12 May, 2010

Cerita Judi # 1

Saya tak pernah masuk ke kasino - setakat tengok cerita-cerita di TV saja. Saya tak pernah beli nombor ekor - sekadar lalu di depan kedai ekor saja. Jadinya, saya tak tahu bagaimanakah 'feel' seorang kaki judi hingga sanggup menghabiskan banyak wang untuk dipertaruhkan. Saya juga tak pernah menjadi tokey judi - apatah lagi mengaut keuntungan daripada aktivitinya.

Berita hari ini memang sudah dijangka - BERJAYA diberikan lesen judi untuk Piala Dunia 2010. Walaupun dalam tempoh 5 hari ini, 'public opinion' yang terbentuk adalah tidak bersetuju - dengan segala macam alasan. Saya pula mengaitkannya dengan watak Sarjan Penyamun dalam Ali Baba Bujang Lapok.

Apa yang menarik sangat untuk diceritakan pasal judi? Ada 3 cerita yang mahu saya kongsikan. Sekali lagi saya ulang, saya tak dapat merasai 'feel' keseronokan berjudi, jadinya cerita seterusnya ini mungkin tidak betul kerana ianya berlegar di persepsi pemikiran saya saja.


Cerita 1 - Tikam 10 sen di kedai-kedai runcit.

Semasa saya kecil, kedai-kedai runcit memang banyak menjual tikam jenis ini dengan harga 10 sen. Sekarang saya sudah tak jumpa benda ni. Mungkin kerana ianya sudah ditukarkan kepada tikam dalam balang yang berwarna itu. Tikam 10 sen ini akan dilekatkan hadiah-hadiah di bahagian atasnya, dipadankan dengan nombor-nombor biasanya daripada 1 hingga 100. Di bahagian bawahnya pula akan dilekatkan kertas-kertas yang berlipat, terkandung di dalamnya nombor-nombor. Saya namakannya sebagai 'tiket tikam'.

Cara bermainnya senang saja. Kanak-kanak akan membayar dahulu kepada tokey kedai sebanyak 10 sen untuk setiap tikaman. Kemudian, kanak-kanak secara rawak akan mencabut tiket tikam dan membukanya. Jika nombor yang tertera pada tiket tikam itu berpadan dengan nombor pada hadiah, maka hadiah itu akan menjadi milik si kanak-kanak. Atau dalam kata lain, tikamannya mengena.

Hadiah-hadiah yang ditawarkan biasanya daripada sekecil-kecil getah pemadam sehinggalah kepada permainan robot yang bersaiz agak besar juga. Sudah tentulah hadiah yang paling besar adalah tarikan utamanya. Setiap kanak-kanak yang menikam juga sudah tentu akan 'berdoa' supaya tikamannya mengena kepada robot itu. Ya lah, kalau nak beli di kedai mainan, sudah tentu harganya puluhan ringgit. Dah tentu tak diluluskan oleh Menteri Kewangan di rumahnya. Tapi, kalau modalnya hanya 10 sen, 'nasib' pulak baik hari itu, maka siapa yang tak seronok? Timbalan Menteri Kewangan rumah pun tak ada masalah nak bagi 10 sen kepada kanak-kanak.

Rupa-rupanya (atau ini hanya persepsi sahaja), ada cerita disebaliknya. Cerita ini bukan juga pengalaman saya, tetapi saya kutip daripada satu cerpen yang saya baca masa umur sekolah rendah, tajuknya juga sudah lupa, pengarangnya juga saya sudah lupa. Tak apalah, yang pentingnya matan cerita dan pengajarannya masih tetap segar dalam ingatan. Selepas membaca cerpen itu, saya boleh terima logiknya walaupun masih lagi bersifat persepsi.

Hadiah utama tikam 10 sen ini ialah robot besar (mungkin pada masa itu kartun Transformer menjadi kegilaan, kalau masa itu musim gila Doraemon sudah tentu hadiah utamnya adalah patung Doraemon) yang ditampal pada kertas tikam yang keras itu. Secara sedar atau tidak, sebenarnya dalam 100 keping tiket tikam, tidak ada satu pun tiket yang akan mengena kepada hadiah robot yang utama itu!! Mungkin hadiah kedua terhebat juga tidak terdapat dalam tiket-tiket tikam!! Sebab itulah, tak pernah pula kedengaran kawan-kawan sepermainan yang mendapat hadiah utama hasil daripada main tikam 10 sen ini!!

Makanya, hadiah utama itu hanyalah menjadi umpan sahaja. Kanak-kanak yang tertarik untuk menikam hadiah utama itu sebenarnya telah ditipu untuk terus menikam sampailah habis kesemua tiket-tiket tikam itu dicabut. Tapi biasanya, belum sempat semua tiket habis dicabut, tokey kedai akan mencabut dulu kad keras tikam tersebut dan menyimpannya di dalam kedai. Dan jangan pula pelik kalau anak tokey kedai yang dapat menikam dengan tepat hadiah utama itu!!

Begitulah kisahnya yang menunjukkan kegiatan judi ini memang disaluti dengan tipu muslihat penganjurnya. Sampai bila-bila pun pemain judi akan ditipu dan mereka akan terus leka berjudi sehingga habis semua duit. Selepas habis semua duit, pergi meminjam daripada sesiapa sahaja termasuk AhLong. Maka episod dilema masyarakat akan berterusan disebabkan oleh judi.

Cerita yang ke 2 dan ke 3 berkenaan judi akan menyusul dalam entri akan datang. Tungguu..

HM - Judi tidak dirasai kerana 'ruh'nya ditukar kepada permainan atau riadah. Mungkin sebab itu kedai judi namanya 'Sport T*t*'

Nota : Sumber gambar dari sini.

2 maklum balas:

BUJANG SUSAH said...

Assalamualaikum... Salam ziarah dari sahabat.. nice blog n good entry..

Sedikit tips dan info buat teman2 bloggers.. perkara remeh yg kita kurang perasan dan tutor 4 the latest read more.. tengok jgn x tengok.. sila klik disini
Semoga bermanfaat insyaAllah.."Sebaik-baik manusia ialah orang yang dapat memberi manfaat kepada orang lain"(Hadis riwayat Al-Qudhi).

"SAMPAIKAN WALAU SATU AYAT"

P/S: Sedikit perkongsian dan renungan buat sahabat dan diri sendiri dari hamba yang hina jua serba kekurangan ini... sila klik
DISINI

"Sesungguhnya yang paling ditakutkan daripada apa yang aku takutkan menimpa kalian adalah asy syirkul ashghar (syirik kecil). Sahabat bertanya: "Apakah dimaksudkan syirik kecil itu? Baginda menjawab: Riak." (Hadis riwayat Imam Ahmad).
Wallahualam.

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Melainkan mereka yang beriman dan beramal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran". - Surah Al-Asr:1-3.

blog anda bagus dan bermanfaat...!!! Teruskan menulis.. Semoga sejahtera dan semoga sentiasa diberi keberkatan.. wassalam.

Hisyam Muhibah said...

Bujang Susah -- terima kasih sebab membalas ziarah.. komen yang bagus. InsyaAllah kita sentiasa ingat mengingati..

Post a Comment

Powered by Blogger.