02 June, 2010

Laluan Alternatif ke Kelantan Merentasi Bandar Bentong dan Raub

Sejak 5 tahun kebelakangan ini, semasa cuti-cuti panjang hari perayaan akan berlaku kesesakan jalan raya yang teruk di laluan menuju ke Kelantan dari arah KL. Bandar Bentong dan Raub di negeri Pahang ini akan mengalami kesesakan yang menyulitkan pengguna jalan raya yang menuju ke Kelantan dan juga penduduk setempat di Bentong dan Raub.

Saya sendiri pernah terperangkap daripada susur keluar Bentong Timur dari Lebuhraya Karak (dari Kuantan) yang mengambil masa 1 jam untuk sampai ke Masjid Ketari Bentong!! Jaraknya hanyalah sekitar 3KM sahaja!!

Namun sejak setahun dua ini, tindakan proaktif telah diambil oleh pihak Polis Trafik mahupun pengendali Lebuhraya Karak & LPT - syarikat MTD, pihak berkuasa tempatan Majlis Perbandaran Bentong dan Majlis Daerah Raub untuk memastikan aliran trafik menjadi lebih lancar sepanjang laluan merentasi bandar Bentong dan Raub.

Untuk musim cuti sekolah dan kenduri kahwin kali ini, saya menjangkakan Bandar Bentong dan Raub akan sesak teruk bermula tengah malam Jumaat sehingga petang Sabtu. Kesesakan disebabkan aliran kenderaan yang akan bertambah berlipat kali ganda kerana orang ramai mahu pulang ke kampung untuk memulakan cuti sekolah di samping menghadiri jemputan kenduri kahwin di sekitar daerah Bentong dan Raub. Apabila kenderaan mula memasuki kawasan bandar, kelajuan terpaksa diperlahankan.

Kesesakan dijangka tidak teruk untuk tempoh pertengahan cuti sekolah. Namun, kesesakan dijangka akan berlaku semula pada laluan keluar dari Raub dan Bentong menuju KL/Lebuhraya Karak/LPT sepanjang hari Ahad 20/6/10 dari pagi sampai tengah malam.

Saya sekadar memberitahu laluan-laluan alternatif dari Lebuhraya Karak ke Gua Musang untuk makluman semua.

1- Untuk pemandu dari KL ke Gua Musang, laluan alternatif anda ialah : selepas bayar tol Bentong, jangan terus lalui exit Bentong Barat. Teruskan perjalanan. Abaikan juga exit Bentong Timur (kawasan industri). Teruskan memandu sehingga anda melihat papan tanda "Sertik", "Kg. Cinta Manis" atau "Mempaga". Susur keluar ke kiri dan ambil laluan ini. Land mark yang berhampiran ialah gua batu kapur di sebelah kiri. Simpang ini adalah sebelum masuk ke LPT. Daripada simpang ini, teruskan memandu dan anda akan merentasi kampung-kampung Sertik, Cinta Manis, sehinggalah Felda Mempaga. Teruskan pemanduan melalui Kampung Lebu sehingga sampai ke simpang keluar jalan Bentong-Raub. Di simpang ini ambil laluan kanan untuk menuju bandar Raub. Laluan ini telah by pass bandar Bentong yang dijangka sesak teruk dengan kenderaan.


2- Untuk pemandu dari KL ke Gua Musang, kalau mahu melalui Bandar Bentong juga, bersiap sedialah untuk menghadapi cabaran kesesakan lalu lintas. Pastikan minyak anda cukup dan lutut kiri anda tidak sakit untuk menekan clutch kereta anda.

3- Untuk pemandu dari Kuantan/LPT : ambil exit Lanchang. Laluan ini akan merentasi simpang ke Kuala Gandah, Felda Bukit Damar, Felda Lakum dan keluar di Simpang Felda Mempaga. Ambil laluan ke kanan dan teruskan pemanduan hingga ke simpang jalan Bentong-Raub seperti kes no. 1 di atas.

4- Untuk kes 1 dan 3 yang hendak menuju ke Gua Musang, pilihan seterusnya ialah - selepas anda melepasi Felda Mempaga, ada satu simpang ke kanan yang ditulis Jalan Alternatif ke Gua Musang yang merentasi Felda Krau, Felda Lembah Klau dan Ulu Gali. Anda dinasihati mengambil jalan felda ini. Pastikan mengikut papan tanda di simpang-simpang sehingga anda merentasi pekan Sungai Klau, pekan Sungai Ruan dan kampung Ulu Gali sehingga anda akan keluar ke simpang 3 bersebelahan dengan Sekolah Sains Raub (SEMESTA). Ambik laluan kanan untuk meneruskan perjalanan ke Lipis. Anda telah by pass bandar Raub jika memilih laluan ini.


