23 August, 2010

Warna-Warni Menghambarkan Ramadan

Masuk hari ke 13 Ramadan hari ini, berada dalam fasa ke 2 Ramadan, ternyata masyarakat kita tidak pernah sepi dengan isu, perbahasan maslahah ummat, dan semuanya ternyata menjadi identiti kepada ummat kita pada masa kini. Kehadiran Ramadan semacam tiada kesan yang membekas lantaran ianya tidak dianggap perlu dihormati kerana kesuciannya.

Seawal Ramadan, kita terus dikejutkan dengan berita-berita pembuangan bayi. Sekarang mahu disebut pembunuhan bayi. Nampaknya, kemuliaan Ramadan langsung tidak menyentuh hati sanubari pelaku maksiat dan pembuang bayi ini. Maka, sudah mula tersebar teori untuk kita menyemak semula apa yang berlaku 8 - 9 bulan ke belakang. Lantas dikaitkan bahawa upacara dan pesta-pestaan menyambut tahun baru ataupun acara-acara hujung tahun adalah puncanya.

Pertembungan politik partisan tetap tajam meruncing walaupun dalam kemuliaan Ramadan. Isu nama KM Pulau Pinang yang disebut dalam khutbah mengundang pelbagai maklum balas - menafikan & mengiyakan. Diulas pula oleh tokoh-tokoh agama, ada yang mengharuskan dan ada yang mengharamkan. Episod pergeseran masih berterusan. Ummat terus-terusan keliru. Biarlah orang politik yang menyelesaikannya kerana mereka yang memulakannya. Tak ketinggalan juga apabila ada pemain politik yang dianggap menderhaka kerana mengatakan tentang isu keselamatan negara kepada media negara asing. Ini juga kita minta orang politik yang selesaikan, kerena mereka yang memulakan permainan isu.

Tidak kurang pentingnya juga Ramadan tetap dicemari dengan kecelekaan disebabkan satu benda alah bernama "mercun". Saban tahun semacam tak lengkap puasa tanpa berita anak-anak terputus jari, melecur muka, cedera mata. Tahun ini lebih mengejutkan, anak sekecil 6 tahun menjadi mangsa letupan pusat pengumpulan mercun sehinggakan dia tercampak 15 meter ke atas. Lebih tragis, mayatnya tersangkut di dahan pokok! Aduhai ummat, mengapa mercun masih menjadi mainan bahan berniaga. Walaupun sudah termaktub larangannya oleh pihak berkuasa, ternyata akal fikiran dikaburi oleh rakusan mecair wang ringgit di jalan maut.

Namun, kita masih belum lagi mendengar berita-berita tangkapan orang yang tidak berpuasa yang makan secara terbuka di siang hari. Kalau benar ianya tidak berlaku, syukur Alhamdulillah kita ucapkan. Biarlah dengan tidak banyaknya berita mengenainya benar-benar menggambarkan keadaan ummat Islam pada tahun ini yang memang tidak ramai yang tidak berpuasa.

0 maklum balas:

Post a Comment

Powered by Blogger.