25 September, 2010

Membayar Harga Keselesaan


Lazimnya di hujung bulan, pasaraya akan dikunjungi oleh orang ramai. Duit gaji yang baru masuk selalunya dibelanjakan untuk keperluan barang rumah dan kelengkapan dapur. Penuhkan semula almari yang sudah kosong, isikan semula tin dengan biskut, 'refill' botol pencuci baju dan sebagainya.

Banyak pilihan tempat untuk membeli barang-barang keperluan tersebut. Bagi yang berduit lebih, pasaraya ternama akan dikunjungi. Bagi mereka yang biasa-biasa sahaja duitnya, maka pasaraya bajet akan menjadi sasaran. Pokoknya, mencari dan membeli barang keperluan yang sama!

Kalau membeli belah di pasaraya ternama, yang ada iklannya di TV, radio dan surat khabar, sudah tentulah lebih selesa. Seluruh pasaraya dipasang pendingin hawa. Barang-barang dipamerkan mengikut rak-rak dengan kemas dan sentiasa dilap supaya tidak berhabuk. Lantainya dipasang kemasan mozek yang cantik. Banyak juga pilihan barang untuk dibandingkan harga antara jenama. Terdapat juga staf yang memberi khidmat dan bantuan. Kemudahan troli dan bakul yang mencukupi serta bersih. Juruwangnya menggunakan perisian dan perkakasan yang dibangunkan khas untuk merekodkan transaksi jual-beli. Ada juga food court untuk disinggahi selepas membeli. Juga disediakan permainan untuk anak-anak bersuka ria. Suraunya juga selesa dan bersih.

Berbanding dengan pasaraya bajet yang jenamanya hanya terkenal di kalangan orang tempatan sahaja. Letaknya di tepi-tepi jalan yang suram cahaya lampunya. Papan tandanya tidak jelas di waktu malam. Kawasan parkirnya yang tidak teratur. Air-Cond sudah tentu tiada. Barang-barang disusun sekadar cukup syarat, pandai-pandailah pembeli memilih dan mengambilnya. Berhabuk itu sudah pasti. Lantainya hanya simen kasar kadang kala berlubang di sana sini. Rak pamerannya tidak mesra pelanggan. Troli rosak tayarnya, bakul pula jarang sangat dicuci. Juruwangnya selalu juga bermasam muka terutama diwaktu puncak ramai pelanggan menyerbu. Surau tidak disediakan. Kadang-kadang ada juga dijual buah durian di depannya.

Apa yang hendak dibincangkan ialah, faktor utama yang mendorong orang ramai mengunjungi pasaraya tertentu. Pasaraya bajet sudah tentulah faktor harganya. Manakala pasaraya terkenal disebabkan faktor keselesaan dan prestijnya.

Maka, pembeli sanggup berpanas dan memegang habuk semata-mata untuk mendapatkan harga yang berpatutan. Sedangkan ramai juga pengguna yang mementingkan keselesaan semasa membeli belah, selain faktor 'family-friendly hypermarket' dan tidak kurang penting juga reputasi serta prestij diri yang dipertahankan. Biarlah harga barang-barangnya mahal sedikit.

Sudah tentulah, bil elektrik, upah pengelap lantai, kos penyelenggaraan tempat parkir yang percuma, dan lain-lain perkhidmatan tambahan di pasaraya terkenal, semua kosnya diserap dalam harga barang yang dijual.

Pendek kata, selain kita membeli barang, kita juga tolong bayarkan bil elektrik pasaraya itu. Kita terpaksa membayar lebih sedikit, itulah harga keselesaan.

2 maklum balas:

Suara Kalbu said...

Salam,

Betul tu Abg Hisyam. Harga keselesaan perlu dibayar lebih sedikit. Tepuk dada tanya kocek masing masing.

Bagi saya yang berpendapatan sederhana dan hidup di kota besar ini, jimat mungkin lebih mendapat perhatian.

Hisyam Muhibah said...

Suara Kalbu - saya tak pasti kalau di kota2 besar ada atau tak pasaraya bajet.. mungkin ada lah kot.. kalau di tempat saya ni - Kuantan, ada beberapa contohnya Cowboy, Eng Hong, Tunas Manja, Terus Maju.

Post a Comment

Powered by Blogger.