20 May, 2010

Nasib Sudut Pidato Selepas 4 Bulan

Semasa belajar di universiti dulu, AUKU masih berkuatkuasa seperti 40 tahun yang lalu. Makanya, tiada kelihatan aksi-aksi mahasiswa seperti zaman kegemilangannya pada tahun 70an. Tetapi, AUKU tidak menjadi halangan langsung untuk mahasiswa terus mengekalkan idealisme mencipta pemikiran baru, menggerakkan aktivisme bersama-sama masyarakat, dan menjunjung intelektualisme yang kekal menjadi matlamat utama pengajian tinggi. Malah sebahagian mahasiswa meletakkan spiritualisme yang ampuh sebagai prasyarat pelengkap kepada 3 dimensi dunia mahasiswa itu.

Laporan berita TV semalam dan akhbar hari ini mengenai Sudut Pidato yang tidak mendapat sambutan sangat menarik untuk diulas. Liputan di Utusan ada di sini, Berita Harian di sini, Metro pula di sini. Apa sebenarnya sudah terjadi? Selepas 4 bulan dihidupkan semula selepas diharamkan selama 40 tahun, Sudut Pidato bagaikan hidup segan mati tak mahu?


Oh ya, Astro Awani juga memperkenalkan satu rancangan khusus berjudul "Sudut Pidato". Rancangan ini menjadi platform untuk pelajar institusi pengajian tinggi menyampaikan pandangan mengenai pelbagai perkara dan idea untuk membantu membina negara bangsa. Malah diundang juga tokoh-tokoh untuk turut serta mengulas isi pidato mahasiswa dan secara tidak langsung melatih mahasiswa untuk meningkatkan kualiti pidato mereka. Cumanya, saya tidak pasti samada rancangan di Astro Awani ini selari dengan sudut-sudut pidato yang sudah wujud di kampus-kampus IPT.

Berbalik kepada kenyataan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi dalam akhbar hari ini, kekecewaan jelas terpancar di wajahnya. Beliau yang menghidupkan semula Sudut Pidato selepas pindaan AUKU sedikit masa lalu, dengan harapan bakat debat dan pidato mahasiswa akan dapat diasah di pentas itu.

Pandangan saya begini saja..
  1. Selepas 40 tahun Sudut Pidato diharamkan, tidak ada memori untuk dipindahkan kepada setiap generasi mahasiswa. Ini menyebabkan mahasiswa tidak dapat menghayati semangat Sudut Pidato itu sendiri. Memang ada pengkisahan di lakukan, namun ianya masih belum cukup untuk memberikan gambaran sebenar pentas ini seperti zaman kegemilangannya.
  2. Saya difahamkan karenah birokrasi masih membelenggu. Mana-mana pelajar yang berminat perlu mendaftar di pejabat HEP, tajuk dan isinya ditapis, dan berpidato pada masa-masa tertentu sahaja. Ini menyebabkan mahasiswa seperti berhati-hati dan menganggap birokrasi adalah halangannya.
  3. Hakikat penglibatan mahasiswa dalam kegiatan kemahasiswaan masih berada pada tahap 20% daripada keseluruhan mahasiswa. Kelompok kecil ini lah yang menggerakkan persatuan, melaksanakan aktiviti, menyatakan pandangan. Daripada 20% ini tidak semua boleh berdebat dan berpidato. Kebanyakan adalah penggerak aktiviti persatuan. Jadi, pemidato-pemidato memang kurang bilangannya kerana yang hanya hendak mendengar adalah jauh lebih ramai.
  4. Situasi ini melambangkan kelemahan mahasiswa daripada satu aspek iaitu melibatkan diri dengan isu-isu semasa. Terlibat bermaksud mengambil tahu apa yang berlaku di sekitar masyarakat, membuat pendirian dan menyatakan pandangan terhadap sesuatu isu seterusnya turun ke masyarakat untuk menyebarkan kefahaman. Jika tiada penglibatan sedemikian, apa yang hendak dikongsikan oleh mahasiswa jika berdiri di atas pentas pidato itu? Saya tidak fikir, Sudut Pidato itu untuk mahasiswa menguji hafalan mereka mengenai definisi-definisi yang diperolehi dalam bilik-bilik kuliah.
  5. Pidato masih dipersepsikan ada kaitan dengan ceramah politik. Generasi muda hari ini ada yang bersikap apolitical. Apolitical bermaksud tidak melibatkan diri dan tidak berminat kepada politik. Sudah tentu "pesanan-pesanan" jangan sibuk nak berpolitik, tumpukan sahaja pada pelajaran akan terus memerangkap mahasiswa.
Apa-apapun, ianya masih baru. Baru 4 bulan dihidupkan semula. Dengan perancangan yang lebih strategik, saya yakin Sudut Pidato akan kembali memainkan peranannya untuk melahirkan mahasiswa yang berfikiran kritis dan mampu menyampaikan hujah dengan baik terhadap sesuatu isu atau tajuk perbincangan.

HM - semasa musim pilihanraya kampus, kempen calon itu adalah pidato juga.

Sumber gambar dari sini.

3 maklum balas:

smtabi'in said...

kena buat kajian dulu....

Hisyam Muhibah said...

hakikatnya, hanya sebilangan kecil saja yang boleh berpidato, sebahagian besar hanya minat menonton dan mendengar sahaja

Suara Kalbu said...

Setuju,

Hanya sebilangan insan terpilih dan berbakat sahaja yang mampu berpidato dan menyampaikan mesej dengan baik.

Selebihnya hanya berminat untuk menonton dan mendengar atau teruja dengan kepetahan pemidato

Post a Comment

Powered by Blogger.