27 October, 2010

KIPSAS Jadi Kolej Universiti

Sultan Ahmad Shah ditemani Sultanah Pahang, Sultanah Kalsom bersalaman dengan orang ramai pada Majlis Konvokesyen Ke-9 Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah di Dewan Jubli Perak, Kuantan, baru-baru ini. - utusan/ Mahathir Ali

Oleh ZAMZURINA AHMAD
utusanpahang@utusan.com.my

KUANTAN 26 Okt. - Kolej Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KIPSAS) bakal dinaik taraf kepada kolej universiti menjelang 2012.

Presiden KIPSAS, Datuk Hashim Abdul Wahab berkata, segala perancangan dan kerangka tindakan ke arah usaha tersebut telah diputuskan dan dipersetujui kedua-dua Lembaga Pengurus KIPSAS dan Lembaga Pengarah Sistem Pendidikan Islam Pahang Sdn. Bhd. iaitu syarikat yang memiliki KIPSAS.

"KIPSAS merasakan sudah tiba masanya ke arah itu iaitu peningkatan kelulusan dan keupayaan sumber tenaga dan keperluan pendidikan ke tahap yang lebih tinggi.

"Justeru, berdasarkan keperluan tersebut, tenaga akademik KIPSAS seramai 69 orang telah bersedia dan bakal menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana dan ijazah kedoktoran (PhD) secara berperingkat," katanya.

Beliau berucap pada majlis konvokesyen KIPSAS Kesembilan di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Jalan Teluk Sisek, di sini baru-baru ini.

Berangkat menyempurnakan istiadat konvokesyen tersebut, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah dan Sultanah Pahang, Sultanah Khalsom.

Menurut Hashim, KIPSAS kini perlu seiring dengan kolej universiti terkemuka negara dalam melahirkan modal insan seimbang dalam aspek duniawi dan ukhrawi.

"KIPSAS tidak lagi boleh bersikap tunggu dan lihat tetapi perlu terus berusaha supaya hasrat memajukan dan menaiktaraf kepada kolej universiti akan tercapai.

"Malah, kerjasama dan persetujuan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) ke arah itu amat dihargai," katanya.

Sejajar dengan usaha tersebut katanya, KIPSAS sentiasa menekankan kepentingan pendidikan bersepadu agar mendapat produk atau modal insan yang berteraskan acuan Islam kepada pembangunan negara.

Sumber : Utusan Malaysia Online 27/10/2010

0 maklum balas:

Post a Comment

Powered by Blogger.