18 May, 2010

Rumusan Kajian Ilmiah Kadar Mas Kahwin di Negeri Pahang

Selepas usrah minggu lepas, saya diberikan satu salinan kertas kerja berjudul "Kajian Ilmiah Kadar Mas Kahwin di Negeri Pahang". Setakat yang saya maklum, pegawai-pegawai Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) telah menjalankan kajian secara ilmiyah bagi menilai semula kadar mas kahwin. Kertas kerja ini adalah hasil daripada kajian tersebut.

Sekalung ucapan TAHNIAH saya ajukan kepada Bahagian Undang-Undang Keluarga Islam JAIP yang telah berjaya menghasilkan kajian ilmiyah ini. Saya yakin kertas kerja setebal 36 muka surat ini melambangkan kesungguhan JAIP untuk memartabatkan institusi kekeluargaan Islam mengikut peruntukan kuasa yang ada pada mereka.


Saya petik beberapa isi penting daripada kajian ini bagi makluman pembaca semua.
  1. Tujuan kertas kerja ini bagi mendapatkan pandangan, pertimbangan dan persetujuan daripada Jawatankuasa Perunding Hukum Syara' Negeri Pahang bagi membuat penilaian semula mengenai Penetapan Kadar Pemberian Mas Kahwin dan cadangan penetapan berdasarkan "uruf" di Negeri Pahang.
  2. Kadar mas kahwin di Negeri Pahang adalah yang paling rendah di Malaysia iaitu RM22.50 samada anak dara atau janda. Ianya telah diguna pakai sejak 100 tahun yang lalu tanpa dinilai semula sedangkan situasi semasa sudah berubah.
  3. Kefahaman ahli masyarakat yang telah meningkat berdasarkan tahap pendidikan dan kesan ekonomi menyebabkan ada yang berhasrat memberi mas kahwin lebih tingi, tetapi terikat pada kadar RM22.50. Pada masa sekarang, pemberian yang lebih hanya dinyatakan sebagai pemberian atau hadiah.
  4. Adat yang diamalkan di Negeri Pahang ialah lebih menekankan kepada hantaran dan belanja hangus kerana kadar mas kahwin sudah ditetapkan. Perundingan di antara kedua-dua pihak keluarga bertumpu kepada kadar wang hangus dan hantaran untuk menguruskan walimah arus. Implikasinya, tempoh pertunangan menjadi panjang dan terdedahnya bakal pengantin kepada pergaulan bebas.
  5. Islam tidak menetapkan kadar mas kahwin atau mahar pada had paling maksimum ataupun had paling minimum. Namun Islam menganjurkan untuk mengambil jalan tengah berdasarkan hadith bermaksud : "Perempuan yang berkat perkahwinannya ialah yang mudah (rendah) tentang perbelanjaan (mahar)". Suami boleh memberikan mas kahwin yang tinggi berdasarkan Surah An-Nisa' ayat 20 serta mahar adalah pemberian wajib berdasarkan Surah An-Nisa' ayat 4.
  6. Perbahasan ulama' mengenai kadar minimum : Abu Hanifah - 10 dirham perak atau setara, ulamak Mazhab Hanafi - sekurang-kurangnya 10 dirham (bersamaan RM97.00 sekarang), ulamak Mazhab Maliki - sekurang-kurangnya 1/3 dinar (RM112.54 sekarang), ulamak Mazhab Syafie dan Hambali - tidak ada had minimum.
  7. Berdasarkan tinjauan lapangan pasukan penyelidik, orang tua-tua memaklumkan bahawa kadar RM22.50 yang digunapakai itu bersamaan dengan 10 dirham perak berdasarkan kepada uruf di waktu dulu.
  8. Islam mewajibkan mas kahwin bukanlah sebagai lambang harga diri atau tukaran untuk memiliki keseronokan dan faedah daripada isteri. Ianya adalah pemberian ikhlas tanda kerelaan suami untuk memperisterikan seorang wanita.
  9. Adat di Negeri Pahang, pasangan lelaki tidak dibebankan dengan mas kahwin tetapi dibebankan dengan hantaran yang ditetapkan oleh pihak keluarga perempuan. Kadarnya amat tinggi mengikut status keluarga perempuan dan kerjaya sehingga menjadi buah mulut masyarakat bukan kerana mas kahwin.
  10. Adat ini menjadikan pasangan lelaki memanjangkan tempoh pertunangan bagi mencukupkan belanja ataupun mendapatkan bantuan pihak ketiga secara berhutang yang akan memberi kesan kepada pembinaan rumah tangga orang Islam.
  11. Kadar mas kahwin yang rendah juga memberi kesan kepada tuntutan tebus talak bagi pasangan lelaki yang bercerai. Ini menggambarkan seolah-olah Hukum Syarak tidak berlaku adil kepadanya disebabkan mas kahwin yang bekadar rendah.
  12. Bagi negeri-negeri yang tidak menetapkan kadar mas kahwin seperti Kelantan, Kedah, Perlis dan Pulau Pinang, hantaran itu adalah dikira sebagai mas kahwin. Manakala bagi negeri-negeri yang menetapkan kadar mas kahwin, biasanya hantaran diterima oleh ibu bapa masing-masing untuk digunakan sebagai belanja majlis kenduri kahwin.
Kajian ilmiyah ini membuat beberapa cadangan seperti berikut :
  1. Kadar minimum mas kahwin dikekalkan berdasarkan uruf semasa di Negeri Pahang iaitu tidak kurang daripada RM22.50 ;
  2. Tiada had maksimum kadar mas kahwin mengikut keupayaan dan kemampuan yang tertakluk kepada perbincangan dan persetujuan kedua-dua belah pihak ;
  3. Dipertimbangkan juga supaya wang hantaran doleh dijadikan sebagai mas kahwin bagi maslahah pengantin perempuan ;
  4. Pemberian berharga berupa barang kemas dan sebagainya boleh dijadikan sebagai mas kahwin yang turut disebut dalam sighah akad nikah.
Begitulah antara lain kandungan kertas kerja ini. Saya difahamkan kajian ini akan dibentangkan dalam seminar bagi mendapatkan maklum balas yang lebih banyak daripada semua komponen masyarakat Islam di Negeri Pahang.

