11 September, 2010

Khutbah Eidul Fitri Bincang 3 Isu

Salah satu elemen Eidul Fitiri yang menjadi tumpuan ialah khutbahnya. Selepas selesai solat sunat Eidul Fitri 2 rakaat, maka umat Islam akan bersedia untuk mendengar mesej dan pesanan agama yang akan disampaikan oleh khatib. Maka sudah tentulah isi khutbah tersebut mesti memuatkan pesanan yang relevan bagi mengingatkan umat Islam mengenai Ramadan yang baru berlalu serta kegembiraan menyambut Syawal.

Sekadar gambar hiasan. Ini bukan khatib di masjid saya solat sunat Eidul Fitri.

Ternyata khutbah Eidul Fitri negeri Pahang tahun ini ada kelainannya. Secara khusus selepas membahaskan segala peringatan tentang Ramadan dan Syawal, khatib membincangkan 3 isu semasa yang sangat dekat dengan hati umat.

Pertama mengenai hubungan kekeluargaan yang nampak sedikit tergugat akhir-akhir ini. Ini kerana terdapat kes-kes yang difailkan dimahkamah apabila anak menyaman ibu bapa dan sebaliknya. Perselisihan faham di antara ahli keluarga nampaknya sudah sampai ke peringkat menyeret ibu bapa ke mahkamah. Ini petanda yang tidak baik kepada keluarga dan masyarakat Islam. Ianya akan menjadi 'precedent' jika terdapat lagi kes-kes perselisihan sesama ahli keluarga - jawapannya ialah tunggu di mahkamah. Sedangkan penyelesaian yang lebih harmoni dijadikan jalan tengah kedua-dua pihak. Ini kerana berpecahkan keluarga Islam bermakna berpecahnya masyarakat Islam.

Isu kedua ialah isu buang bayi buang anak. Sepanjang Rejab, Syaaban dan Ramadan kita dihidangkan dengan berita-berita jenayah ini. Tidak ada jalan penyelesaian lain kecuali kepada ajaran ALlah dan Islam yang sebenar. Kemelut ini tidak akan berakhir jika kesedaran hidup beragama dipandang remeh. Masalah ini tidak akan menemui garis penamat jika ilmu pengetahuan mengenai hukum hakam agama tidak dipelajari dan dihayati.

Isu ketiga sebelum khutbah pertama ditutup ialah isu perpaduan umat Islam-Melayu di negara ini. Mesej yang cukup jelas dan kuat meminta umat Islam-Melayu mengetepikan fahaman politik kepartian yang dianuti demi kemaslahatan mereka sendiri. Carilah titik persamaan dan pertemuan untuk membincangkan masa depan dan survival umat Islam-Melayu. Eidul Fitri boleh dijadikan medan terbaik untuk tujuan murni ini. Janganlah sampai umat Islam-Melayu ditindas dan dipinggirkan sehingga tiada apa lagi yang dimiliki.

Ternyata gambar di atas membawa seribu satu makna. Sememangnya Eidul Fitri mampu berperanan menyatukan ummat. Gambar diambil daripada laman FB Tn. Hj. Ahmad Azam.

Nota : huraian 3 isu di atas saya buat sendiri. Bukan dipetik daripada isi khutbah. Sila dapatkan teks khutbah untuk teks asal penuh.

0 maklum balas:

Post a Comment

Powered by Blogger.