10 June, 2010

Cerita Judi #2

Temasya Piala Dunia 2010 sudah bermula di Afrika Selatan. Umat manusia seluruh dunia sudah berpesta merayakan kehadirannya. Walaupun hanya 32 pasukan yang bertanding, itu tidak menjadi penghalang kerana umat manusia akan menyokong dan mendoakan pasukan negara pilihan mereka supaya menjadi juara pertandingan 4 tahun sekali itu. Di negara kita juga, persiapan sudah dilakukan. Daripada menyediakan port-port untuk dicacakkan skrin putih besar dan membeli jersi (samada yang asli atau cetak rompak) sehinggalah kepada mendapatkan pil-pil tahan tidur untuk berjaga malam menonton perlawanan secara langsung.

Di negara kita juga, nampaknya isu besar yang melingkari Piala Dunia masih belum muktamad. Isu berhubung pemberian lesen pertaruhan (baca : judi) kepada Berjaya Corporation nampaknya macam mempermain-mainkan rakyat. Bermula dengan sidang media 6 Mei 2010 Timbalan Menteri di Parlimen yang mengatakan kerajaan mempertimbangkan untuk untuk memberikan lesen judi, sehinggalah kepada berita Berjaya mendapat lesen judi pada 12 Mei 2010, dan yang mengejutkan juga apabila PM memberitahu bahawa lesen judi masih belum dikeluarkan pada 7 Jun 2010.

Taik judi dan kaki judi juga mesti marah-marah. Bila masanya mereka boleh berjudi secara 'halal' yang khabarnya akan dijalankan di 200 (daripada 600 seluruh negara) rangkaian kedai Sports Toto. Taik judi yang dibenarkan hanyalah yang dewasa bukan beragama Islam. Duit modal sudah ada sedia - tak kiralah samada duit poket, duit simpanan, atau pun duit pinjam daripada Ah Long.

Dalam entri sebelum ini, saya berkongsi tentang cerita judi #1 mengenai judi tikam 10 sen di kedai-kedai runcit. Kesimpulannya sama sahaja iaitu selamanyalah taik judi akan ditipu oleh tokey-tokey judi. Samalah ceritanya dalam entri mengenai Sarjan Penyamun Ali Baba Muncul Kembali.

Sekarang kita sambung dengan cerita Judi #2. Premis awal saya ialah cerita ini hanyalah persepsi saya sahaja kerana saya tidak pernah membeli tiket judi di kedai Sports Toto. Zaman teknologi yang canggih sekarang ini menjadikan kegiatan judi di kedai-kedai judi juga menggunakan teknologi terkini. Sistem khusus dibangunkan untuk memudahkan urusan membeli nombor-nombor ekor dan mengeluarkan keputusannya. Keputusannya juga boleh dilihat dalam laman web rasminya.

Ada teknologi ke tak ada teknologi ke, yang pasti taik judi lah yang akan rugi wang ringgitnya kerana sudah pasti mereka akan ditipu. Apatah lagi kalau sistem dan perisian khusus yang digunakan oleh tokey judi. Ini kerana, sistem maklumat pada masa kini akan dibangunkan sehingga mempunyai kecerdasannya sendiri yang boleh membuat keputusan sendiri berdasarkan input yang dimasukkan.

Setiap nombor ekor yang dibeli taik judi akan dimasukkan dan diproses oleh perisian yang digunakan. Nombor yang sudah ditikam ini akan direkodkan dalam pangkalan data perisian judi ini. Proses ini akan berterusan sehinggalah ianya ditutup untuk mengumumkan pemenang yang bernasib baik. Persoalannya adalah, adakah semua kebarangkalian nombor akan ditikam oleh kaki judi? Sudah pasti tidak. Kecualilah, memang semua kaki judi berpakat-pakat untuk membeli nombor-nombor yang berbeza-beza.

Ada 4 kombinasi nombor yang perlu ditikam. Digit pertama mempunyai 10 kemungkinan nombor iaitu 0 - 9. Begitu juga digit kedua dengan 10 kemungkinan nombor. Sama jugalah digit ketiga dan keempat. Ini bermakna, untuk memastikan nombor yang ditikam itu mengena, taik judi mestilah membeli nombor ekor bermula daripada 0000 sehinggalah 9999.

