11 August, 2010

Isu Halal Perlukan Peranan Lebih Jelas JAKIM/JAIN dan Swasta

Laporan Berita Harian mengenai cadangan oleh pemain-pemain industri halal supaya ditubuhkan Suruhanjaya Akreditasi Halal Malaysia (SAHAM) bagi menyeragamkan persijilan halal sekaligus mengelak daripada dimonopoli oleh JAKIM semata-mata mengundang reaksi yang tidak sedikit. Saya sendiri baru tahu bahawa memang terdapat syarikat-syarikat swasta yang menjalankan operasi (baca : perniagaan) mengeluarkan sijil halal kepada pengusaha-pengusaha dan pemilik premis perniagaan. Selama ini, saya hanya menganggap JAKIM dan Jabatan Agama Islam Negeri sahaja yang mempunyai bidang kuasa ini.

Sempat juga saya berbual dengan kenalan yang bekerja di Hub Halal JAKIM mengenai isu ini. Antara lain katanya kebanyakan syarikat swasta yang menjalankan perniagaan ini hanyalah berorientasikan keuntungan semata-mata. Walaupun memang terdapat syarikat yang benar-benar menjalankan operasi berdasarkan rasa tanggungjawab dan tuntutan syariat, namun bilangannya adalah sedikit.

Isu persijilan halal ini nampaknya agak sedikit kompleks kerana bilangan pelanggannya agak besar. Menurut laporan Berita Harian ini jumlahnya adalah 2000 syarikat. Ditambah pula dengan syarikat luar negara yang mahu memasarkan produk mereka di negara ini. Tetapi perlu diingat, isu persijilan halal ini adalah isu tuntutan syariat dan menegakkan syiar Islam di negara kita ini. Ianya bukanlah semata-mata perniagaan yang bermatlamatkan komersial dan perdagangan.

Oleh itu, biarlah urusan mengeluarkan sijil halal ini dikendalikan JAKIM dan JAIN secara ekslusif kerana mereka adalah pihak berkuasa agama. JAIN pula berperanan sebagai pihak pemantau dan penguatkuasa. Manakala peranan syarikat swasta pula adalah sebagai konsultan kepada syarikat swasta lain yang mahu membuat permohonan mendapatkan sijil halal.

Sudah tentu akan timbul persoalan mengenai kemampuan JAKIM untuk mengendalikan semua permohonan dalam dan luar negara sehingga menyebabkan kelembapan dan kelambatan dalam proses pengeluaran sijil tersebut. Akhirnya, imej JAKIM diseret sebagai tidak cekap dan melaksanakan tugas. Maka, untuk mengatasinya adalah dengan menambahkan bilangan anggotanya, menggunakan teknologi semasa serta peningkatan kemahiran supaya cara bekerja menjadi lebih cekap.

0 maklum balas:

Post a Comment

Powered by Blogger.