15 November, 2010

Apa Cabaran Selepas UPSR?


Minggu lepas sudah diumumkan keputusan UPSR 2010. Seramai 48,327 daripada 482,334 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini mendapat keputusan cemerlang atau semua A iaitu keputusan terbaik dalam tempoh empat tahun mengikut Gred Purata Nasional (GPN)(Utusan, 12/11/10). Pencapaian keseluruhan peperiksaan itu didapati meningkat kepada 10.2 peratus daripada 9.51 peratus tahun lalu.

Tahniah diucapkan kepada semua pelajar yang berjaya. Tahniah juga kepada ibu bapa yang turut berusaha. Tahniah kepada guru-guru yang bertungkus-lumus mendidik pelajar-pelajar mereka.

Soalnya sekarang, apa pula selepas ini? Kita sedia maklum, UPSR dan Darjah 6 adalah penamat kepada sistem persekolahan peringkat rendah. Tahun hadapan, mereka akan memasuki alam baru persekolahan di peringkat menengah pula. Sudah tentu suasananya jauh berbeza. Kaedah pengajaran dan pembelajarannya juga akan berubah. Pergaulan juga tidak sama.

Ada beberapa perkara perlu diberikan perhatian, khususnya oleh ibu bapa.

Pertama, cabaran dan tekanan psikologi yang belum pasti. Ini kerana pelajar akan menghadapi satu alam baru yang belum pernah dialaminya. Kemungkinan jiwanya akan terganggu malah ada juga yang mudah menyesuaikan diri. Mereka akan mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan suasana baru yang jauh berbeza dengan sebelumnya. Jika mental dan emosi dipersiapkan sebaik-baiknya, alam baru boleh ditempuh dengan baik. Jika di sekolah rendah dahulu, merekalah senior dan otai. Tetapi apabila masuk Tingkatan 1 merekalah paling junior dan terdedah kepada risiko-risiko psikologi.

Keduanya, kepada yang mendapat tempat di asrama. Tidak kiralah samada sekolah berasrama penuh (SBP), asrama sekolah harian atau asrama sekolah agama. Ini juga cabaran besar kerana tiada pengalaman tinggal di asrama semasa sekolah rendah. Apatah lagi perlu duduk berjauhan daripada ibu bapa dan keluarga. Hidup berdikari yang diterapkan di asrama tidak mampu diikuti oleh semua pelajar. Kepada yang sudah biasa diuruskan kehidupannya oleh ibu bapa atau pembantu rumah, sudah tentu akan berasa bimbang.

Ketiganya, cabaran pergaulan dan komunikasi. Umumnya, usia 12 - 13 tahun adalah umur baligh kepada mereka. Pada masa ini, perubahan-perubahan fizikal dan fisiologi akan berlaku. Emosi dan perasaan juga akan berubah. Perseimbangan perlu wujud kerana pergaulan di sekolah menengah mestilah dibatasi oleh hukum syarak. Mungkin semasa di sekolah rendah mereka seperti adik beradik apabila bergaul di antara lelaki dan perempuan. Tetapi, di sekolah menengah pemahaman mengenai had dan batasan perlu diterapkan.

Apa yang boleh dilakukan supaya anak-anak ini boleh menyesuaikan diri dengan cepat di alam baru sekolah menengah? Ada dua cara yang realistik. Pertama, perlu dianjurkan kursus atau bengkel persediaan menghadapi alam baru sekolah menengah. Penganjurnya samada sekolah melalui Unit Kaunseling ataupun NGO-NGO yang sentiasa prihatin mengenai permasalahan masyarakat. Apa yang penting, pengisian yang diterapkan mestilah menjurus ke arah mempersiapkan mental dan emosi anak-anak lepasan sekolah rendah ini. Perlu juga ditekankan hukum syarak yang menjadi had dan batasan di alam sekolah menengah.

Keduanya, sudah tentulah peranan ibu bapa di rumah. Ibu bapa perlu sentiasa menceritakan mengenai alam baru ini serta meletakkan garis panduan melalui nasihat dan tunjuk ajar. Jika ibu bapa tidak menetapkan garis panduan tersebut, anak-anak akan membuat panduan mereka sendiri. Ibu bapa perlu mampu untuk menyampaikan maklumat tersebut supaya anak-anak akan berasa lebih selesa dan yakin untuk menempuh alam baru kelak.

Nota : klik gambar untuk tengok sumbernya.

5 maklum balas:

Echam said...

Adik ipar koi baru je dapat 5A. Koi tgh mencari sekolah mane dia nak masuk. Niat dihati koi nak masukkan dia ke MRSM. Gone pandangan aok?

Hisyam Muhibah said...

Echam ~ MRSM bagus sebab kelayakan guru dan kemudahan yg tip top. keknye dia kena dudok asrama lah.. oak ke isteri ke kenalah pastikan dia ready nak tempuh alam asrama tu.. silap2 gaye, tak serasi..

zulkbo said...

salam..
budak-budak sekarang
memang hebat dan pandai
belaka..

ozzy said...

salam..

Baru lps borak dgn rakan..anaknya dpt 4a 1b tapi katanya susah nak dpt peluang ke asrama penuh sebab ramai yg dapat 5A..yeke susah skrg ni?

Hisyam Muhibah said...

en. zulkbo ~ rezeki deme lah tu..

en. ozzy ~ yg dapat 5A 40 ribu lebih. tempat di sbp hanya 10 ribu saja.. memang susah nak dapat tempat.

Post a Comment

Powered by Blogger.