05 July, 2010

Pesan Ibu Bapa Semasa 'Menyerahkan' Anak

Bulan Julai adalah musim anak-anak menyambungkan pengajian ke peringkat Institusi Pengajian Tinggi (IPT). Mereka yang bernasib baik, dapatlah sambung ke Pusat-Pusat Matrikulasi, Pusat-Pusat Asasi dan program-program Diploma IPTA. Ini adalah laluan paling mudah untuk melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah di IPTA. Selebihnya (mewakili sebahagian besar) pula akan menyambungkan pengajian di IPTS selepas bermacam-macam surat tawaran yang diposkan ke rumah diteliti satu persatu.

Apa yang penting, menyambungkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi daripada peringkat persekolahan.

Maka, bersemangatlah ibu bapa menyediakan segala persiapan. Kenduri kesyukuran juga sudah diadakan untuk menghebahkan yang anaknya akan melanjutkan pengajian ke IPT. Pakaian baru juga dibeli supaya menepati 'dressing code' yang ditetapkan oleh IPT. Borang-borang diisi dengan penuh cermat supaya tidak menyusahkan semasa pendaftaran. Duit juga diusahakan sedaya mungkin untuk dijadikan wang saku buat belanja makan minum anak-anak di asrama nanti.


Semasa hari pendaftaran, ibu bapa akan mencari-mencari pensyarah-pensyarah yang akan mengajar anaknya nanti. Maka, selepas dapat bertemu bermacam-macamlah kata-kata harapan dan pesanan yang diberikan kepada pensyarah-pensyarah tersebut.

"Encik tolonglah tengok-tengokkan anak saya ni ye.. dia ni jenis malas sikit.. nak kena rajin pesan kat dia supaya rajin belajar..."

"Puan, saya serahkan anak saya ni kepada puan untuk didik dia menjadi orang yang berguna pada masa depan.."

"Ustaz, anak saya ni liat sikit pasal agama.. Ustaz buatlah apa yang patut supaya dia menjadi orang yang baik akhlaknya.."

Dan macam-macam lagilah pesanan ibu bapa yang menggambarkan segunung harapan mereka terhadap anak-anak mereka dalam aspek pendidikan. Ini adalah amanah besar yang diletakkan di bahu pensyarah-pensyarah. Mereka perlu membuktikan yang pilihan untuk menyambung pengajian di IPT itu adalah yang tepat dan terbaik.

Suka juga saya berkongsi cerita-cerita dan pesanan orang-orang terdahulu yang sangat mengambil berat terhadap pemeliharaan, pendidikan dan pengajaran anak-anak mereka. Cerita-cerita ini saya petik daripada kitab Tarbiyatul Aulad fil Islam dalam muqaddimah Bahagian Kedua.

  • Al-Jahizh telah meriwayatkan, bahawasanya Uqbah bin Abu Sufyan, apabila menyerahkan anaknya kepada seorang pendidik, katanya : Mula-mula sekali, sebelum engkau memperbaiki anakku, hendaklah engkau memperbaiki dirimu sendiri, kerana matanya menumpu kepada matamu. Yang baik padanya ialah apa yang engkau pandang baik, dan yang buruk pula ialah apa yang engkau pandang buruk. Ajarkanlah dia perjalanan para ahli bijaksana, dan akhlak para budiman, dan ancamlah mereka dengan diriku, dan jadilah baginya laksana seorang doktor yang tidak tergopoh-gapah menentukan sesuatu ubat, sebelum dia tahu penyakitnya, jangan kau bergantung atas keuzuran daripadaku, sebab sesungguhnya aku telah bergantung sepenuhnya kepada kebolehan dan pengalaman yang ada padamu.

  • Abdul Malik bin Marwan pernah menasihatkan pendidik anaknya, katanya : Ajarkanlah mereka kebenaran, sebagaimana engkau mengajar mereka membaca Al-Quran, sentiasa biasakan mereka dengan akhlak yang baik, bicarakan kepada mereka dari syair-syair supaya mereka berani dan bersemangat, biasakan mereka duduk bersama orang-orang yang mulia dan ahli ilmu pengetahuan, dan jauhkanlah mereka dari bercampur dengan orang-orang yang rendah budinya serta khadam-khadam, sebab mereka itulah orang-orang yang paling buruk kelakuannya, hormatilah mereka di hadapan ramai, dan cela mereka secara rahasia, dan pukullah mereka jika mereka berdusta, kerana dusta itu menarik kepada maksiat, dan maksiat pula menarik kepada api neraka...

  • Berkata Al-Hajjaj kepada pendidik anak-anaknya : Ajar mereka berenang sebelum engkau mengajarnya menulis, sebab mereka boleh mendapatkan orang yang menulis untuk mereka, tetapi tidak boleh mendapat orang yang akan merenangkan mereka.

  • Berpesan seorang pendita kepada pendidik anaknya : Jangan engkau pindahkan dia dari suatu ilmu kepada ilmu yang lain, sehingga dia benar--benar menguasai ilmu yang pertama dahulu, sebab percampur-adukan ilmu pada pendengaran dan bertimpa-timpanya dalam kemewahan adalah membahayakan fahaman.
Dan ada beberapa lagi cerita mengenai pesanan ibu bapa kepada pendidik yang saya tidak masukkan di sini. Anda boleh rujuk dalam kitab tersebut.

6 maklum balas:

Hamzah Ian said...

sedeh lak pikir time mak aku hantar aku dulu2..

Hisyam Muhibah said...

Hamzah - baguslah kalau ada rasa macam tu..

Cik Bucken said...

rase cm nk msuk U blik yp x nk blaja,,nk lepak ngn member2 je..ehehe

Hisyam Muhibah said...

Cik Bucken - masuk lah balik U, tapi bukan sebagai pelajar, masuk sebagai pekerja..

faris azman said...

tringat blek 3 mggu yg lpas,.,
mse rgister ipt,.,

Hisyam Muhibah said...

Faris -- baguslah kalau teringat.. dan kena igat sampai habis belajar nanti..

Post a Comment

Powered by Blogger.