04 February, 2011

Tuntutan Rakyat Ditolak Penguasa Mesir


Kemelut politik Mesir sudah masuk minggu kedua atau hari ke 10. Kebangkitan rakyat yang mahu melihat masa depan Mesir yang lebih baik tidak boleh ditahan lagi. Walaupun provokasi dilakukan seperti tindakan luar jangka para demonstran dan pertembungan kumpulan pro Hosni Mubarak dengan demonstran tulen, ianya hanya menjadikan situasi lebih buruk. Tuntutan rakyat Mesir mudah sahaja - Hosni Mubarak letak jawatan segera dan adakan pilihanraya yang bebas dan adil.

Maka perbincangan mengenai persoalan semasa Mesir : Adakah Hosni Mubarak akan berundur? perlu ditukar kepada persoalan : Bilakah Hosni Mubarak akan berundur? Rakyat menuntut Hosni Mubarak berundur segera-sekarang sedangkan pengumuman Hosni Mubarak dalam kenyataan mengatakan bahawa dia hanya akan berundur pada September nanti bersamaan dengan tamat tempoh penggal pemerintahannya sebelum pilihanraya baru perlu diadakan. Dia juga tidak akan mempertahankan jawatannya dalam pilihanraya September nanti.



Ini sama sekali bertentangan dengan tuntutan rakyat yang berdemonstrasi. Seolah-olah Hosni Mubarak tidak langsung mengambil endah denyut nadi dan suara hati rakyatnya. Maka beberapa tafsiran boleh dibuat terhadap pengumuman Hosni Mubarak itu.

Pertamanya, opsyen ini walaupun tidak digemari rakyat, ianya dilihat sebagai jalan keluar selepas berunding atau mendapat nasihat daripada sekutu-sekutu yang menyokongnya. Sudah tentu pertimbangan mengenai kestabilan 22 negara Arab juga perlu diambil kira. Jika Hosni Mubarak meletak jawatan serta merta, kesan gegarannya akan sampai ke semua 22 negara Arab yang lain. Perlu diingat, Mesir ditandai sebagai pusat kuasa rantau Arab itu sendiri. Maka peralihan kuasa secara aman dan teratur dijadikan umpan kepada rakyatnya buat masa ini.

Keduanya, opsyen ini sebagai jalan terbaik untuk Hosni Mubarak berundur dan sempat menyediakan barisan pelapis yang boleh menjamin kedudukannya tidak diganggu selepas berundur diri. Trend bekas pemimpin yang disiasat dan dibicarakan selepas turun dari takhta sudah tentu menjadi igauan Hosni Mubarak sendiri. Maka, kalau bukan anaknya sendiri menggantikannya sebagai Presiden, sekurang-kurangnya orang-orang sealiran dengannya perlu dipastikan menang pilihanraya September nanti. Ini perlu dirancang, perlu disusun dan disediakan pelan pelaksanaannya. Tempoh Februari hingga September dijangka cukup sesuai untuk menjadikan ianya realiti.

Ketiganya, opsyen ini hanya akan menyebabkan keadaan huru hara berterusan dan mungkin lebih serius. Rakyat dan parti-parti pembangkang sudah memberikan signal yang jelas bahawa Hosni Mubarak perlu undur segera-sekarang. Mereka sudah bosan dengan tekanan hidup yang sangat menyusahkan. Harga minyak yang tinggi, kos hidup yang meningkat, kadar penggangguran terus meningkat dan lain-lain sangat merunsingkan rakyat. Maka, pemimpin sedia ada perlu digulingkan supaya nafas baru dalam kepimpinan negara boleh diberi ruang. Mudah-mudahan keadaan rakyat dan negara akan lebih baik selepas itu.

Keempat, opsyen ini juga tidak memberikan jaminan yang pilihanraya September nanti akan diadakan secara adil dan bebas. Rakyat Mesir sudah masak dan faham benar dengan pelaksanaan pilihanraya yang dikatakan demokrasi itu. Hakikatnya, pilihanraya diadakan seperti melepaskan batok di tangga bagi memastikan pemimpin sedia ada akan kekal berkuasa. Masuklah bertanding apa juga parti politik, amat sukar untuk memenangi pilihanraya negara Mesir ini. Maka, pilihanraya September juga diramalkan akan mengulangi orientasi pilihanraya sedia ada diamalkan selama 30 tahun ini. Kelompok penguasa sedia ada berpeluang untuk mempertahankan kuasa mereka walau ditekan rakyat pada masa sekarang.

Kita berharap agar kemelut Mesir ini akan selesai dengan segera. Maka tuntutan Hosni Mubarak supaya berundur adalah opsyen terbaik pada masa ini!

3 maklum balas:

LIPISLADY said...

Sallam,
Rasanya krisis di mesir akan segera berakhir sekiranya Hosni Mubarak meletak jawatan, itu kehendak rakyat.

endiem said...

meraka dah lama mahukan perubahan..

Yastro said...

Tunggu dan lihat je kesudahan kat Mesir ...degil amat si mobarak niee....

Post a Comment

Powered by Blogger.