18 March, 2011

Lawak Jenaka Tsunami, CNN iReport dan Citizen Journalism


Dalam tempoh seminggu selepas kejadian gempa bumi dan tsunami melanda negara Jepun, kita sedikit terganggu dengan beberapa 'lawak jenaka' yang cuba mengulas tragedi dahsyat ini. Umum sudah maklum 2 'lawak jenaka' yang 'meletup' ialah status Twitter seorang artis pelakon lelaki yang bertanyakan ke mana perginya Ultraman, Power Ranger dan Doraemon semasa saat-saat genting tsunami berlaku di Jepun. Tak perlu saya ulas panjang kerana kalau dibuat carian mengenainya, sudah tentu akan berjaya menjumpainya.

'Lawak Jenaka' yang kedua ialah kartun dalam Berita Harian pada 13 Mac 2011 yang lalu. Kartun yang berada di bawah kolum pengarang surat khabar itu menggambarkan Ultraman sedang melarikan diri daripada serangan ombak tsunami. Maka maklum balas yang pelbagai dibuat di mana-mana sahaja terutamanya di blog, Facebook dan lain-lain. Niat pelukisnya untuk bergurau senda nampaknya tidak dapat dirasai sebagai 'tidak sesuai' oleh editornya sehingga kartun tersebut diterbitkan dalam akhbar arus perdana tersebut.

Mungkin ada beberapa lagi 'lawak jenaka' mengenai tsunami Jepun, namun yang mendapat perhatian adalah dua contoh di atas ini. Sudah tentulah ianya tidak kena pada tempatnya. Dalam pada sepatutnya respon dukacita diberikan kepada mangsa-mangsa dan negara Jepun khususnya, ada juga yang berjaya befikir 'di luar kotak' sehingga boleh menghasilkan status Twitter dan kartun sebegitu. Orang awam yang lain hanya mahu mereka berfikir semula dengan bertanya "bagaimana kalau tsunami itu berlaku pada diri kita sendiri?" Adakah kita masih sanggup bergurau senda dengannya?

Satu perkara yang menarik untuk dibincangkan juga ialah apa yang berlaku kepada kartun Berita Harian tersebut. Ianya menjadi lebih sensasi apabila diterbitkan dalam laman CNN iReport. Wah, ia sudah menjadi isu antarabangsa! Portal berita tersohor dunia menjadikannya sebagai bahan berita di dalam laman webnya! Siapa yang tidak kenal dengan CNN? Liputan beritanya merangkumi seluruh dunia. Sudah tentu apa sahaja berita yang tersiar telah menjadi 'news' peringkat dunia.

Berita di dalam CNN iReport itu tersiar pada hari yang sama kartun tersebut disiarkan dalam Berita Harian. Sudah tentu soalan awal akan timbul, "CNN ada korespondennya di Malaysia?".

Jika kita selidiki lebih mendalam, CNN iReport ini rupa-rupanya adalah laman berita sampingan kepada CNN itu sendiri. Laman CNN iReport itu sendiri menjelaskan bahawa kita semua dijemput untuk berkongsi berita dengan CNN. Berita yang kita sumbangkan itu akan membentuk corak pemberitaan CNN itu sendiri. Pihak iReport menyediakan alatan secara online untuk pembacanya menghantar berita yang dianggap penting di kalangan penghantarnya. Lebih pada itu, bahan berita itu tidak akan diedit atau disemak faktanya sebelum diterbitnya. Pihak CNN hanya akan menyemak samada berita tersebut benar-benar penting dan kemudiannya diterbitkan sebagai sebahagian daripada berita-berita CNN.

Apa maknanya di sini? Sesiapa sahaja boleh menulis berita mengenai apa sahaja yang berlaku di kelilingnya dan kemudiannya memuatnaikkannya ke laman CNN iReport. Jika berita tersebut dianggap penting dan sesuai, maka ianya akan menjadi berita CNN. Juga akan dibaca oleh pembaca seluruh dunia! Maka, tidak peliklah apabila respon rakyat Malaysia terhadap kartun Berita Harian itu adalah tidak positif. Menolak mesej yang cuba disampaikan melalui kartun tersebut kerana tidak kena pada tempatnya.

