04 July, 2010

Tahniah Wan Ainudddin dan Nor Azrah

Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali ke 53 telah selamat melabuhkan tirainya malam tadi. Majlis yang diadakan di negeri Sabah itu telah disempurnakan penutupannya oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Ahmadshah Abdullah.

Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan jutaan tahniah kepada Johan Qari iaitu Sdr. Wan Aminuddin bin Abdullah dari Wilayah Persekutuan dan Johan Qariah iaitu Sdri. Nor Azrah Ayub yang mewakili negeri Johor. Tidak lupa juga ucapan tahniah ditujukan kepada peserta-peserta lain yang turut mengambil bahagian bagi mewakili negeri masing-masing.

Program penghayatan Al-Quran yang diterjemahkan melalui pertandingan tilawah sebegini adalah salah satu usaha murni untuk mendekatkan diri ummat Islam di Malaysia dengan kitab suci Al-Quran ini. Melalui bacaan yang diperdengarkan menerusi gaya qiraat bacaan tertentu, teks terjemahan yang dipaparkan di kaca TV serta huraian terhadap maksud ayat oleh MC boleh menjadi manafaat besar kepada seluruh ummat Islam.

Dalam buku Prinsip dan Kebijaksanaan Dakwah Islam yang ditulis oleh Pak Hamka, beliau mengulas dalam Bab Mendakwahkan Al-Quran dengan mengatakan bahawa program utama di zaman sahabat Rasulullah SAW untuk melancarkan dakwah ialah menghadapkan perhatian kepada pokok utama agama Islam iaitu Al-Quranul Karim.


Pentingnya Al-Quran sebagai pedoman dan pegangan hidup dalam masyarakat Islam kerana banyak masalah yang timbul dalam masyarakat Islam boleh diselesaikan oleh Al-Quran. Sebab itulah, pada zaman Nabi Muhammad SAW, Al-Quran dipelihara dalam dua bentuk. Pertama, dihafal di kepala dan keduanya ditulis dalam catatan yang sederhana
seperti kulit kambing dan pelepah tamar.

Begitulah juga gelaran yang diberikan kepada para sahabat Nabi Muhammad SAW yang menghidupkan Al-Quran di dalam hati dan kehidupan mereka sebagai "Jil ul Quran il Farid" atau 'Generasi Al-Quran yang Unik'. Gelaran yang diberikan oleh Syed Qutb dalam bukunya Petunjuk Sepanjang Jalan itu perlu dilihat sebagai satu cabaran kepada umat Islam pada masa kini. Memang tepat huraian Syed Qutb apabila mengatakan generasi para sahabat mempelajari Al-Quran untuk dihayati dan dilaksanakan terus dalam kehidupan sedangkan umat Islam pada masa kini mempelajari Al-Quran untuk dijadikan bahan penglipur lara dan bahan-bahan pengkisahan dalam urusan hidup sehari-hari.

Berbalik kepada Majlis Tilawah Al-Quran yang baru selesai semalam, ada dua pemerhatian yang ingin dikongsi bersama. Pertama, tatkala ummat memberikan tumpuan kepada pesta bola sepak Piala Dunia, alhamdulillah majlis tilawah ini tidak kurang sambutannya. Dewan tetap penuh dengan kehadiran warga Sabah yang mahu menghayati keindahan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran. Ramai juga yang membawa bersama naskah Al-Quran untuk turut sama membaca bersama para peserta.

Keduanya ialah pemenang kedua-dua kategori adalah berusia dalam umur belia. Johan Qari umurnya 28 manakala jihan Qariah umurnya 32. Malah kebanyakan peserta juga adalah berusia dalam linkungan umur belia. Ini menggambarkan masa depan negara yang masih ada harapan. Dalam pada kita disogokkan dengan gejala sosial yang merosakkan generasi belia, masih kedapatan sinar harapan apabila peserta-peserta tilawah juga adalah generasi belia.

Saya martabatkan Wan Aminuddin dan Nor Azrah sebagai IKON BELIA yang sebenar!

Nota : Gambar ambil dari Utusan

0 maklum balas:

Post a Comment

Powered by Blogger.