5- Tambahan untuk yang memilih alternatif no. 4 ialah sebelum melalui kampung Ulu Gali (berhampiran selekoh berdekatan Dewan Orang Ramai Kampung Ulu Gali) sila ambil simpang ke kanan yang ditulis Kampung Jelu dan Ulu Dong. Laluan ini juga menarik untuk dipilih kerana ianya akan keluar di Pekan Dong (atas sikit dari Simpang Ulu Gali). Anda telah by pass Kampung Gali, Gali Lurus dan Gali Tengah yang berisiko juga untuk jamm.


6- Tambahan kepada kes no.5 anda boleh memilih untuk melalui simpang ke pekan Benta semasa berada di Ulu Dong. Cuba lalu jalan kampung ini sehingga anda keluar di pekan Budu di Benta. Di Simpang pekan Budu, ambil laluan ke kanan sebelum sampai ke round about ke jalan Benta-Lipis. Laluan ini by pass keseluruhannya daerah Raub dan anda terus keluar ke jalan dalam kawasan daerah Lipis.


7- Jika anda melalui juga Bandar Raub, ini lagi mencabar untuk merentasinya sebelum dapat keluar ke laluan menghala Lipis dengan lebih selesa. Pilihlah jalan Tersang - Sg. Koyan - Lubuk Kulit - Berchang. Di bandar Raub selepas melepasi bandar, pilih laluan kiri ke Jalan Cheroh dan teruskan perjalanan ke Tersang dan Sg. Koyan. Ikutilah papan tanda sehingga anda keluar di simpang Kampung Berchang Lipis. Di sini, pilih laluan kiri untuk ke Padang Tengku.



8- Jika anda tidak mahu merentasi jalan felda Tersang dan Sg. Koyan, sila ambil simpang ke kanan sebaik sahaja melepasi pekan Cheroh. Papan tanda bertulis Gesing, Semantan dan Kuala Dong. Pilih jalan ini sehingga anda keluar di simpang Kuala Dong. Di simpang ini, pilih laluan ke kiri untuk meneruskan perjalanan ke Benta dan Lipis.



9- Di bandar Lipis tidak ada masalah kesesakan kecuali yang disebabkan oleh orang Lipis sendiri yang keluar membeli barang2 keperluan untuk berhari raya. Ini disebabkan jalan pintasan telah lama disiapkan di Batu 3 dan terus keluar ke kampung Tempoyang untuk menuju Padang Tengku.

Untuk memudahkan perjalanan dan mendapat maklumat terkini tentang keadaan trafik di Bentong dan Raub, silalah hubungi IPD Bentong 09-2222222 dan IPD Raub 09-3552222. Kalau dah masuk kawasan Pahang, anda juga boleh mendengar Radio Malaysia Pahang FM yang kebiasaannya akan membuat laporan dari semasa ke semasa tentang kesesakan di laluan ini. Frekuensinya ialah 107.5FM di kawasan lembah Klang sehingga Bentong, Raub dan Temerloh. Frekuensi lain ialah 104.1 untuk kawasan Pahang Timur.

selamat memandu dan selamat bercuti serta berkenduri kendara..

8 comments:

  1. Salam rodong,
    Time kasih atas info aok.. Koi selalu balik ke Kelantan mmg itulah jalan koi nok ngelok sesok dalam bandar bentong. Tension wehhhh....

    ReplyDelete
  2. Salam rodong,
    sebelum masok Bentong tu, tepon delu poleh bentong.. nanyer jemm ke tok kat siteh.. kalo tok jemm oak masok je lah ke bentong teh..

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum, detail betul penerangan En Hisham, siap peta lagi..insyaAllah nanti nak cuba..

    ReplyDelete
  4. Waalaikumussalam Kak LL -- sila lah cuba.. memang rase maca jaoh sket.. tapi, yang penting dapek ngelok jemm ket bandor benting dengan raub..

    ReplyDelete
  5. Entri yg lengkap nih...memudahkan pengguna yg nak balik ke Kelantan...semoga dpt membantu mereka...

    Antara Games yg menghina Islam

    ReplyDelete
  6. plan utk ke kelantan besok...ikut jln biasa mesti jem giler...nk pengesahan...jln ni mmg ok ke?

    ReplyDelete
  7. Anon - ya, jalan2 ni memang OK. saya pernah lalu semuanya

    ReplyDelete
  8. entry panas musim perayaan ni...haha

    ReplyDelete