03 September, 2010

Zakat Ialah Dimensi "Hablun minan Naas"


Menurut Syeikh Abu A'la Al-Maududhiy dalam bukunya Dasar-Dasar Islam, beliau memberikan erti zakat sebagai kesucian dan kebersihan. Ianya juga merujuk kepada sebahagian daripada harta benda yang diasingkan dan diberikan kepada fakir miskin. Dengan cara demikian, harta dan jiwa pemiliknya akan menjadi bersih suci.

Sebaliknya, harta seseorang yang tidak dizakati adalah harta yang kotor dan tidak bersih, kerana mengandung rasa tidak berterima kasih kepada ALlah. Hati pemiliknya begitu sempit, mementingkan diri sendiri dan memuja harta benda, sehingga ia merasa berat untuk memberikan apa yang seharusnya diberikan sebagai tanda terima kasih kepada ALlah SWT

Wikipedia Bahasa Melayu pula menyatakan Zakat fitrah dikenali juga sebagai zakat badan, zakat puasa, zakat Ramadan, dan zakat Fitri kerana masa untuk menyempurnakannya adalah pada akhir Ramadan dan menjelang Hari Raya Aidilfitri. Zakat fitrah adalah sebagai penyuci orang yang berpuasa daripada melakukan perbuatan keji dan buruk juga untuk dijadikan sumber keperluan orang asnaf ketika 1 Syawal.

Ibadah zakat sangat signifikan kerana sentiasa dikaitkan dengan ibadah solat. Ayat-ayat dalam Al-Quran yang menyeru supaya mendidikan solat akan disusuli dengan perintah membayar zakat. Antara lain ayat-ayat yang berkenaan ialah :

"Dirikanlah solat dan berikanlah zakat, dan rukuklah bersama-sama orang-orang yang rukuk" (Al-Baqarah:43)


"Sesungguhnya Penolong kamu hanyalah Allah, dan RasulNya, serta orang-orang yang beriman, yang mendirikan sembahyang, dan menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah)." (Al-Maidah:55)


"Oleh itu, jika mereka bertaubat (dari kekufuran), dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat, maka mereka itu adalah saudara kamu yang seugama; dan Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui." (At-Taubah:11)

Demikianlah keistimewaan ibadah zakat dalam Islam. Ianya boleh dianggap tiang kedua kepada agama. Tiang pertama ialah solat yang membawa konotasi perhambaan makhluk yang hina yang sentiasa mengharap bantuan daripada Penciptanya yang Maha Berkuasa. Ini adalah dimensi kerohanian dan keagamaan atau "hablun minal Llah" - hubungan dengan ALlah.

Tiang kedua ialah ibadah zakat yang membawa konotasi perekonomian. Amat penting untuk memiliki keadaan ekonomi yang kukuh di kalangan umat Islam. Dengan kekukuhan ekonomi, umat Islam akan bebas daripada sebarang kemelut muamalah harian seperti hutang. Bebas daripada hutang beerti memiliki kekayaan. Memiliki kekayaan akan membolehkan umat Islam membantu saudara-saudara seagama yang hidup dalam kesusahan. Ini adalah dimensi "hablun minan Nas" - hubungan sesama manusia.

Bersempena dengan bulan Ramadan yang mulia ini, janganlah lupa untuk kita menunaikan ibadah zakat fitrah. Pihak Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dengan perkenan Kebawah Dulu Yang Maha Mulia Sultan Pahang telah menetapkan kadar zakat fitrah tahun 1431h ini adalah sebanyak RM7.00 sekepala. Ianya bersamaan dengan 2.4kg beras yang bersamaan dengan 1 gantang baghdad.

Pastikan anda juga mendapatkan resit rasmi zakat fitrah daripada amil yang bertauliah. Mudah-mudahan dengan ibadah zakat fitrah sempena Ramadan yang mulia ini, segala semangat pensyariatannya akan tercapai demi maslahat umat Islam sendiri.

2 maklum balas:

zulkbo said...

Salam Jumaat..
moga sihat dan
ceria orang di
sini..
alhamdulillah..
dah selesai
minggu pertama
puasa dah bayar..

Hisyam Muhibah said...

Zulkbo - alhamdulillah, selesai doh hok fardhu.

Post a Comment

Powered by Blogger.