Apabila tempoh pertaruhan sudah tamat (biasanya petang Selasa dan Sabtu - agaknya lah) perisian perjudian yang mempunyai kecerdasan dalam kod-kod aturcaranya sudah tentu sudah mengasingkan di antara data-data nombor yang sudah dibeli dengan yang masih belum dibeli. Secara automatiklah, nombor-nombor yang berada di dalam pangkalan data belum dibeli akan dijadikan First Prize, Second Prize, Third Prize, Special Prize, Consolation Prize dan seterusnya.

Apa maknanya di sini? Maknanya, pertaruhan yang dilakukan bukanlah seratus peratus bebas. Ianya sudah tentu dikawal oleh tokey judi. Nombor-nombor yang menang bukan ditetapkan sebelum pertaruhan dimulakan, tetapi selepas pertaruhan ditutup. Nombor yang tidak dibeli oleh taik judi akan diangkat menjadi nombor yang menang. Inilah kuasa yang ada teknologi maklumat dan perisian.

Kenapa ianya tidak bebas? Kerana perjudian ini adalah perniagaan. Orang berniaga mestilah mahu untung untuk memastikan perniagaannya terus kekal. Dalam masa yang sama, kos operasi dan overhead juga mesti dipastikan boleh dibayar. Maka, apa sahaja akan dilakukan untuk memastikan perniagaan sentiasa stabil termasuklah menipu!

Tidak langsungkah ada yang menang judi nombor ekor? Saya yakin memang ada yang menang. Tetapi hanya sekali sekala (walaupun tidak dihebahkan dalam media arus perdana). Jumlah wang yang dimenangi juga berbeza-beza. Tujuannya apa? Hanyalah semata-mata untuk menggambarkan yang pertaruhan ini benar-benar dipengaruhi oleh unsur 'nasib badan'. Kalau nasib ada baik, maka adalah menang. Kalau nasib tidak baik, tak menang lah.. Hakikatnya, bukanlah bergantung pada nasib langsung!!

Begitulah persepsi saya (baca : sangka buruk) saya kepada pertaruhan judi berkomputer pada masa sekarang. Dengan hanya sekali klik sahaja pada perisian perjudian, tokey judi sudah mengaut berjuta-juta ringgit keuntungan segera yang berupa duit tunai. Dengan sekali klik sahaja juga, beribu-ribu orang ramai yang akan terus-terusan kerugian dan ditipu.

Kesimpulannya, perjudian memang selamnya mengandungi unsur penipuan. Penipuan yang hanya akan menguntungkan tokey judi. Penipuan yang sama akan menjadikan taik judi terus tertipu dan kerugian besar.

Samalah juga jika kegiatan judi dilakukan untuk pertandingan bola sepak. Walau apapun cara yang dilakukan untuk pertaruhan, walau ada yang menang besar hasil tikaman yang mengena, walau berjaya dikawal sebaik mana pun oleh pihak berkuasa, walau judi haram berjaya dikekang, hakikatnya tokey judilah yang akan mendapat faedah besar melalui penipuan dalam sistem pertaruhan.

Impak sosialnya yang menjadi kebimbangan rakyat yang prihatin. Masyarakat akan terus terperangkap dengan angan-angan dan untung rugi nasib badan, masyarakat akan terus terjerat dalam dilema hutang dan dikejar oleh samseng-samseng Ah Long, masyarakat jugalah yang akan terus malas berusaha selain mengharapkan wang mudah dengan mempertaruhkan sejumlah wang modal mereka.

Ayuh! Mari kita BANTAH apa sahaja kegiatan judi samada yang berlesen atau tidak berlesen, samada yang halal atau haram.

2 maklum balas:

Pacifist said...

salam ziarah
yg mnyedihkan sy.negara yg diistiharkan sbg negara islam,kononnya menjadi hub halal sedunia.ttp masalah halal utk kegunaan domestik ,tidak pernah selesai.sebuah negara islam yg berkira2 menghalalkan judi bola.ttp tidak pelik kerana ianya telah disuburkan sejak zaman tunku abd rahman.juga sebuah negara islam yg tidak mendengar pandangan ulama.contoh:pengharaman kalungan bunga di tugu negara,perlu 20 thn utk dituruti/dihentikan.sudah jelas,islam di malaysia sekadar di pinggiran

Hisyam Muhibah said...

pandangan umum mesti terus dikekalkan terhadap isu ini.. supaya nampak protes yang lebih konsisten dan menyeluruh.. InsyaAllah, kesedaran masyarakat akan terbina..

Post a Comment

Powered by Blogger.