ke konti untuk menghebahkan maklumat secara langsung mengenai ABIM Pahang kepada semua pendengar.

Satu lagi sebab saya menukar siaran kepada Pahang FM ialah setiap kali selepas menunaikan Solat Zohor dan apabila saya sedang memandu. Pada jam 1.30 tengahari sehingga jam 2.00 petang (kecuali Jumaat) akan disiarkan rancangan 'Ceramah Pilihan' yang diterbitkan oleh kenalan saya Tn. Hj. Hazidi Alang Ahmad. Inilah sebenarnya yang menjadi minat saya terhadap Radio Pahang FM. Selepas selesai menunaikan solat Zohor, keberkatan hidup terus dicari dengan mendengar ceramah, peringatan, yang disampaikan oleh penceramah-penceramah terkenal tanah air samada berasal dari negeri Pahang atau negeri lain.

Di sinilah saya berpeluang untuk mendengar mutiara-mutiara kata penceramah-penceramah terkenal di negeri Pahang khususnya dan seluruh negara amnya seperti Ustaz Badlishah Alaudin, Ustaz Hamdan Yusi Yusuf, Ustaz Norhamizi Jamaluddin, Ustaz Haji Ahmad Sukri Mohamed Sodin, Ustaz Ramli Hassan dan lain-lain. Sekali-sekala akan keudara penceramah-penceramah seperti Ustaz Zahazan, Ustaz Hassan Din Al-Hafiz dan lain-lain.

Ini lah juga salah satu proses pembelajaran yang saya ikuti. Belajar secara mendengar atau auditory learning itu juga penting dalam proses menuntut ilmu. Belajar secara mendengar berlaku apabila pelajar berminat dengan kuliah secara lisan, perbincangan, bercakap dan mendengar apa yang dikata oleh orang lain. Pelajar akan menterjemah maksud perbualan melalui mendengar nada ton suara, kelajuan dan perbezaan suara. Tidak semua ilmu boleh diterima hanya melalui pembacaan atau kajian. Mendengar juga sedikit sebanyak boleh menyumbang kepada peningkatan ilmu pengetahuan.

Rancangan ini adalah rakaman secara langsung program-program ceramah yang diadakan di serata negeri Pahang. Diedit serba sedikit untuk mengoptimakan tempoh masa 30 minit yang pendek itu. Saya juga pernah diberitahu oleh Pengurus Bahagian Rancangan Radio Pahang FM, namanya Puan Nor kalau tak silap, Ceramah Pilihan mendapat rating yang tinggi kerana penyampaiannya yang 'real' di hadapan penonton. Memang ada bezanya antara ceramah yang dirakamkan di dalam studio (tanpa penonton) berbanding dengan ceramah yang disampaikan secara 'live'. Sudah tentulah ianya lebih menarik kerana intonasi yang lebih menarik akan digunakan, selingan lawak jenaka yang menghiburkan, serta kejituan hujah penceramah yang disampaikan secara 'on the spot'.

Sebab itulah, semasa saya dan rakan-rakan ABIM Pahang yang pernah berurusan dengan Pn. Nor, Tn. Hj. Hazidi, penerbit-penerbit rancangan agama yang lain, serta dinasihati oleh Ustaz Badlishah, akhirnya kami bersetuju supaya ABIM Pahang terlibat dalam slot Syiar Ramadan pada setiap jam 6.30 petang sepanjang bulan Ramadan pada tahun 2005 yang lalu. Slot ini tampak lebih serius dan akan dirakam di dalam studio lebih awal sebelum disiarkan. Pada asalnya kami memohon untuk mengisi slot Ceramah Pilihan itu dengan menjemput penceramah-penceramah yang biasa dengan kami. Namun kami akur untuk membiarkan slot Ceramah Pilihan terus kekal dengan identitinya dan waktunya yang sudah diketahui umum.

Semoga penerbitnya, Tn. Hj. Hazidi dan rakan-rakan pembantu teknik beliau akan terus diberikan kekuatan oleh ALlah untuk mengisi halwa telinga kami dengan peringatan-peringatan yang akan mendekatkan diri kami dengan ALlah SWT.

Oh ya, jika anda berminat untuk mendengar siaran ini bolehlah beralih ke frekuensi 104.1 FM di Kuantan atau 107.5 di Lembah Klang. Atau boleh terus melayari laman blog Ceramah Pilihan di http://ceramahpilihan.blogspot.com

HM -- Mendengar ceramah semasa memandu lebih efektif berbanding mendengar di dalam dewan atau masjid, sebab tidak akan mengantuk.. kalau mengantuk, eksiden lahh..

0 maklum balas:

Post a Comment

Powered by Blogger.