27 May, 2010

Menghayati Budaya Ilmu; Faham Ilmu, Amalan dan Panduan (Siri 1)


Melihat sahaja pada nama pengarangnya, sudah tentu terbit difikiran pembaca adalah kredibiliti kandungan buku ini. Sesuailah dengan amanah Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (yang disandang pada usia muda), Prof. Dato' Ir. Dr. Zaini Ujang dianggap layak dan berautoriti untuk membicarakan tajuk yang berkaitan budaya ilmu dan lingkarannya di universiti. Buku ini diterbitkan oleh Penerbit UTM pada 2009 dan mempunyai 122 muka surat.

Walaupun menggunakan bahasa yang mudah (kerana sasaran pembacanya adalah pelajar-pelajar baru UTM) namun prinsip ilmiyah tetap dipertahankan dengan memetik kata-kata ilmuwan tersohor dunia barat mahupun ilmuwan Islam yang membicarakan tajuk budaya ilmu saban kurun. Ditambah kemudiannya dengan pandangan penulis sendiri bagi mengukuhkan hujah dan disesuaikan dengan suasana pembudayaan ilmu dalam institusi pengajian tinggi di Malaysia khususnya UTM Skudai.

Penulis memulakan bicara dengan menetapkan set minda yang betul terhadap niat dan matlamat. Inilah satu pendekatan yang biasa dilakukan oleh penulis-penulis dalam mengingatkan dirinya sendiri dan pembaca supaya sentiasa membetulkan niat dan menetapkan matlamat yang jelas sebelum meneruskan pembacaan. Penulis telah meberikan tiga soalan penting :
  1. Apakah matlamat dan cara untuk mengisi masa selepas menamatkan pengajian di peringkat prauniversiti?
  2. Apakah universiti pilihan sesuai dengan kelayakan dan kerjaya yang anda idamkan?
  3. Apakah makna universiti dalam hidup anda?
Perbincangan seterusnya berkisar di sekitar tajuk kepentingan ilmu. Jelas sekali, penulis cuba membetulkan kefahaman pembaca bahawa ilmu dan kepentingannya perlu disedari dengan dirasai dengan ampuh. Penulis juga menjelaskan kaedah pencarian ilmu di peringkat IPT yang melibatkan dunia baru pembelajaran - kuliah, pensyarah, mahasiswa, profesor dan ijazah. Ini menjurus kepada kefahaman yang mantap terhadap ilmu bahawa menuntut ilmu adalah merupakan suatu tanggungjawab yang berkaitan dengan matlamat dan hala tuju kehidupan (ms.5).

Memahami konsep ilmu yang sebenar adalah penting kepada semua penuntut ilmu. Kefahaman yang tulen akan mencorakkan tindakan yang sepatutnya untuk mempertahankan budaya ilmu seterusnya diterjemahkan dalam bentuk penyelesaian terhadap permasalahan ummat manusia masa kini. Maka sudah tentulah pedoman Ilahi perlu didahulukan sebagai asasnya. Petikan Surah Al-A'laq ayat 1 - 5 menjadi rujukan paling relevan untuk memahamkan arahan "bacalah" yang tidak hanya terhad kepada kefahaman literal bahkan ianya merangkumi kaedah untuk memahami sesuatu ilmu samada secara tersurat ataupun tersirat.

Seterusnya penulis memetik kata-kata sarjana yang membicarakan berkenaan ilmu seperti :
  1. Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas : "Definisi ilmu adalah ketibaan makna sesuatu ke dalam diri seseorang".
  2. Prof. Wan Mohd Nor Wan Daud : "... ilmu, walaupun susah ditakrifkan, tetapi maknanya tidak begitu susah difahami. Dalam zaman moden ini, makna ilmu telah disempitkan kepada pengetahuan tentang maklumat dan kemahiran sahaja"
  3. Thomas Kuhn dalam bukunya The Structure of Scientific Revolutions (1962)
  4. Jonathan Lyons dalam bukunya The House of Wisdom; How the Arabs Transformed Western Civilization (2009)
  5. Albert Einstein : "... education is what remains after one has forgotten what one learned at school... "
  6. Malcom S. Forbes : "tujuan pendidikan ialah menggantikan minda yang kosong dengan minda terbuka"
  7. Aristotle : "semua insan secara fitrahnya memerlukan ilmu"
  8. Thomas Fuller : "ilmu adalah harta tetapi amalan merupakan kuncinya"
  9. Albert Schweitzer : "semakin banyak kita memperoleh ilmu, keadaan tidak menjadi semakin mudah difahami, tetapi banyak tanda tanya"
  10. Thomas Henry Huxley : "matlamat utama kehidupan bukanlah ilmu tetapi amalan"
  11. Carlos Castaneda : "orang yang berilmu hidup dengan amalan bukan berfikir tentang amalan"
Penulis juga tidak meninggalkan ilmuwan-ilmuwan rantau sini yang turut menyumbang dalam mengembangkan budaya ilmu dan intelektual. Nama-nama besar seperti Zainal Abidin Ahmad (Za'ba), Raja Ali Haji dan Haji Abdul Malik bin Abdul Karim (Buya Hamka) tidak tertinggal daripada dicatatkan pandangan dan ulasan mereka apabila membincangkan tajuk budaya dan konsep ilmu.

Jelas sekali dalam menuntut dan menjunjung ilmu, budayanya mesti jelas hidup dan diamalkan. Permulaan buku ini sudah membuktikannya apabila penulis mengajak pembaca untuk membetulkan niat dan matlamat dalam menuntut ilmu. Hal ini penting supaya sekalian mahasiswa yang membaca buku ini tidak akan tersasar daripada landasan ilmu yang sebenar. Selepas berada pada landasan yang betul, penghormatan kepada tokoh-tokoh ilmuwan perlu diberikan atas sumbangan mereka meninggalkan khazanah ilmiyah yang tidak ternilai untuk menjadi pedoman generasi masa kini.

Bersambung ke Siri 2.

2 maklum balas:

smtabi'in said...

ana masih tercari cari buku ini tuan... belum dapat memilikinya...

Hisyam Muhibah said...

Tuan buka saja laman web Penerbit UTM, dan buat pesanan di sana.

Powered by Blogger.