20 September, 2010

Meneruskan Agenda Ramadan Dalam Syawal


Konsisten, Istiqamah & Berterusan. Perkataan yang berbeza tetapi mempunyai pengertian yang sama. Melakukan sesuatu secara berterusan dan tidak musiman. Melakukan sesuatu bukan kerana sebab sesuatu yang lain semata-mata. Tetapi, ianya dilazimi sepanjang masa walaupun bukan sebab faktor lain yang hanya datang sekali sekala.

Ramadan telah 10 hari berlalu. Syawal terus diraikan dengan majlis-majlis rumah terbuka.

Sepanjang Ramadan yang lalu, kita telah melalui satu transformasi 'paksaan' untuk merobah gaya hidup. Menahan diri daripada makan dan minum serta perkara-perkara yang membatalkan puasa di siang hari selama sebulan itu adalah konotasi transformasi secara revolusi ini. Makanya, kita nilailah kembali samada ibadah puasa sepanjang Ramadan lalu adalah benar-benar berlandaskan kefahaman agama atau sekadar memenuhi 'syarat' seorang hamba ALlah.

Bukan setakat berpuasa, kita juga mengambil kesempatan untuk menggandakan amal ibadah. Hadir solat berjemaah di masjid dan surau, membaca Al-Quran, mendengar kuliah agama - yang selama sebelas bulan sebelumnya tidak sangat diberikan perhatian.

Justeru, komitmen padu perlu ada untuk meneruskan agenda Ramadan Dalam Syawal. Perlu ada kesan limpahan rahmat Ramadan dalam bulan-bulan yang seterusnya. Inilah yang menjadi petanda seseorang itu benar-benar telah menjadi orang yang bertaqwa sejurus berlalunya Ramadan.

Maka dalam khutbah Jumaat yang lepas, khatib telah berpesan supaya kita melakukan muhasabah mengenai amal ibadah yang telah dilakukan sepanjang Ramadan yang lalu. Muhasabah untuk menilai samada pesta ibadah yang telah berlalu dapat dikekalkan momentumnya di dalam Syawal dan bulan-bulan seterusnya. Cukup dengan tiga perkara sahaja pesanan khatib iaitu : menahan diri dan emosi, bersedekah dan membaca Al-Quran.

Marilah mengukuhkan kualiti diri dengan mengekalkan momentum rahmat Ramadan sepanjang setahun ke hadapan ini.

Nota : klik pada gambar untuk ucap terima kasih kepada tuannya.

0 maklum balas:

Post a Comment

Powered by Blogger.