27 October, 2010

Galas dan Batu Sapi; Kekal Atau Dirampas Lawan?


Penamaan calon untuk kedua-dua Pilihanraya Kecil ini selesai pagi semalam. Di Galas, pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN), Abdul Aziz Yusoff dengan calon Pas, Dr. Zulkefli Mohamad. Manakala di Batu Sapi lebih menarik dengan pertarungan 3 penjuru. Selain calon BN, Datin Linda Tsen Thau Lin, SAPP pula mencalonkan Presidennya, Datuk Yong Teck Lee manakala PKR mencalonkan Ketua Cabang PKR Tuaran, Ansari Abdullah.


Sebagai orang yang berada di luar politik, saya berpandangan PRK kali ini membawa isyarat penting. Semua parti bertanding harus meneliti setiap nadi ummat melalui PRK kali ini. Walaupun ianya hanya berlaku di Galas dan Batu Sapi, namun impaknya adalah signifikan kepada politik Malaysia secara umum.

Selepas tsunami politik 2008 berlalu sudah 2 tahun setengah, sudah tentulah setiap parti politik mahu menguji sejauh mana kesannya dalam jangka masa panjang. Bagi BN sudah tentu mereka berkeyakinan tsunami 2008 hanyalah fenomena sementara. Usaha giat dilakukan untuk mengembalikan kepercayaan pengundi kepada BN. Pelantikan Perdana Menteri yang baru dilihat telah berjaya mengembalikan kembali kepercayaan itu.

Bagi Pakatan Rakyat (PR), PRK menjadi medan untuk mereka mengekalkan momentum ABU dan ABN yang berlaku dalam tsunami 2008 lalu. Walaupun tidaklah ABU dan ABN itu dicanang oleh mereka (ianya adalah spontan dari rasa hati pengundi) nampun kesan adalah langsung kepada PR. Meraih keuntungan politik yang besar pada PRU 12 sudah tentu mahu dikekalkan sehingga ke PRU 13 dan seterusnya merampas Putrajaya.

Batu Sapi penting untuk PR sebagai petanda samada mereka berjaya menembusi negeri Sabah yang menjadi 'fixed deposit' BN. Mereka telah berjaya di Sarawak paling tidak pun selepas memenangi sejumlah kecil kerusi Parlimen dan DUN serta merampas Sibu dalam PRK yang lalu. Justeru PR mengatakan tsunami politik sudah sampai ke Sarawak. Maka, Batu Sapi di Sandakan Sabah akan dijadikan medan tempur sebelum mengisytiharkan bahawa tsunami juga sudah sampai ke Sabah.

Bagi BN pula, walau apa pun keadaan Batu Sapi mesti dipertahankan. Bilangan ahli Parlimen BN perlu kekal dan Sabah mesti kekal sebagai penyumbang utama. Apatah lagi dengan reputasi kemenangan sebelum ini yang majoritinya adalah 3708 undi. Sudah tentu rekod cemerlang ini mahu dikekalkan. Kemenangan akan meningkatkan moral BN di mata rakyat.

Di Galas, dijangka lebih sengit. Majoriti lepas terlalu tipis iaitu 646 undi. PAS mahu kekalkan manakala BN mahu merampas. Apatah lagi Galas adalah satu-satunya DUN yang dimiliki PAS di bawah Parlimen Gua Musang yang dikuasai UMNO sekian lama.

Maka, dalam siri-siri PRK sepanjang 2 tahun setengah selepas PRU 12 lalu, saya hanya berminat kepada keputusan-keputusan yang mencatatkan parti lawan berjaya merampas kerusi yang dimenangi semasa PRU 12. Bermula di Kuala Terengganu, PAS berjaya merampas daripada BN-UMNO. Diikuti di Hulu Selangor apabila BN-MIC berjaya merampasnya daripada PKR. Terakhir di Sibu apabila DAP berjaya merampas daripada BN-SUPP.

PRK yang selebihnya kembali dimenangi oleh parti penyandang yang menang semasa PRU 12 lalu.

Merampas kerusi dalam PRK bermakna, parti yang menang telah berjaya mengambalikan kepercayaan pengundi. Samada didorong oleh isu tempatan atau isu nasional, ukuran ini saya lihat sebagai faktor ketahanan sesebuah parti selepas PRU 12 lalu. Bermakna, sehingga hari ini, PR sedang mendahului BN dengan 2 - 1.

Apa pula akan terjadi di Galas dan Batu Sapi, kita sama-sama nantikan.

Nota : klik pada gambar untuk ucap terima kasih kepada tuannya.

2 maklum balas:

relevan said...

Semoga berjaya kepada yang masuk calun..bila menang nanti jangan lupa tunai segala janji..

Hisyam Muhibah said...

relevan - kita tunggu keputusannya nanti

Post a Comment

Powered by Blogger.