11 July, 2010

Pedoman Israk dan Mikraj


Tidak lengkap rasanya jika tidak menulis mengenai Israk dan Mikraj. Peristiwa agung dalam kalendar Islam ini perlu dihayati dengan baik. Ini kerana, di dalamnya terkandung perintah Solat yang diberikan secara langsung oleh ALlah kepada Nabi Muhammad SAW di Sidratul Muntaha.

Tetapi, saya tidak berhajat untuk bercerita kronologi peristiwa daripada Alif sampai Ya. Itu semua boleh dibaca sendiri daripada buku-buku yang banyak diterbitkan. Kita mahu semua pengajaran daripada peristiwa ini diterjemahkan dalam bentuk tindakan seharian supaya kualiti orang Islam akan terus meningkat.

Penyucian Jiwa. Israk dan Mikraj dimulakan dengan acara membersihkan jiwa Nabi Muhammad SAW oleh malaikat Jibrail. Dada Baginda dibelah lalu dicuci hati dengan air zamzam. Kemudian, dimasukkan hikmat dan iman sebelum ditutup semula. Ini adalah prasyarat perjuangan dakwah Baginda. Bagi mengharungi mukjizat Israk dan Mikraj diikuti dengan tentangan kafir Quraisy, sudah tentu menuntut hati yang suci bersih. Hati yang disulami niat yang tulen ikhlas dalam menyebarkan mesej dakwah. Dalam hidup kita, persoalan niat memainkan peranan yang sangat signifikan. Niat akan menentukan kualiti amalan samada hasilnya berkesan atau tidak.


Campur Tangan ALlah Dalam Urusan Manusia. Memang tidak boleh diterima oleh logik akal manusia bagaimana Baginda boleh mengembara sejauh 1200KM dari Mekah ke Palestin dan balik semula ke Mekah dalam tempoh satu malam sahaja. Perihal Buraq tunggangan yang lebih laju daripada cahaya. Bersolat jemaah pula dengan Nabi-Nabi terdahulu sebelum naik ke langit setingkat demi setingkat. Bertemu ALlah pula di Sidratul Muntaha di samping dipaparkan dengan gambaran-gambaran visual segala macam ragam manusia yang ditafsirkan oleh Jibrail. Semua ini adalah diluar batasan logik akal. Tetapi, semua itu tidak mustahil jika ALlah mahukan ianya terjadi. Bermakna, urusan kehidupan manusia seharian boleh diselesaikan jika ALlah masuk campur dengan syarat kita sentiasa bergantung harap kepada kekuasaanNya.

Akur Dengan Realiti Dan Kemampuan. Sinonim Israk Mikraj dengan pensyariatan Solat. Perintah asalnya adalah 50 waktu sehari semalam. Namun, Nabi Musa menjadi perunding yang berkesan dengan menasihati Nabi Muhammad SAW supaya memohon supaya diberikan diskaun. Berulang alik naik dan turun sebanyak 9 kali, akhirnya tinggal 5 waktu sahaja. Itu pun Nabi Musa masih menasihati dengan ayat "umat kamu tidak akan mampu melaksanakannya" dan mohon lah lagi untuk dikurangkan. Begitulah realiti umat Muhammad yang ternyata tidak mampu untuk menunaikan tugasan solat ini. Jika disyariatkan 50 waktu, maka berlipat kali gandalah dosa kita akan terkumpul kerana realiti kita sememangnya tidak mampu untuk menunaikannya.

Realiti Cabaran Dakwah. Di siang hari, Baginda menceritakan kepada kaumnya mengenai peristiwa Israk Mikraj. Tidak pelik jika mereka membangkang dan tidak mempercayainya. Malah, dilabelkan pula Muhammad sebagai gila dan pendusta. Tidak cukup dengan itu, mereka pergi bertanya Abu Bakar dengan harapan Abu Bakar akan berada di sebelah mereka. Tekanan terus diberikan dengan meminta Baginda SAW menceritakan pula keadaan rupa bentuk Masjid Al-Aqsa. Ini semua adalah cabaran dalam berdakwah. Disebabkan jiwa Nabi Muhammad SAW yang sudah sedia bersih, Baginda tidak gentar untuk menghadapinya. Dakwah harus disampaikan walaupun tekanan demi tekan diterima olehnya.

Tegas Membenarkan Kebenaran. Peranan Abu Bakar sangat fenomenal dalam peristiwa Israk Mikraj. Dalam pada kaum kafir Quraisy menolak mentah-mentah dakwah baginda, Abu Bakar tampil mengisytiharkan pendiriannya dengan tegas tanpa teragak-agak. "Jika cerita itu datangnya daripada Muhammad, aku percaya dan membenarkannya". Walaupun Abu Bakar sangat sedar akan risiko kerana menyatakan kebenaran - mungkin dikenakan kekerasan oleh kafir Quraisy, namun dia tidak berganjak daripada pendirian menyokong kebenaran.

2 maklum balas:

LIPISLADY said...

Assalamualaikum,En Hisham, terima kasih atas maklumat ini,

Hisyam Muhibah said...

Kak LL - waalaikumussalam. Harap2 bermanafaat utk semua

Post a Comment

Powered by Blogger.