07 May, 2010

Sarjan Penyamun Ali Baba Bujang Lapok Muncul Semula

Allahyarham Tan Sri P.Ramlee memang sudah diketahui umum akan jasanya dalam menghasilkan filem dan lagu yang sehingga kini masih tidak jemu-jemu ditonton dan didengar. Ulanglah berapa ratus kali pun filem Bujang Lapok, Do Re Mi, Anak Bapak, Ahmad Albab (sekadar menyebut beberapa judul) pastinya kita tetap akan melekat di depan kaca TV sehingga tamat tayangan filem-filem tersebut.

Namun, apa yang jauh lebih penting sebenarnya ialah kemampuan P.Ramlee untuk menggarap isu-isu masyarakat di dalam filem-filemnya cukup berkesan dan seolah-olah sentiasa berulang-ulang dalam realiti masyarakat Melayu kita sehingga hari ini. Daripada realiti masyarakat mengenai keangkuhan bapak mertua dalam Ahmad Albab, masalah masyarakat golongan bawahan dalam Seniman Bujang Lapok, pembahagian harta pusaka dalam Tiga Abdul, perkahwinan 'tunggang terbalik' dalam Keluarga 69, perselisihan suami isteri dalam Masam-Masam Manis, sifat kedekut tidak bertempat dalam Labu Labi, sehinggalah kepada kepercayaan karut marut nombor ekor dalam Ragam P.Ramlee, semuanya berjaya digarap dengan cukup kemas dan tepat kena ke batang hidung orang-orang kita.


Tak tahulah apa kelebihan yang dimiliki P.Ramlee. Entah kan dia ada mukjizat, itu mustahil. Entah kan dia ada kasyaf, mungkin juga tidak. Kuasa Allah sememangnya mengatasi kemampuan daya fikir manusia. Peringatan-peringatan Allah kepada kita disalurkan dengan baik pada batang tubuh P.Ramlee untuk sentiasa mengingatkan kita tentang hal ehwal hidup bermasyarakat menerusi filem-filem beliau.

Tulisan ini berkait dengan laporan media mengenai kemungkinan besar kerajaan akan mempertimbangkan untuk mengeluarkan lesen pertaruhan (sebut saja judi) sempena dengan pertandingan Bola Sepak Piala Dunia 2010 yang akan berlangsung Jun depan. Saya tak pasti pulak kalau Piala Thomas dan Uber juga ada berlaku pertaruhan sedemikian. Laporan dalam Berita Harian di sini dan Malaysiakini di sini, sangat mengganggu cuti Hari Hol saya pada hari ini.

Timbalan Menteri Kewangan memberikan kenyataan di Lobi Parlimen dengan mengatakan bahawa jika kerajaan tidak mengeluarkan lesen pun, aktiviti pertaruhan yang didalangi bookie tetap akan berlaku. Jika lesen dikeluarkan, bolehlah kerajaan memantau kegiatan pertaruhan sempena temasya sukan seperti ini dengan mengetahui jumlah duit yang dipertaruhkan (dijangka ratusan juta) serta mendapat manafaat daripadanya untuk disalurkan kepada pembangunan sukan di negara ini.

Terus saya teringatkan watak Sarjan Penyamun yang dilakonkan oleh Ibrahim Pendek dalam filem Ali Baba Bujang Lapok. Sarjan Penyamun yang hanya mendapat gaji sedikit berbanding penyamun lain telah meminta kebenaran daripada Ketua Penyamun untuk meminjam dadu hikmat. Lalu dibenarkanlah oleh Ketua Penyamun dengan memberikan sedikit garis panduan iaitu kalau hendak buka pertaruhan, hanya dibuat 3 kali sahaja. Sarjan kemudiannya dengan berpakaian kemas pergilah ke pasar dan mengajak orang ramai untuk berjudi menikam nombor yang akan dilemparkan daripada dadu hikmat. Kalau tikaman judi tak kena, Sarjan Penyamun akan bolot semua wang pertaruhan. Maka, berduyun-duyunlah orang ramai datang hendak bertaruh termasuklah pengemis yang mengumpulkan duit sejak jatuh bankrap dirompak oleh penyamun.

Pertaruhan dimulakan dengan Sarjan Penyamun membentangkan petak-petak nombor 1 - 6 untuk ditikam. Menariknya petak nombor 2 tidak dibenarkan untuk ditikam dalam dialognya dengan pengemis "Ehhhh nombor 2 tak boleh laaa.. ini nombor saya sudah reserve laa.." Selepas 3 kali pertaruhan dilakukan, semuanya memihak kepada Sarjan Penyamun kerana tiada tikaman yang dibuat pada petak nombor 2. Rupa-rupanya, dadu hikmat itu hanya mengandungi nombor 2 sahaja!

