04 June, 2010

Obses Manusia Kepada Wang; Akhirnya Ditipu Sindiket Internet Fraud

Utusan Malaysia pada Jumaat lepas melaporkan seorang suri rumah dari Sabah telah kerugian RM1.2 juta kerana terperangkap dengan aktiviti penipuan di Internet. Baca laporan ini, untuk mengetahui lebih lanjut mengenainya.

Begitulah dunia dengan segala ragamnya. Begitulah manusia dengan segala kelicikan akal fikirannya.

Walaupun telah berkali-kali didedahkan mengenai aktiviti Internet Fraud, atau juga disebut Internet Scam, lebih mudah difahami disebut Penipuan Internet, masih terdapat lagi manusia yang menjadi mangsa oleh perangkap ilusi yang langsung tidak wujud!!

Sudah tentu motivasi utamanya adalah wang jutaan ringgit yang ditawarkan. Manusia ini kalau dijanjikan wang ringgit memang akan gelap matanya. Kalau seratus dua pun sudah menjadikan manusia tidak tenteram, apatah lagi kalau dijanjikan jutaan ringgit.

Biasanya sindiket penipu ini akan memancing bakal mangsa mereka dengan mengatakan duit jutaan ringgit mereka perlu dipindahkan segera untuk mengelak daripada dibekukan, menawarkan duit jutaan ringgit untuk tujuan pelaburan, wang hadiah jutaan ringgit kerana memenangi hadiah cabutan bertuah atau loteri, malah ada yang melampau sampai mahu memberi sumbangan jutaan ringgit untuk kerja-kerja kebajikan dan sumbangan kepada anak yatim!!

Saya tidak mahu menyalahkan suri rumah tersebut. Sangkaan baik saya kepadanya ialah dia tidak pernah mengetahui bahawa adanya sindiket yang menggunakan Internet untuk memperdaya pengguna lain.

Modus operandi sindiket Internet Fraud pada masa sekarang menjadi semakin berani. Malah boleh dianggap sebagai boleh memancung leher sendiri. Kenapa saya berkata begitu? Kerana mereka berani membuat panggilan telefon terus kepada bakal mangsanya. Selain itu, ada yang berani berjumpa untuk meyakinkan bakal mangsa. Menghantar mesej SMS yang memaparkan nombor telefon bimbit yang sah berdaftar. Malah ada yang memberikan nombor akaun dan nama pemegang akaun bank tempatan yang sah!!

Tetapi, ya lah.. manusia memang sangat mudah terpedaya dan tergoda dengan janji-janji wang ringgit yang menanti. Kecerdasan akal fikiran tidak digunakan sepenuhnya untuk berfikir sedalam-dalamnya sebelum melakukan sesuatu yang mengikut kehendak penipu tersebut, seterusnya menyebabkan mereka terperangkap dan kerugian.

Nasihat saya begini sahajalah :
  1. Janganlah melayan emel-emel scam dan fraud yang sangat banyak bertaburan dalam inbox emel kita. Sekadar membacanya tidak apa. Tetapi jangan melibatkan diri. Bukankah kita sentiasa diingatkan supaya tidak membuka mana-mana emel yang kita tidak tahu siapa yang menghantarnya (kalau dahulu kita bimbangkan virus).
  2. Kalau anda melayan emel tersebut, jangan pula mudah terpedaya jika penipu-penipu ini mengirimkan salinan passport, CV, kad matrik, kad pengenalan, muka depan buku akaun dan sebagainya untuk membuktikan identiti mereka adalah benar. Percayalah, itu semua adalah tipu semata-mata, samada ianya direka sendiri atau dicuri daripada pemilik sebenar identiti tersebut.
  3. Ada sesetengah sindiket yang 'advanced' yang boleh mewujudkan laman web syarikat kurier dan mengeluarkan 'resit' bayaran perkhidmatan kurier. Malah mereka juga menyediakan kod transaksi untuk menjejak perjalanan bungkusan tersebut daripada berlepas hinggalah sampai ke KLIA. Sekali imbas memang nampak betul, tetapi percayalah, itu semua juga tipu!
  4. Mereka juga akan memainkan sentimen peraturan kastam negara kita. Katanya, kastam tidak benarkan bungkusan tersebut masuk ke Malaysia. Tetapi wakil mereka di pejabat PBB di Malaysia akan selesaikan masalah tersebut. Selepas bungkusan berada di Pejabat PBB Malaysia, anda perlu membayar pula kepada agen PBB Malaysia untuk mendapatkan bungkusan tersebut. Percayalah, ini juga tipu! PBB Malaysia pernah mengeluarkan iklan di suratkhabar mengatakan mereka tidak terlibat dengan mana-mana kegiatan penghantaran bungkusan dari luar negara!
  5. Buatlah 'double-checking' terlebih dahulu kepada maklumat-maklumat yang diberikan, contohnya alamat pengirim, syarikat tempat kerjanya, nombor-nombor telefon yang diberikan, identiti diri yang digunakan dan pihak ketiga yang dikaitkan. Gunakanlah Internet dan panggilan telefon untuk membuat pemeriksaan balas.
  6. Jangan buat sebarang bayaran - samada digelar yuran pemprosesan atau bayaran kepada agen PBB. Sepatutnya, pihak pengirimlah yang selesaikan semua bayaran.
  7. Buatlah aduan kepada SKMM terhadap nombor-nombor telefon bimbit yang digunakan untuk tujuan penipuan ini.
  8. Laporkan juga kepada polis untuk tujuan keselamatan diri dan keluarga serta keselamatan maklumat peribadi (nama, alamat, nombor telefon, salinan Mykad) yang telah dibekalkan kepada sindiket penipu itu.
Anda juga boleh baca lanjut mengenai Inernet Fraud di Wikipedia di sini.

Nota : kredit gambar dengan klik terus pada gambar.


4 maklum balas:

smtabi'in said...

Minggu lepas dapat MENANG Sterling Pound 500,000 daripada Yahoo-Microsoft Financial Promotion. Dua minggu sebelum tu dapat dari Hyundai Motor Email Promotion sebanyak Sterling Pound 850,000... hmmm.... memang sangat menggiurkan semua itu... kalau ianya realiti.. hehehhee

Hisyam Muhibah said...

Kalau betul, memang dah lama jadi kaya raya.. tiap2 hari menang hadiah duit juta2..

Suara Kalbu said...

Percaya atau tidak,

kebanyakan mangsa selalunya adalah wanita samada surirumah ataupun yang sudah berkerjaya. Hairan betul.

Terkadang tertanya-tanya mereka ini tidak membaca surat khabarkah, tidak membuka internet kah atau paling tidak terdengar orang-orang sekeliling bercerita ?

Hisyam Muhibah said...

Suara Kalbu - lelaki pun ada juga yang tertipu. Tetapi yang ada nilai berita ialah apabila wanita yang tertipu atas nama 'cinta'. Pandangan saya, yang tertipu tu selain sebab yang anda nyatakan, juga sebabnya ialah terlalu percaya kepada semua maklmat dalam Internet.

Post a Comment

Powered by Blogger.