30 September, 2010

Jalinan Antara Agama Perlu Ke Arah Persefahaman Bukan Persamaan


Selasa lepas HM sempat menghadiri Majlis Jalinan Mesra YAB. Menteri Besar Pahang bersama Badan-Badan Bukan Kerajaan Agama peringkat Negeri Pahang. Bertempat di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, kehadiran peserta adalah dari segenap pelusuk negeri Pahang. Peserta-peserta hadir mewakili pertubuhan-pertubuhan yang mereka anggotai. Semua pertubuhan adalah dalam kategori 'Agama' yang ada di negeri Pahang.

Usaha yang murni seperti ini dilihat satu tindakan proaktif ke arah mewujudkan perpaduan di kalangan rakyat Malaysia dengan menggunakan sudut pandang agama. Usaha perpaduan juga boleh dilakukan pada sudut pandang yang lain seperti kaum, sukan, budaya, rekreasi, kemasyarakatan, ekonomi dan lain-lain. Namun, sudut pandang agama pada HM adalah sangat penting kerana agama adalah pedoman hidup setiap rakyat di Malaysia.


Program malam tersebut nampak selari dengan usaha kerajaan pusat pimpinan Perdana Menteri yang telah mewujudkan Jawatankuasa Perundingan Antara Agama untuk mempromosi keharmonian dan persefahaman antara penganut pelbagai agama di negara ini. Malah, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon juga turut hadir dalam majlis tersebut.

Dalam ucapannya, MB menyatakan perjumpaan ini bukan kali yang pertama. Ini sudah masuk kali ke 3 dan akan diteruskan pada masa-masa akan datang. Majlis seumpama ini juga menurutnya bukan mempunyai kepentingan politik. Tetapi semata-mata untuk meningkatkan persefahaman dan perpaduan di kalangan penganut agama di negeri Pahang.

HM setuju apa sahaja usaha untuk mempromosikan perpaduan di antara rakyat Malaysia yang pelbagai kaum. Kita sedia maklum, di satu sudut, perpaduan dilihat sangat ampuh namun di sudut yang lain ianya dilihat sangat rapuh. Kefahaman terhadap agama dan penganut agama lain pada HM menjadi faktor utama jika berlaku perselisihan. Samada memang langsung tidak mengetahui atau tidak mahu mengambil tahu, boleh menjurus kepada isu-isu sensitif.

Kita sedia maklum, isu agama adalah sensitif. NGO-NGO Islam banyak terlibat untuk menangani isu-isu antara agama seperti pertukaran agama, agama anak yang ibu bapanya bertukar agama, hak jagaan anak-anak yang ibu bapa bertukar agama, lokasi rumah ibadat, institusi mahkamah syariah, dan lain-lain.

Maka, kefahaman perlu ditingkatkan. MB menyatakan program seminar kefahaman akan menyusul selepas ini. Ini usaha yang baik!

Apa yang penting, sebagai penganut Islam, kita perlu mengetahui kedudukan agama Islam itu sendiri. Pada tempat tertinggi dan tidak ada yang lebih tinggi daripadanya. Jangan terperangkap apabila terlibat dalam sebarang usaha memupuk persefahaman antara agama, akhirnya Islam dilihat sama taraf dengan agama lain. Inilah matlamat pendokong pemikiran Pluralisme Agama. Jangan terkejut jika nanti ada orang Islam berkata : "semua agama adalah sama".

HM juga bimbang, akan datang jika masih berlaku perselisihan, Islam akan terpaksa beralah atas semangat perpaduan atau persefahaman yang dipromosikan. Perpaduan adalah satu isu, pegangan agama adalah satu isu yang lain. Mempertahankan kesucian agama Islam adalah tanggungjawab semua penganutnya. Kita akan tetap berpegang kepada "Lakum Dinukum wa Liya Din" untuk mempastikan akidah tidak tergugat kerana asakan perpaduan antara agama.

Maka, kita perlu meningkatkan kefahaman terhadap agama Islam itu sendiri. Teruskan belajar mendalami ilmu agama kita. Kita masih terlalu sedikit ilmu agama yang menyebabkan kita jauh daripada agama kita. Apa lagi mahu mengamalkan ajarannya dengan sempurna. Inikan pula sudah sampai masanya kita perlu berdepan dengan penganut agama lain untuk berdialog dan berdiskusi mencari persefahaman. Jangan pula kita dimalukan kerana ilmu agama kita yang senipis kertas.

5 maklum balas:

ummutasneem said...

salam.. mmg bagus la majlis sebegini di buat selalu supaya salah anggap terhadap islam dpt dikurangkan..

Hisyam Muhibah said...

ummutasneem - harapnya begitulah.

Suara Kalbu said...

Salam

Maybe soalan ini tiada kaitan tetapi masih berkisar tentang persoalan nilai beragama.

Apa pendapat tuan mengenai agensi yang memperjuangkan agama itu sendiri tetapi hakikat dalamannya penuh dengan mainan dan birokrasi politik dan sebagainya.

Sekadar mahu berkongsi pandangan

Hisyam Muhibah said...

Suara Kalbu - mainan dan birokrasi politik tetap wujud dimana2 agensi pun, tidak ekslusif terjadi pada agensi agama saja. itu hal dalaman mereka. kita diluar boleh menyalurkan teguran, pandangan, aduan melalui saluran yang disediakan. tetapi, selagi agensi agama membuat kerja2 memperjuangkan agama saya akan sokong dan sedaya upaya membantu. jangan kerana ada wujud birokrasi dan mainan politik, maka kita rakyat biasa menjarakkan diri daripada agensi yang ada autoriti untuk uruskan hal agama. WaLlahua'lam

Suara Kalbu said...

Terima kasih tuan,

Sekadar mahu pandangan kerana saya ada di dalam situasi yang ditanya.

Tidak tahu mahu berbuat apa. Ada ketika hati rasa luluh saja..

Post a Comment

Powered by Blogger.