HM - pemahaman terhadap mas kahwin daripada segi syarak saya rasa masih rendah di kalangan masyarakat.

Nota : kredit gambar dari sini.

2 maklum balas:

LIPISLADY said...

Assalamualaikum En Hisyam,

Terima kasih melawat blog saya dan follow.

Saya setuju mas kawin di Pahang tidak dinaikkan, kerana ianya dah diguna pakai selama 100 tahun. walaupun jika dinaikkan kepada RM100 pun tidaklah begitu membebankan kepada bakal pengantin lelaki berbanding dengan wang hantaran yang semakin meningkat dari semasa ke semasa.

Saya juga amat berharap kepada bakal pengantin perempuan dan ibu bapa bakal pengantin agar tidak meletak kadar hantaran terlalu tinggi kerana ini sangat membebankan bukan saja pengantin lelaki, malan implikasinya bakal dirasai oleh pasangan perempuan juga apabila mereka telah menjadi suami isteri nanti.

Kalau si suami dibebani hutan akibat hantaran yang terlalu tinggi bagaimanakah mereka akan menjalani hidup yang sempurna kelak lebih2 lagi bagi pasangan yang berpendapatan sederhana. Sudahnya sampai beranak cucu masih lagi menanggung hutang.

Lagi pun, kalau dilihat betul2 banyak sangat pembaziran yang dilakukan oleh keluarga yang akan mengahwinkan anak, dari segi berbelanja.

Maaf en Hisyam, terover plak komen nih...

Wassalam.

Hisyam Muhibah said...

Salam Kak LipisLady,

komen yang bagus.. dalam kajian JAIP ini, fokus utama ialah untuk meningkatkan kefahaman terhadap kepentingan mas kahwin yang wajib dalam urusan nikah kahwin. tetapi sebab mas kahwin dah ditetapkan,maka ia tak perlu dibincangkan oleh kedua-dua pihak. lebih membimbangkan apabila mas kahwin diambil remeh dan tidak difahami tuntutannta daripada sudut syarak (sebab sudah ditetapkan). sebab itulah, tumpuan hanya kepada wang hantaran yang beribu-ribu ituuu..

kita harap sesuatu yang lebih baik pada masa akan datang..

Post a Comment

Powered by Blogger.