17 May, 2010

Jam Pelajar Belajar Menentukan Jam Kredit

Dalam tempoh 5 tahun kebelakangan ini, ada beberapa perubahan dalam dunia pengajian tinggi yang berkaitan dengan proses pembelajaran dan pengajaran (PnP). Inilah kebaikannya apabila Kementerian Pendidikan dipecahkan kepada dua kementerian yang berbeza iaitu Kementerian Pengajian Tinggi (KPTM) dan Kementerian Pelajaran (KPM). Dengan ada KPTM, usaha pembaikan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dapat dijalankan dengan lebih kemas dan terarah.

Perubahan-perubahan seperti pentaksiran, penyediaan folio kursus, pembinaan item, penetapan hasil pembelajaran, pentaksiran alternatif, dan lain-lain telah diperkenalkan. Apatah lagi dengan kewujudan Malaysia Qualifications Agency atau ringkasnya MQA, mempercepatkan lagi pelaksanan perubahan-perubahan dalam PnP pengajian tinggi.


Terbaru ialah apa yang dikatakan sebagai konsep "Students Learning Time" atau ringkasnya SLT atau dalam Bahasa Melayunya disebut "Jam Pelajar Belajar". Dalam laman web MQA, SLT merujuk kepada beban sebenar jam pembelajaran pelajar yang mengambil kira semua aktiviti pembelajaran termasuk persediaan material di perpustakaan dan pencarian sumber maklumat di internet. Ini bermakna SLT akan digunakan untuk menentukan jumlah jam kredit sesuatu kursus dan tidak lagi semata-mata jam kontak untuk kursus tersebut.

Amalan sebelum ini, jam kredit ditentukan oleh jam kontak kursus tersebut. Sebagai contohnya, kursus yang dilaksanakan dengan 3 jam kuliah, ianya membawa nilai jam kredit 3. Jika ada aktiviti makmal atau tutorial, jam kredit dikira separuh daripada jam kontaknya.

Penetapan sebegini hanya mengambil kira tempoh masa pelajar bersemuka dengan pensyarah samada di dalam kuliah atau makmal/tutorial. Atau dalam kata lain, jam kredit melambangkan tugas yang perlu dilakukan pensyarah untuk sesuatu kursus. Perkara ini menjurus kepada amalan 'lecturer centered learning' yang menjadikan pensyarah sebagai fokus utama dalam sesuatu kursus pengajian.

Perkara ini bagi sesetengah sarjana pendidikan tidak menggambarkan sepenuhnya semangat PnP itu sendiri kerana ianya hanya memenuhi satu P sahaja iaitu "Pengajaran". Aspek "Pembelajaran" seolah-olah tidak dititikberatkan.

Maka, diperkenalkan lah SLT supaya pentaksiran dan penilaian terhadap pencapaian pelajar boleh dilakukan dengan lebih adil. Dengan menekankan bahawa PnP perlu berganjak daripada 'lecturer centered' kepada 'student centered learning', maka ianya perlu disokong dengan aspek pelajar sebagai fokus utama dalam proses PnP. Di sinilah nanti aspek "Pembelajaran" akan lebih ditekankan.

Maksudnya apa? Bilangan jam yang perlu dihabiskan oleh pelajar untuk membuat sesuatu persedian bagi salah satu aktiviti pembelajarannya perlu diambil kira. Senarai contoh berikut mungkin akan lebih memahamkan pembaca :
  • Kuliah 2 jam - pelajar membuat persediaan sebanyak 1 jam = SLT 3 jam
  • Tutorial / Mamal 2 jam - pelajar bersedia sebanyak 2 jam = SLT 4 jam
  • Ujian Pertengahan Semester 2 jam - pelajar mengulangkaji selama 4 jam = SLT 6 jam
  • Tugasan Bertulis / Kertas Kerja - pelajar mencari bahan, berbincang, menyunting, mencetak sebanyak 4 jam = SLT 4 jam
  • Pembentangan - pelajar menyediakan bahan sebanyak 4 jam = SLT 4 jam
  • Projek - pelajar melengkapkannya selama 6 jam = SLT 6 jam
  • Peperiksaan Akhir - pelajar mengulangkaji 6 jam = SLT 6 jam
Bilangan jam persediaan hendaklah ditentukan oleh pensyarah bagi kursus berkenaan berdasarkan anggaran yang boleh diterima logik akal dan beban tugas pelajar-pelajarnya.

Semua bilangan jam ini -- samada bersemuka dengan pensyarah dan persediaan sendiri pelajar -- hendaklah dijumlahkan. Jumlah ini dinamakan SLT dan perlu dibahagikan dengan jam notisyen (notional hours). Di Malaysia , MQA menetapkan 1 jam kredit bersamaan 40 jam notisyen. Penetapan ini berdasarkan kajian yang telah dibuat oleh MQA dan juga merujuk kepada amalan-amalan IPT luar negara.

Katakanlah, jumlah SLT ialah 120, maka bahagikannya dengan 40 jam notisyen. Ini bermakna jam kredit untuk kursus yang berkenaan ialah 3 jam kredit.

Dengan ini, penetapan jam kredit akan dianggap lebih adil kerana turut mengambil kira persediaan yang perlu dilakukan oleh pelajar, bukan semata-mata jumlah jam pelajar menghadiri kuliah atau tutorial.

HM - Entri hanyalah pemahaman peribadi saya, sila rujuk MQA untuk penjelasan formal mengenai SLT.

Kredit gambar dari sini.

4 maklum balas:

smtabi'in said...

menarik input ini. walaupun dunia akademik sudah lama kutinggalkan tapi jiwa ini semakin meronta untuk kembali menyurusi liku perjalanan pembelajaran...

Hisyam Muhibah said...

pengurusan pengajian tinggi semakin sistematik. pemain2 IPT perlu memahami dan mempraktikkannya dengan betul. Nyawa IPTS macam kami berada pada tangan MQA juga..

smtabi'in said...

walaupun pengurusannya semakin sistematik, dunia pendidikan semakin hari semakin menuju ke arah "industri".. yaaa... industri pendidikan.. yang semuanya berpaksikan komersil.. sampai suatu tahap nanti, hanya golongan tertentu sahaja yang berhak mendapatkan pendidikan.. buku "selamat tinggal sekolah" sangat sesuai dibaca oleh golongan pendidik yang aktif mengikuti perkembangan dunia pendidikan mutaakhir ini...

Hisyam Muhibah said...

saya berpandangan kepada 2 aspek :

1) dunia falsafah ilmu memang sedang ditekan pada masa kini oleh asakan kapitalis. Kapitalis nampaknya memainkan peranan untuk mencorakkan sukatan kursus di IPT. pada saya, asakan kapitalis komersial perlu diimbangi dengan kemahiran insaniyah dan kesedaran budaya ilmu tinggi walaupun bidangnya adalah teknikal yang 'keras'.

2) buku-buku seperti 'selamat tinggal sekolah', 'deschooling', 'if you want to be rich dont go to school', termasuklah 'rich dad poor dad' itu menjurus kepada pendidikan bukan semata2 faktor untuk menjadi kaya kebendaan. Malah kalau tidak mempunyai pendidikan pun, manusia masih boleh jadi kaya raya. Cumanya, apabila seseorang mengikuti pendidikan yang tulen, ilmu akan menjadikannya tunduk dan tidak mengejar kekayaan kebendaan.

Post a Comment

Powered by Blogger.