28 July, 2010

Respon Awal Guru Dibenar Berpolitik


Semua media cetak menyiarkan berita ini sejak diumumkan oleh KSN pada semalam. Ianya dijangka akan menjadi bahan berita dalam beberapa hari ini. Orang awam juga akan memberikan pandangan balas mereka baik di kedai kopi, di surau, di pejabat sehinggalah di Facebook dan blog-blog.

Saya juga mengalu-alukan kebenaran yang diperkenankan oleh Yang Diperuan Agung ini. Justeru, pada peringkat awal ini saya senaraikan respon dan ulasan awal mengenai kebenaran ini.
  1. Kerajaan Barisan Nasional dilihat berada dalam keadaan terdesak untuk mendapatkan keyakinan guru-guru bagi mengundi mereka di dalam pilihanraya. Jika sebelum ini, guru-guru gred 41 - 48 tidak dibenarkan aktif berpolitik oleh kerajaan BN sendiri, maka idealisme politik mereka dialihkan kepada parti pembangkang. Trend ini akhirnya menjadi duri dalam daging kepada kerajaan BN kerana sokongan daripada guru-guru sudah merosot. Dengan memberikan semula kebenaran ini, harapan besarnya ialah supaya undi guru-guru akan kembali kepada BN. Untuk rekod ada seramai 190000 orang guru berijazah dalam gred yang disebutkan ini.

  2. Walaupun kebenaran sudah diberikan, tetapi ianya masih tertakluk kepada kelulusan bertulis yang hanya boleh diberikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran. Bermakna, masih ada syaratnya. Sudah tentu, pertimbangan politik partisan akan digunakan semasa permohonan dipertimbangkan. Data yang akan diwujudkan ialah pemetaan bilangan guru yang aktif dengan BN, aktif dengan PR serta yang berkecuali atas pagar. Maka, jika tindakan politik partisan dilaksanakan, sudah tentu guru-guru yang memohon untuk aktif dengan pembangkang akan berhadapan dengan tindakan-tindakan seperti ditukarkan atau diberikan pengawasan rapi. Dalam kata lain, BN boleh membuat proses pemutihan politik di kalangan guru-guru seluruh negara.

  3. Kebenaran ini akan membawa anjakan dan sinar baru dalam politik dan budaya politik negara kita ini. Sejak sekian lama (selepas guru tidak dibenarkan) politik dan budayanya dikuasai oleh sang penguasa ekonomi yang mempunyai modal dalam bentuk material. Apa yang berlaku ialah politik wang dan politik kebendaan menular dengan banyak sehingga menafikan prinsip-prinsip kebaikan dalam berpolitik. Harapannya nanti, guru-guru akan membawa budaya positif dalam berpolitik yang mementingkan keilmuwan, akhlak, prinsip dan prihatin yang mereka sudah terlatih dalam profesyen mereka. Akhirnya, politik wang akan terpinggir sedikit demi sedikit.

  4. Kepimpinan politik akan kembali bersandarkan faktor keilmuwan dan bukan lagi pengaruh wang-material. Ini akan menghasilkan barisan kepimpinan politik yang mempunyai ketrampilan ilmu, kredibiliti sahsiah dan gaya hidup tawaduk. Barisan pemimpin politik yang mantap akan mengeluarkan idea-idea yang bernas untuk memajukan negara.

  5. Pengasingan kerja hakiki sebagai guru dengan penglibatan dalam politik perlu jelas. Guru-guru tidak boleh mencampuradukkan fahaman politik mereka dengan silibus PnP mereka. Jangan menggunakan kesempatan mengajar di kelas untuk menyalakan api pertelingkahan politik kepada murid-murid sekolah terutama ketika musim pilihanraya. Ini hanya akan merugikan semua pihak di sekolah.

  6. Hormat guru kepada Pengetua, Guru Besar dan Pentadbir Sekolah mesti terus dikekalkan. Senario yang akan berlaku selepas ini ialah, guru memegang jawatan politik di cawangan atau bahagian. Jawatan akan datang bersama pengaruh dan kuasa. Jangan sesekali menggunakan jawatan politik untuk menekan Pengetua, Guru Besar dan Pentadbir Sekolah supaya membuat keputusan yang akan cenderung memihak kepada parti yang diwakilinya.

  7. Perpaduan sesama guru tidak boleh digadaikan dengan fahaman politik partisan yang berbeza sesama mereka. Sudah tentu guru yang cenderung kepada BN akan berjumpa dengan seteru mereka yang aktif dalam PR. Janganlah terlalu berpolitik sampaikan program-program sekolah menjadi sulit untuk dilaksanakan, mesyuarat guru jadi medan hentam menghentam dan kelompok kecil diwujudkan sesama guru mengikut baju politik mereka.

  8. Kebenaran ini juga mungkin tidak mendapat sambutan di kalangan guru-guru. Ini kerana mereka sudah sedia terbeban dengan tugas-tugas di sekolah. Tugas hakiki yang ditambah dengan tugas-tugas perkeraniaan dan penyelarasan menyebabkan mereka balik lewat ke rumah. Selain itu, latar belakang pendidikan dan pengalaman mereka yang tidak terdedah dengan suasana politik sebelum bergelar guru juga akan mempengaruhi. Kecualilah guru-guru yang semasa di universiti sudah terlibat dengan gerakan mahasiswa yang cenderung kepada parti-parti politik. Guru sebegini yang dijangka akan menyahut kebenaran KSN ini. Selebihnya, akan terus kekal sebagai guru atas pagar yang tidak mahu ambil pusing mengenai dunia politik semasa.

  9. Guru-guru yang mahu aktif di dalam parti politik dicadangkan supaya masuk secara berpasukan. Ini bagi memberikan impak kepada parti yang disertainya. Jika masuk secara berasingan dan bersendirian, kehadiran mereka tidak akan dirasai. Akhirnya, peranan mereka tidak akan berhasil. Hadir dan masuk secara berpasukan bersama idealisme murni untuk membawa budaya 'politik nilai' yang lebih baik. Pelaksanaannya melalui program-program biro dalam parti, budaya penampilan mereka mesti berbeza daripada ahli bukan guru serta sentiasa mementingkan faktor keilmuwan dalam menentukan gerak langkah mereka dalam percaturan dunia politik.

4 maklum balas:

a.z.r.i.n.a.03.07 said...

kena bahagikan masa lah pulak cikgu-cikgu ni..

smtabi'in said...

satu pandangan yang sangat baik....

pakcikLie said...

dalam diam2 pn dh kalut semacam jer cikgu2 ni bila time PRU..apatah lg bila dpt kebenaran...jgn lupa tugas hakiki.

suri said...

jadilah guru kpd kebanggan tanah tumpah sendiri tiada salahnya tapi harus bijak dlm memperuntukan masa dlm pendidikan , politik, kluga dn sbgnya.

pada sapa yg nak di harapkan lagi klu bukan warganegara Malysia..anak jati ngara.kita hurus berbagga sb di beri kepercayaan sbgtu olh PM kita lbh2 lagu guru.

org cina, india pun taklah nak harapkan jua.nnti silap langkah ..mlyu tersungkur tanah sendri plk akan jadi jajahan org lain..

Post a Comment

Powered by Blogger.