03 January, 2011

Menyediakan Pendidikan Awal Untuk Anak-Anak


Musim persekolahan tiba lagi. Selepas sebulan lebih bercuti, anak-anak sudah kembali ke sekolah untuk meneruskan perjuangan menuntut ilmu. Ibu bapa juga tidak kurang sibuknya, tidak kurang juga risaunya. Sibuk menyediakan pakaian, kelengkapan dan peralatan sekolah untuk anak-anak. Risau pula di kalangan ibu bapa yang anak mereka baru pertama kali menjejakkan diri ke sekolah.

Kesedaran menyediakan pendidikan kepada anak-anak sudah menjadi sebati di kalangan ibu bapa. Maka tidak peliklah kesungguhan mendidik anak-anak dapat dilihat apabila sambutan kepada pendidikan awal kanak-kanak menerusi tadika dan pra sekolah sangat tinggi. Trend ini adalah sangat positif. Mengisi jiwa dan minda anak-anak dengan ilmu pengetahuan sedari usia 4 tahun sudah dianggap sebagai satu keperluan.

Memberikan pendidikan awal kepada kanak-kanak adalah selari dengan tuntutan agama Islam itu sendiri. Menurut Dr. Nor Hashimah binti Hashim dalam bukunya Panduan Pendidikan Prasekolah, pendidikan Islam adalah satu-satunya cara bagi mengekalkan kebenaran semula jadi dalam diri kanak-kanak seperti yang dicipta oleh Allah SWT. Perkara yang perlu diingat adalah membetulkan diri sendiri dahulu, dan memperbaiki sifat semula jadi kanak-kanak. Dalam Al-Quran Allah SWT memperlihatkan kebijaksanaan Luqmanul Hakim yang mendidik anaknya secara berperingkat.

Jika kita masih ingat, penyedia perkhidmatan awal kanak-kanak sejak tahun 70-an adalah KEMAS. Saya juga adalah produk Tadika KEMAS. Dalam masa yang sama masyarakat juga ditawarkan dengan pendidikan awal kanak-kanak alternatif melalui TASKI ABIM. TASKI adalah singkatan kepada Taman Asuhan Kanak-Kanak Islam. Alhamdulillah, TASKI ABIM masih wujud di seluruh negara pada masa kini kerana sokongan dan kepercayaan masyarakat terhadap sistem pendidikan awal kanak-kanak yang berorientasikan pendidikan Islam.

Perkembangan pendidikan awal kanak-kanak terus berkembang pesat. Ciri utamanya pada masa kini adalah modul dan pendekatan yang terkhusus hasil daripada kajian terhadap sifat, kemampuan dan perkembengan kanak-kanak itu sendiri. Sebutlah apa sahaja model yang ada pada masa sekarang; Montessori, Pendekatan Bertema, Pendekatan Bersepadu, Pendekatan Behavioris, Pendekatan Kognitif, dan lain-lain, semuanya ada ditawarkan kepada masyarakat. Pilihlah sahaja yang mana satu berkenan di hati, kemudian sediakanlah duit secukupnya untuk dilaburkan demi masa pendidikan anak-anak kita.

Dalam kata lain, sudah menjadi satu keperluan pada masa sekarang untuk menitipkan ilmu pengetahuan di dalam minda dan jiwa anak-anak sejak mereka kecil lagi. Perkembangan dan perubahan dalam sistem pendidikan arus perdana khususnya di sekolah memerlukan persediaan sewajarnya dibuat sebelum anak-anak memasukinya. Maka, wajarlah anak-anak menyertai mana-mana tadika supaya mereka sudah terbiasa dengan budaya ilmu sedari kecil lagi. 

9 maklum balas:

Ummi Izzah said...

geram dgn my daughter...
kita ajar dia..dia ajar kita balik..!

Hisyam Muhibah said...

Ummi Izzah ~ hakikatnya, anak2 sudah pandai sejak umur kecil lagi.layan je lah..

ozzy said...

salam..

Sistem pendidikan semakin baik cuma yang tak tahan bayaran yang dikenakan dengan yuran dan buku/alat tulis..lebih2 lagi kalau ada anak ramai

Hisyam Muhibah said...

En. Ozzy ~ harapnya, harga melambangkan kualiti produk pendidikan yang ditawarkan itu. kita, laburkan sajalah duit.. hoho..

endiem said...

baguslah budak budak diterapkan dengan budaya ilmu sejak dari keciklagi.

Hisyam Muhibah said...

endiem ~ ya, setuju.

Ida, Umi Insyirah said...

salam, saya sgt setuju dengan pendidikan awal kanak-kanak..sebagai seorang ibu yang berkerjaya, kekadang kita terhutang masa ngan anak-anak. Lebih-lebih lagi terdapat pengaruh persekitaran yang banyak menjurus kepada perkara2 yang negatif.

Hisyam Muhibah said...

Ida ~ perlu persiapkan anak2 dengan dinding perisai ilmu pengetahuan sejak mereka kecil. supaya mereka ampuh berdepan dengan cabaran2 negatif yang anda katakan itu

humbleyat said...

sebab tu perancangan kewangan oleh ibu bapa sejak anak anak kecil itu perlu ada bagi jaminan pendidikan terbaik mereka pada masa hadapan :-)

Post a Comment

Powered by Blogger.