06 January, 2011

Sederhana Berbelanja; Antara Boros dan Bakhil

Malam semalam bersama teman-teman seperjuangan, topik yang dibincangkan dalam usrah ialah ayat 67 Surah Al-Furqan di bawah topik "Bersederhana Dalam Membelanjakan Harta".


Maksudnya : Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.

Diantara pandangan yang dikongsikan :
  1. Sikap bersederhana perlu diterapkan dalam kehidupan, terutamanya dalam pengurusan kewangan. Berbelanja perlu sederhana, berjimat juga perlu sederhana. Terlalu berbelanja menjadi boros, terlalu berjimat menjurus kepada bakhil. Namun, sederhana adalah subjektif yang berbeza-beza mengikut individu.
  2. Pengurusan kewangan peribadi dan keluarga perlu dirancang sebaik mungkin melalui 'budgeting' yang realistik. Perlu pastikan dalam bajet ini ada diperuntukkan untuk sedekah dan infaq.
  3. Sederhana biasanya akan dilengkapkan dengan sikap berterusan atau konsisten, istiqamah. Perbezaan di antara membuat sedekah dalam jumlah yang kecil contohnya RM100 secara berterusan selama setahun dengan membuat sedekah sebanyak RM1000 sekali setahun. Jika berterusan, sikap istiqamah dapat dipupuk. Jika sekaligus akan menjurus kepada sifat riak kerana godaan syaitan.
  4. Sedekah mesti dirancang dan disengajakan. Bukan namanya sedekah jika tidak disengajakan. Contohnya, jika selipar hilang di masjid kemudian tuannya berniat sedekahkan selipar itu. Sedekah yang sudah dibiasakan dalam diri akan menjadikan seseorang itu tidak mudah lupa diri apabila sudah senang kelak. Semasa susah sudah terbiasa bersedekah, semasa senang nanti lagi banyak akan bersedekah.
  5. Dalam bajet itu juga perlu diperuntukan untuk simpanan. Simpanan perlu untuk masa-masa kecemasan. Dalam Islam simpanan perlu untuk menunaikan Rukun Islam iaitu Zakat dan Haji.
  6. Mind-Setting yang betul juga perlu dalam berbelanja. Jika pendapatan adalah sebanyak RM2000 maka berbelanjalah seperti pendapatan hanya RM1800. Bermakna, RM200 memang sudah dapat diselamatkan. Masalah yang berlaku ialah sebaliknya apabila gaji hanya RM2000 tetapi mind-setting mahu berbelanja seperti bergaji RM2500.
  7. Hutang tidak dapat dielakkan pada masa sekarang. Habis sahaja belajar pun sudah pasti hutang pinjaman pengajian sudah menunggu. Apa yang penting jangan menjadikan hutang itu sebagai belenggu dan kerusingan yang amat sangat. Ubah paradigma dengan membuat tekad untuk melangsaikan hutang hingga selesai. Dengan niat yang bulat, InsyaAllah usaha akan menjurus kepada menyelesaikan hutang-hutang yang ada.
  8. Konsep Keperluan dan Kehendak adalah asas dalam ekonomi individu. Keperluan perlu dipenuhi dan disediakan dahulu barulah berbelanja untuk mendapatkan kehendak hidup. Namun, trend berbelanja sekarang menjadikan keperluan diselaputi oleh kehendak. Contohnya, membeli barang dapur adalah satu keperluan. Tetapi dibeli di pasaraya yang terkenal namanya atau di kompleks membeli belah yang sudah tentu perbezaan harga adalah ketara. Bermakna, sejumlah duit telah digunakan secara tidak langsung untuk mendapatkan keperluan sedangkan keperluan yang sama boleh dibeli pada harga yang jauh lebih murah.
  9. Sentiasa yakin dengan ayat-ayat Allah SWT yang menjanjikan setiap sedekah itu akan diberikan ganjaran berlipat kali ganda, jika bersyukur Allah akan menambahkan nikmatNya, memohon jalan keluar yang tidak disangka-sangka. Selain amalan solat-solat sunat malam dan dhuha yang dikaitkan dengan murah rezeki dan doa-doa untuk membebaskan daripada belenggu hutang.

6 maklum balas:

ozzy said...

salam..

entry yang bagus untuk sama-sama mengingati..setuju bersederhanalah kita dalam apa jua perkara antaranya jgn jadi seperti 'biar papa asal bergaya'.

zulkbo said...

السلام عليكم
bagus perbincangan usrah tu ye..?
ermmm..bab berjimat memang perlu dalam kehidupan,utamakan yang penting dahulu..anak2,mak ayah dan ahli keluarga..

Siti Safiyyah said...

sebut pasal perbelanjaan ni teringat kat abah saya..tak penah kedekut bab nak kasi duit kat saya..alhamdulillah saya tak boros lg stakat ni..hehe

akuanakpahang said...

Salam, bab berserdahana didalam islam amat di galak byk aspek perlukan kesederhanaan. TQ diatas perkongsian info diatas.

Hisyam Muhibah said...

En. Ozzy - kita bimbang kita gagal mentakrifkan tahap kesederhanaan itu.

En. Zulkbo - alhamdulillah, usrah memang bagus. Beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis.

Siti Safiyyah - abah memang akan sedaya upaya memenuhi keperluan anak-anak terutama duit untuk belajar. Anak-anaklah kena jaga amanah dan kepercayaan tersebut.

en. Yasin AAP - sederhana perlu jadic ara hidup orang Islam

humbleyat said...

saya suka no.6.Betul sgt2..masing2 berbelanja melebihi kemampuan dan mengikut kehendak dn bukannya berbelanja mengikut keperluan..:-)

nice tips..

Post a Comment

Powered by Blogger.