18 November, 2010

Kami Mahu Menjadi Seperti Ismail a.s.


Tanggal 10 Dzulhijjah dirayakan oleh umat Islam seluruh dunia. Hari tersebut ialah Hari Raya Aidil Adha atau disebut juga Hari Raya Korban. Dua perkara penting menjadi petandanya iaitu perhimpunan umat Islam seluruh dunia di tanah suci Makkah untuk menunaikan ibadah haji serta pelaksanaan ibadah korban.

Ibadah korban adalah sunnat muakkad atau sunnat yang sangat dituntut dalam Islam. Di dalam buku "Dato Dr. Haron Din Menjawab Persoalan Fikah Harian", disebutkan hikmah ibadah korban itu antara lainnya ialah untuk memperingati peristiwa sejarah pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail serta sebagai menghayati sunnah dalam syariat Nabi Muhammad SAW.

Watak Nabi Ismail dalam peristiwa agung tersebut sangat signifikan. Ini kerana usianya yang muda belia, diriwayatkan pada usia 7 tahun dan ada pendapat lain mengatakan 13 tahun. Bermakna, jika diukur kepada kanak-kanak di Malaysia, Nabi Ismail baru Darjah 1 ataupun Tingkatan 1 - sangat muda. Walaupun usianya masih muda, Nabi Ismail a.s sudah menunjukkan kualiti peribadi yang sangat tinggi, ianya harus dijadikan contoh kepada anak muda pada masa kini.

Pertamanya, kepatuhan yang tinggi kepada perintah ALlah. Selepas ayahnya Nabi Ibrahim menyatakan yang dia bermimpi menyembelih Ismail, maka tanpa ragu-ragu Nabi Ismail meminta ayahnya melaksanakan perintah itu. Ini kerana perintah tersebut adalah datang daripada ALlah SWT. Maka sebagai hamba yang taat dia patuh kepada perintah tersebut tanpa banyak soal jawab atau meminta penjelasan lanjut.

Kedua, sifat kesabaran yang sangat tebal dalam jiwanya. Walaupun dia diberitahu oleh ayahnya mengenai perintah sembelih tersebut, dia tetap tenang tanpa sebarang protes atau pemberontakan. Nyawanya sudah pasti akan melayang dalam usia muda. Itu tidak menjadi alasan untuk dia berada dalam keadaan gelisah dan gundah gulana. Ujian harus ditempuhi dengan penuh kesabaran. Malah dia menyatakan kepada ayahnya "sesungguhnya ayah akan melihat saya dari kalangan orang-orang yang sabar".

Ketiga, kekentalannya melawan godaan iblis. Watak iblis juga tidak ketinggalan dalam peristiwa korban ini. Tatkala Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail bergerak menuju Mina, iblis tidak putus-putus mahu menggoda mereka. Jika Ismail menurut muslihat iblis itu, sudah tentulah dia akan tewas dan peristiwa korban itu tidak sempurna. Dengan keyakinan yang tinggi kepada ALlah, segala tipu daya iblis tidak berjaya mempengaruhinya.

Dan yang keempat, kecerdasan akal fikirannya ternyata sangat tinggi. Hal ini berlaku apabila mereka berdua sudah sampai ke tapak penyembelihan. Selepas Nabi Ibrahim menyatakan tujuan mereka datang ke situ, Nabi Ismail memberikan pesanan-pesanan yang cukup bernas. Pesanan-pesanan tersebut bagi memudahkan urusan penyembelihannya serta menangani implikasinya selepas peristiwa tersebut. Pesanan-pesanan seperti ikatlah tangannya, telangkupkan mukanya, lipatkan lengan baju ayah, berikan bajunya kepada ibu, adalah sangat relevan dan tepat pada situasi tersebut. Dia tidak meminta yang bukan-bukan di saat-saat genting kematiannya, sebaliknya idea-pendapat-komentar yang bernas diberikan tanda kecerdasan pemikiran seorang anak muda.

Kesimpulannya, saya dan anda, kami semua mahu menjadi orang muda seperti Nabi Ismail a.s dalam perisiwa agung korban ini.

Nota : klik gambar untuk lihat sumbernya.

5 maklum balas:

akuanakpahang (AAP) said...

Salam aidiladha.Semoga kita sama-sama mengambil pengajaran dan manfaat drpnya Insyaallah.

zulkbo said...

salam..
nama Ismail ni memang saya suka
anak lelaki saya asalnya nak di namakan Ismail,apakan daya suara majoriti keluarga..alhamdulillah Zul' Khair Ilhami pengganti namanya..

Suara Kalbu said...

Nice entry tuan.

Rasanya ramai yang tidak tahu apa erti Hari Raya Korban ini terutama anak-anak muda. Yang tua pun barangkali ada juga.

Yang banyak tahu ialah Raya Korban ni mesti kena korbankan lembu.

Cerita Nabi yang berkaitan dengan perayaan ini barangkali tidak pernah diketahui oleh sebilangan orang. Ilmu agama kini semakin cetek dan dipandang enteng

ozzy said...

salam...

semoga menjadi renungan & pengajaran pada kita semua serta bersama2 mengingati pengertian hari raya korban ini..salam Aidiladha.

Hisyam Muhibah said...

Terima kasih atas ulasan semua..

Post a Comment

Powered by Blogger.