Apa pengajarannya? Pertama watak Sarjan Penyamun melambangkan watak masyarakat yang terdesak memerlukan wang sehingga sanggup menganjurkan pertaruhan (berlesen dan dibenarkan ketuanya). Dalam masyarakat kita hari ini, sudah tentu penganjur judi bukanlah orang yang terdesak kerana ketiadaan wang, tetapi kegiatan judi ini adalah satu perniagaan yang melibatkan duit tunai yang banyak yang boleh digunakan untuk tujuan yang lain termasuk perniagaan dan percaturan-percaturan tertentu.

Kedua, watak Ketua Penyamun yang membenarkan judi dilakukan. Sesuailah dengan kerjanya sebagai ketua penyamun, maka janganlah kita mengharapkan skrip cerita itu akan berubah menjadi nasihat daripadanya kepada Sarjan Penyamun supaya tidak melakukan judi serta carilah duit lain. Maka, Ketua Penyamun membenarkan, atau mengeluarkan lesen serta memberikan pula garis panduan untuk melaksanakannya. Cuma, dia tak ambil pula yuran lesen atau pembahagian keuntungan yang diperolehi Sarjan Penyamun.

Ketiga, dadu hikmat dan 3 kali pertaruhan. Inilah sebenarnya intipati kegiatan judi yang mana ianya ada unsur-unsur penipuan yang nyata. Bagi memastikan penganjur judi meraih keuntungan, mestilah ada elemen-elemen penipuan dibuat. Pemain-pemain pula saya rasa bukan tidak tahu yang mereka ditipu, tetapi mungkin disebabkan oleh faktor 'tak kena nasib' yang menyebabkan mereka tidak sedar telah ditipu.

Keempat, implikasi negatif kepada masyarakat. Hal inilah yang menjadi kebimbangan paling utama. Apabila sudah kalah judi, macam-macam hal akan berlaku. Urusan hidup seharian akan terganggu kerana duit sudah dihabiskan di meja judi. Kegiatan-kegiatan rompakan dan peras ugut untuk mendapatkan wang untuk meneruskan judi juga akan berlaku. Malah sehingga meminjam wang daripada Ahlong untuk berjudi.

Berbalik kepada kuasa kerajaan dalam hal ini. Saya tidaklah sampai mempersoalkan kuasa yang ada pada kerajaan. Tetapi, sudah tentulah sebagai rakyat Malaysia saya tidak setuju jika lesen diberikan untuk meng'halal'kan judi yang haram itu. Ya, mungkin nanti penganjur dan pemainnya adalah yang bukan beragama Islam. Namun, siapa tahu kalau ada rakyat Malaysia beragama Islam yang menyertainya.

Saya juga ingin mengajak pembaca semua supaya merenung-renungkan kuasa Allah yang akan mengulang-ulangkan semula watak-watak manusia dari lipatan sejarah sehinggalah ke hari ini. Pengamatan ini sangat penting supaya kita sentiasa mengambil pengajaran daripada episod-episod kehidupan manusia untuk pedoman hidup kita ke hadapan.

Selain itu, sudah tentulah saya tidak mahu perlawanan bola sepak Piala Dunia nanti ditentukan oleh bookie-bookie dan kaki-kaki judi ini. Saya mahu menonton perlawanan yang benar-benar mempamerkan semangat kesukanan yang tinggi dan bukan dipengaruhi oleh unsur-unsur judi di luar padang. Saya masih ingat pada Piala Dunia 2006, ada laporan mengatakan satu pasukan telah sengaja bermain untuk kalah kerana mereka dijanjikan dengan wang ganjaran. Kebetulan pula, elaun mereka sebagai pemain tidak dibayar dengan sempurna. Kaki judi pula akan bertaruh pada kemenangan pasukan lawan.

Terlanjur berbicara soal judi, saya cadangkan supaya dibaca buku 'Asian Godfather, Money and Power in Hong Kong and Southeast Asia' tulisan Joe Studwell. Saya juga tidak lagi membacanya, tetapi intisarinya saya baca di blog Tn. Hj. Ahmad Azam di sini. Perhatikan ulasannya mengenai kepentingan sektor judi dalam kegiatan ekonomi sesebuah negara, termasuklah Malaysia.

HM - polemik judi haram dan judi halal akan berterusan jika tiada ketegasan.

2 maklum balas:

yassir said...

Maksiat!!!!! Negara Islam Malaysia Luluskan Lesen Judi

Hisyam Muhibah said...

Yassir -- kita harap suara bantahan rakyat akan didengar pemerintah. Teruskan usaha anda memberikan kesedaran terhadap kemaksiatan judi.

Post a Comment

Powered by Blogger.