21 January, 2011

Pilihanraya Tiada Henti



Belum pun cukup setengah penggal, kita sudah menyaksikan 14 pilihanraya kecil sehingga hari ini. Malah, ianya akan menjadi ke 15 dengan kematian ADUN Merlimau di Melaka. Dalam masa yang sama, kedudukan Pelabuhan Klang juga goyang selepas Speaker DUN Selangor mengumumkan kerusi itu kosong. Jangan lupa juga, DUN Kota Siputeh di Kedah juga masih dalam urusan mahkamah. Begitulah hebatnya politik Malaysia.

Daripada semua 15 pilihanraya kecil, selain disebabkan kematian penyandangnya samada disebabkan kesihatan ataupun kemalangan jalan raya, 3 daripadanya disebabkan oleh perletakan jawatan. Samada meningal atau letak jawatan, peraturannya adalah perlu diadakan pilihanraya kecil. Maka perbahasan politik akan sentiasa segar setiap masa.

Daripada 15 pilihanraya kecil ini, semua negeri sudah mengalami paling kurang sekali pilihanraya kecil. Negeri-negeri yang masih belum ialah Pahang, Perlis dan Wilayah Persekutuan.

Apabila berlakunya pilihanraya kecil, maka pertikaian politik juga akan berterusan. Dalam pada mahu berkhidmat kepada rakyat selepas memenangi kerusi semasa pilihanraya umum lalu, terpaksa pula mereka bermain politik untuk membantu kemenangan calon daripada parti yang sama dengannya. Sudahnya, hal ehwal rakyat seperti terencat ditangani.

Mungkin ada benarnya pandangan Sdr. Norizan Sharif atau NOBISHA dalam bukunya Tunggu Apa Lagi mengenai pilihanraya kecil. Beliau mencadangkan supaya mencontohi negara Amerika Syarikat yang menyerahkan kepada Gabenor untuk mencari pengganti kepada Obama, Biden dan Clinton yang dipilih menjadi Presiden, Naib Presiden dan Setiausaha Negara Amerika itu. Bermakna, jika hendak dilakukan di Malaysia, jika berlaku kekosongan kerusi contohnya di Merlimau, maka parti yang menyandang kerusi itu melantik seorang daripada kalangan ahli partinya untuk menggantikan YB yang sudah meninggal dunia itu. Maka, tidak perlu mengadakan pilihanraya kecil.

Namun, pilihanraya kecil yang berterusan ada juga baiknya. Kefahaman dan kesedaran rakyat terhadap arus politik negara akan bertambah. Mereka akan terus didik dan diberitahu tentang peri pentingnya menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih dalam pilihanraya.

Rakyat juga yang sudah semakin celik politik akan memainkan peranannya dengan lebih berkesan dalam mempengaruhi iklim politik tanahair. Suara mereka akan diambil perhatian demi memenuhi keperluan mereka sebagai rakyat. Partisipasi lebih aktif rakyat akan menjadikan politik berganjak daripada politik kekuasaan kepada politik kebajikan.

0 maklum balas:

Post a Comment

Powered by Blogger.