04 January, 2011

Pakatan Minyak Masak dan Buah Kelapa


Membuka tahun baru 2011 kita sudah menjangkakan akan timbulnya isu-isu berkaitan dengan hal ehwal pengguna dan barang-barang keperluan. Maka berita pada ketika ini menyiarkan laporan mengenai kekurangan bekalan minyak masak dan buah kelapa. Ini menyebabkan pengguna tidak dapat membeli barang keperluan tersebut dan urusan harian juga terjejas.

Sudah tentu perkara yang timbul dalam fikiran pengguna adalah kegiatan menyorok bekalan. Tujuannya untuk memberikan tekanan kepada pasaran bagi mewajarkan harga dinaikkan. Pengalaman kita apabila berhadapan dengan isu bekalan gula yang putus suatu ketika dahulu masih segar dalam ingatan. Akhirnya, atas nama rasionalisasi subsidi harga gula di pasaran telah dinaikkan. Apakah strategi yang sama digunakan kepada minyak masak dan kelapa pada hari ini?



Dalam buku berjudul "Umat Islam Terhina! Kenapa?", pengarangnya Zainal Jain (2009) mengulas sub-topik 'Memperoleh Rezeki Yang Haram' menyatakan adalah terlalu sukar pada masa kini untuk memastikan rezeki yang diperoleh adalah halal. Antara lain dalam aktiviti jual beli berlakunya penipuan seperti kurang timbangan, barang yang berkualiti rendah dijual mengikut harga barang yang berkualiti tinggi, menjual dengan harga yang tinggi untuk mengaut untung tinggi, menyorok barang untuk menaikkan harga dan seribu satu macam lagi.

Kita agak lega apabila Timbalan Menteri yang berkenaan menjelaskan bahawa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan memberi jaminan bahawa harga minyak masak tidak akan dinaikkan buat masa ini. Beliau berkata, kekurangan minyak masak adalah disebabkan pembelian panik berikutan khabar angin bahawa harga barang keperluan ini akan dinaikkan.

Bekalan kelapa pula berkurangan antara lain disebabkan secara kebetulan, pengeluaran kelapa di negara ini mengalami musim melawas dan ia menjejaskan pengeluaran kelapa. Bagi mengatasi masalah ini Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan mengimport sejuta biji kelapa dari negara jiran terutama Indonesia bagi mengatasi kekurangan bekalan kelapa yang kian meruncing. Tetapi ini laporan bulan November 2010.  Tahun baru 2011 dimulakan dengan masalah bekalan kelapa yang mula merebak dan sampai juga ke negeri Pahang. Akhirnya pembekal dan peniaga sukar mendapat bekalan. Jika dapatpun, harganya sudah dinaikkan. Maka harga yang dikenakan kepada pengguna juga akan dinaikkan.

Kita yakin bekalan akan pulih seperti biasa dalam masa terdekat. Ini kerana pengalaman lepas membuktikan demikian. Namun, yang tidak sedap didengar nanti adalah harga pasaran dinaikkan seperti dalam isu gula dahulu. Sebelum kenaikan baru-baru ini (atas nama rasionalisasi subsidi) menjadi RM2.10, kenaikan harga kepada RM1.90 sebelumnya seolah-olah seperti dirancang. Selepas harga dinaikkan, bekalan pulih seperti biasa. Pengguna bayarlah pada harga yang baru.

Begitulah episod kehidupan. Pengguna perlu bersiap sedia daripada segi mental dan kewangan untuk menghadapi tahun 2011 yang diramalkan lebih banyak barang keperluan akan dinaikkan harganya. Samada disebabkan oleh kegiatan menyorok bekalan atau memang musim pengeluarannya tidak tepat, akibat yang akan ditanggung adalah pada tekanan harganya.

Malaysia adalah negara pengeluar minyak masak kerana kita adalah negara terbesar mengeluarkan minyak sawit. Begitu juga kelapa yang bukanlah barangan yang seratus peratus diimport dari negara luar. Tetapi, siapa tahu kalau-kalau minyak masak dan kelapa ini berpakat untuk menculik sesama sendiri. Kemudian meminta wang tebusan dalam bentuk harga pasaran yang baru.

7 maklum balas:

Suara Kalbu said...

Macam-macam sekarang ni. Taktik nak menaikkan harga barangan barangkali.

ozzy said...

salam..

Begitulah keadaannya apabila kuasa ekonomi dipegang oleh mereka.Taktik sorok bekalan utk menaikkan harga.
Pihak kerajaan jgn terlalu berlembut krn apabila diberi 1 akan menyusul pula 10 yang lain..
Akhirnya jaminan hanyalah sebagai kata2 penyedap hati

zulkbo said...

salam..
koi nak juga berenti
menggoreng dengan minyak
kalau boleh di gunakan air..
apakan daya kita menjadi
mangsa keadaan..

APAN said...

cam ade konspirasi la gak ni...
haha....

Jejaka Desa said...

Zaman sekarang ni ramei yang pikir untung je.Halal haram deme tolok tepi.

suri said...

salam sahabat..

masa balik bercuti hujung tahun lepas mak dah pesan beli miyak siang2 ..

la ni tgok kita dah mula ketandusan 2 sumbr yg penting dlm kehidupan kita..

Hisyam Muhibah said...

Suara Kalbu - nampak gayanya telahan anda itu ada benarnya.

En.Ozzy - kita harap kerajaan tegas mengekalkan harga minyak masak. tetapi kenyataan menteri bagi pihak kabinet semalam nampaknya agak longgar mengenai isu ini.

En. Zulkbo - kita makan benda rebus dan kukus sajalah nampaknya lepas ni.

APAN - mungkin ya mungkin tidak

Jejaka Desa - kerana untung dan duit, mata hati menjadi buta

Suri - pengguna tidak perlu membuat pembelian panik

Post a Comment

Powered by Blogger.