08 June, 2010

Sindiket Tipu SMS Tumpas!

Lega! Itulah yang terdetik dalam hati selepas membaca laporan-laporan media mengenai kejayaan polis melumpuhkan satu sindiket penipuan menggunakan pesanan khidmat ringkas (SMS) yang telah memperdaya 2566 mangsa dengan jumlah kerugian sebanyak RM6.4 juta sejak 3 tahun lepas, hasil dua serbuan di Tawau Sabah.

Laporan Bernama boleh baca di sini, laporan Utusan boleh baca di sini dan laporan Kosmo boleh baca di sini.

Seramai 26 individu berusia 16 - 41 tahun telah ditangkap oleh polis. Lebih mengejutkan, sindiket ini didalangi oleh warga asing dari Indonesia yang dikenali sebagai Pak Agos dan Acok.

Dalam entri lepas, saya memberikan respon mengenai sindiket Internet Fraud yang berleluasa di Internet, menjalankan kegiatan secara berani dan berjaya menipu ramai mangsa.

Apakah persamaan dengan sindiket penipuan SMS ini pula? Ada dua persamaan yang sangat ketara iaitu obses manusia kepada wang ringgit dan kegagalan manusia untuk mengambil iktibar daripada peringatan-peringatan yang diberikan.

Peringatan-peringatan samada daripada kawan-kawan atau pihak berkuasa tidak diendahkan. Malahan pihak polis dan bank juga menampal notis-notis di mesin-mesin ATM untuk mengingatkan orang ramai. Tetapi, dek kerana janji wang ribuan ringgit yang menanti, semua peringatan tidak diendahkan. Mungkin juga mahu mencuba, mungkin juga sudah nekad.

Obses manusia kepada wang ringgit ini boleh kita letakkan pada bahu mangsa dan juga pada penipu itu sendiri.

Mangsa yang mudah gelap hati dan mata kerana ditawarkan duit ribuan atau jutaan ringgit sangat mudah hilang pertimbangan dalam membuat tindakan. Janji wang ribuan ringgit yang 'mudah' diperolehi tentu tidak mahu dilepaskan begitu sahaja. Mungkin juga inilah yang dinamakan 'duit terpijak', atau doa sudah dimakbulkan, yang dinanti-nantikan selama ini. Maka, jangan lepaskan peluang keemasan ini. Ikutlah segala arahan pemberi SMS sekalipun perlu mengeluarkan 'sedikit modal' untuk mendapat ganjaran yang lebih besar. Akhirnya, bak kata P.Ramle : "masuk angin keluar asap".

Penipu yang menjalankan sindiket ini juga obses kepada wang ringgit. Mungkin susah untuk mendapatkan pekerjaan yang sepatutnya, maka dipilih jalan penipuan untuk mendapat wang ringgit. Ilmu pengetahuan dan kemahiran menggunakan Internet telah disalahgunakan untuk menipu orang lain. Kalau sekali tipu sudah ada yang terpikat, maka sudah tentulah ramai lagi di luar sana yang boleh ditipu. Makin ramai yang ditipu, makin banyak untung yang akan dikaut. Maka, slogan "Aku Kaya" akan menjadi tema hidupnya selepas ini.

Benarlah kata orang tua-tua, "sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga". Menipulah cara mana pun, dalam dunia teknologi masa kini, semuanya boleh dijejak dengan mudah. Saya yakin dengan kemampuan pihak polis dan SKMM dalam menjejak semua penjenayah siber yang sangat berleluasa sekarang. Apa yang penting kerjasama dan maklumat daripada orang awam bagi memastikan kegiatan sebegini dapat dilumpuhkan.

Nota : gambar diambil dari blog yang lain. Kredit kepada blog tersebut dengan mengklik pada gambar yang dipaparkan

3 maklum balas:

Webmaster@Echam said...

Saya pernah dapat SMS ni. Pastu saya reply balik dengan perkataan "Agak-agak ler kalo nak menipu tu"

Hisyam Muhibah said...

Ada yg terus dapat call dr penipu2 ni.. memang berani diorang ni.. tapinya sebab apa berani? sebab manusia ni mudah lupa dan melupakan..

smtabi'in said...

kita perlu berfikir cerdik dalam hal macam nih.... contoh dari sms dalam gambar tuh... menang dari power root sdn bhd, tapi suruh call no indonesia... langsung tak boleh diterima akal sihat... tapi kalau dah kelabu mata dengan rm 15 k itu... hmmm... lupa dah semua perkara basic tu...

Post a Comment

Powered by Blogger.