30 June, 2010

81000 Yang Berdaftar Pun Sudah Membimbangkan

Itu lah jumlahnya yang berdaftar menurut JAKIM. Jumlah anak luar nikah berdaftar sebanyak 81000 orang ini memang membimbangkan. Persoalan awal yang timbul - berapa pula anak luar nikah yang tidak berdaftar?

Saya sendiri tidak tahu berapakah jumlah sebenar kelompok ummat sebegini. Semasa Majlis Perundingan Belia Negeri Pahang bulan Mei lepas, wakil JAIP mengatakan 230000 orang. Tak apalah, mana-mana jumlah pun, yang penting krisis ini sudah semakin membarah. Namun, usaha yang konkrit untuk mengekang pertambahan bilangannya masih lagi samar-samar sehingga hari ini.


Dalam laporan Utusan hari ini, Presiden Institut Integriti Malaysia (IIM), Datuk Dr. Mohd. Tap Salleh berkata, antara punca yang menyumbang kepada peningkatan gejala sosial tersebut ialah penyaluran maklumat tanpa batasan dan perubahan budaya masyarakat. Rakyat Malaysia yang "gila Internet" menggunakan laman sosial untuk berkenal-kenalan yang akhirnya menjurus kepada pergaulan bebas sehingga menyebabkan ketelanjuran dan sebagainya.


Kelompok anak-anak luar nikah ini tidak bersalah sebenarnya. Yang bersalah adalah pelaku-pelaku maksiat yang hilang pertimbangan agama dan akal budi semasa melakukan penzinaan. Mereka ini lah yang menyebabkan struktur keluarga dan masyarakat menjadi porak peranda. Dan sehingga hari ini, kita sudah ada puluhan ribu anak luar nikah yang juga mempunyai hak untuk hidup, bermasyarakat, berpelajaran, beragama dan sebagainya seperti anak-anak lain.

Nampaknya ada dua fokus yang perlu diberikan. Pertama ialah pembentukan diri anak-anak luar nikah supaya mereka boleh membesar dalam suasana yang positif dan membina. Emosi mereka sudah tentu terganggu jika di sekolah mereka diejek, selain daripada melihat surat beranak mereka yang tiada maklumat lengkap mengenai bapa mereka. Sudah sampai masanya, usaha untuk membina peribadi ulung mereka ini digerakkan melalui program-program motivasi, pendekatan kaunseling dan melibatkan mereka dengan masyarakat yang lebih luas.

Jika tidak, mereka akan mempunyai set minda yang negatif. Merasakan diri tidak berguna disebabkan kesilapan pelaku-pelaku maksiat hanya akan menyebabkan moral mereka terus merudum. Dan yang paling menakutkan ialah, mereka juga akan menjadi sebahagian daripada masyarakat dalam tempoh 20 tahun akan datang. Mereka akan berada dalam kelompok belia dan seterusnya mereka akan menjadi pemimpin masyarakat.

Fokus yang kedua ialah usaha Amar Maaruf Nahy Munkar yang nampak gayanya langsung tidak boleh berehat pada masa kini. Pemimpin politik, pemimpin masyarakat, pemimpin NGO, pemimpin belia perlu meneruskan usaha-usaha pembaikan masyarakat. Maksiat sudah terlalu berleluasa. Program-program pendidikan ummat perlu diperbanyakkan untuk menyelamatkan sebahagian anak muda daripada terlibat dengan gejala maksiat. Usaha pembasmian oleh penguatkuasa juga perlu disokong.

Gambar dari sini.

0 maklum balas:

Post a Comment

Powered by Blogger.