Oh, ya. Selain berita CNN iReport mengenai kartun Berita Harian itu, ada juga berita ulasan seorang VVIP yang mengatakan bahawa kejadian tsunami itu adalah sebagai pengajaran kepada mana-mana negara yang mahu membuat pembangunan supaya mengambil kira faktor 'climate change' dan 'green technology'. Ianya sudah tersiar di dalam CNN iReport dan sudah tentu sudah dibaca serta dikomen oleh pembaca seluruh dunia.

Maka, apabila orang awam berperanan sebagai wartawan, melaporkan kejadian dan berita yang berlaku, kita boleh namakannya sebagai 'Citizen Journalism'. Fenomena 'Citizen Journalism' ini sebenarnya memang sudah berlaku sejak dunia blog menjadi popular. Orang ramai menjadi wartawan persendirian dan 'melaporkan' kejadian atau peristiwa yang dilihatnya, dihadirinya atau dialaminya di dalam blog persendirian masing-masing. Cerita-cerita mengenai kenduri kahwin, sukan tahunan tadika, malah sehingga menu yang dimakan semasa makan tengahari tadi juga dijadikan bahan 'berita' di dalam blog masing-masing.

'Citizen Journalism' boleh memainkan peranan pentingnya apabila 'breaking news' yang dilaporkan itu mengenai kemalangan atau musibah yang baru sahaja berlaku. Kebetulan penulis tersebut membawa bersama kamera dan modem Internetnya. Maka, kejadian seperti kemalangan jalan raya boleh dilaporkan secara segera atau 'on the scene' serta boleh mendapatkan bantuan kecemasan dengan lebih pantas.

Maka, berita kartun Berita Harian yang terbit di dalam CNN iReport itu juga adalah sebahagian daripada dunia 'Citizen Journalism' ini. Atau dalam kata lain, bukanlah wartawan CNN yang sebenarnya membuat laporan tersebut. Tetapi, sudah tentu ianya akan menyebabkan 'suasana sensasi' kerana ianya terbit di dalam portal berita antarabangsa.

Jika dirujuk kepada Wikipedia, Citizen Journalism itu bermaksud the concept of members of the public "playing an active role in the process of collecting, reporting, analyzing and disseminating news and information," ..... "The intent of this participation is to provide independent, reliable, accurate, wide-ranging and relevant information that a democracy requires."

Justeru, pada ketika ini, sesiapa sahaja boleh menjadi wartawan. Asal sahaja berita yang ditulis itu sesuai, penting dan berkaitan dengan isu semasa, ianya boleh dijadikan bahan berita atas talian yang sangat penting.

7 maklum balas:

APAN said...

nice info kat sini :)

Sham said...

tapi apa2 pun dia punya lawak memang tak menjadila kan...

LIPISLADY said...

Sallam,
Lawak yang amat menyinggung pihak2 tertentu.

Citizen Journalism perlu berhati-hati dalam meledakkan berita kerana bimbang boleh menyusahkan diri sendiri....

akuanakpahang said...

Lawak kalau tak kena gaya dan tempat mmg menyusahkan org lain.

Yastro said...

Malu beso ler org VVip tu yekk...maklum ler komen dia dh kecoh satu dunia...len kali dia kene beringat ler...jgn dok komen ikut sesedap mulut jekk....banyak sgt masaalah dh vvip nih...

nba-Nur said...

Pengajaran buat semua agar tidak mengulangi perkara yang sama pada masa akan datang.

Hisyam Muhibah said...

APAN - TQ

Sham - ya, lawak tak menjadi. orang marah lagi ada

Kak LL - sebab tu lah citizen journalism perlu berhati2.

En. Yassin - setuju. tengok tempat dulu kalau nak melawak

Yastro - sebab pulut santan binasa...

nba-nur - setuju

.............
Terima kasih semua

Post a Comment

Powered by Blogger.