10 October, 2010

Penilaian Berasaskan Sekolah; Memartabat Peranan Pendidik


Kementerian Pelajaran telah mengumumkan bahawa Peperiksaan UPSR akan dikekalkan manakala PMR pula akan dimansuhkan. UPSR dalam masa yang sama akan menjadi format Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) atau 'school based assessment' dengan mengurangkan skop mata pelajaran teras menjadi 60% serta penilaian terhadap ko-kurikulum, mata pelajaran pengukuhan, serta tugasan yang diberikan guru.

PMR pula dimansuhkan dan digantikan dengan satu bentuk PBS yang akan ditentukan nanti. Ramai juga bersetuju bahawa hanya satu peperiksaan sahaja sudah memadai untuk peringkat sekolah menengah iaitu SPM.


Banyak input yang diterima KPM melalui 3 siri persidangan meja bulat yang telah diadakannya. Rakan-rakan seperjuangan HM juga turut menyampaikan pandangan langsung kepada menteri, boleh baca di sini dan di sini. Sudah pasti juga, perubahan yang hendak dilakukan bukanlah semata-mata perubahan disebabkan berubahnya menteri. Tetapi, ianya adalah tanda bahawa pemimpin kita sudah bersedia untuk melakukan rethinking, menilai dan memikirkan semula secara mendasar.

Banyak input yang diberikan. Tetapi yang paling menarik perhatian HM ialah Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) atau School Based Assessment. Untuk lebih mudah difahami, PBS ialah penilaian yang ditentukan oleh guru dan pendidik sendiri. Situasi pada masa sekarang, peranan guru hanya mengajar saja mata pelajaran tersebut di sekolah. Tetapi, soalan peperiksaan dibuat oleh orang lain. Kertas jawapan pula ditanda oleh orang lain juga. PBS adalah sebaliknya apabila peranan guru adalah keseluruhannya.

Dalam masa yang sama, PBS juga boleh memberi tumpuan kepada pembangunan keseluruhan seseorang murid. Apabila, tumpuan kepada mata pelajaran teras dikurangkan untuk dinilai, maka tumpuan terhadap mata pelajaran pelengkap lain yang setara pentingnya dapat diberikan. Selain daripada kegiatan ko-kurikulum serta pengembangan bakat tersendiri yang ada dalam diri seorang murid.

Di sinilah nanti peranan guru dan pendidik akan dapat dimartabatkan sepenuhnya. Sistem akan bergerak kepada peranan penuh guru untuk mengajar, membina soalan, memberikan tugasan, menanda kertas jawapan, menilai pencapaian kepada anak murid mereka sendiri. Akhirnya, hubungan murid dengan guru akan lebih menyeluruh dan baik. Guru akan berperanan sehingga ke akhirnya - seolah kembali kepada tradisi guru memberikan ijazah kepada anak muridnya yang sudah tamat pengajian sesuatu mata pelajaran.

Insya Allah potensi anak-anak murid akan boleh dibangunkan secara menyeluruh. Tidak lagi hanya tertumpu kepada potensi kecerdasan minda sahaja melalui peperiksaan. Bakat terpendam akan dapat dicungkil serta dikembangkan untuk kepentingan masa depan mereka.

0 maklum balas:

Post a Comment

Powered by Blogger.