19 April, 2011

Makanan Ringan Di Sekolah; Pendidikan Dan Kesedaran Lebih Utama


Isu makanan ringan tidak berkhasiat di kantin sekolah terus dibincangkan seperti satu bom jangka pula. Maka saya mula berfikir-fikir kenapa nampaknya beriya benar Kementerian Kesihatan melalui Menterinya secara terus mengutarakan isu ini. Sudah tentulah ianya akan menimbulkan cubaan-cubaan spekulasi. Adakah isu ini dibangkitkan secara solid atau ada cerita di sebaliknya untuk mengalihkan isu.

Saya cuba berspekulasi sedikit. Isu ini timbul sebaik sahaja Pilihanraya Negeri Sarawak selesai diadakan. Memangpun semasa tempoh kempen YAB TPM merangkap Menteri Pelajaran ada menyentuh mengenai kebimbangannya mengenai kadar obesiti yang tinggi di kalangan rakyat, justeru beliau mengingatkan mengenai kadar obesiti di kalangan pelajar-pelajar sekolah. 

Oh, ya! Parti SUPP yang mewakili kaum Cina di Sarawak kalah teruk. Daripada 19 kerusi yang disertai, hanya 6 sahaja yang menang. Lebih teruk, Presidennya juga kecundang selepas 8 penggal penguasai kerusinya itu. Maka beliau merupakan Presiden parti komponen BN ke 4 yang kecundang selepas MIC, Gerakan dan PPP. Oh, spekulasi saya mudah saja, untuk mengalihkan isu pengundi Cina yang terus menerus menyokong pembangkang daripada dimainkan seperti setiap kali pilihanraya kecil sebelum ini - yang sudah tentu memberikan tekanan kepada parti MCA, maka marilah kita bincangkan isu makanan ringan di sekolah yang diusulkan oleh Menteri Kesihatan yang merangkap Timbalan Presiden MCA. Walaupun MCA tidak bertanding di Sarawak, tetapi isu utamanya ialah pengundi Cina, dan MCA ialah parti utama yang mewakili kaum Cina di Malaysia.

Berbalik kepada makanan ringan, larangan dan tindakan kepada pengusaha kantin semata-mata tidaklah menggambarkan usaha menyeluruh untuk menangani isu ini. Adat manusia, semakin dilarang semakin mahu dibuat. Apatah lagi jika kuasa permintaan yang sudah tentu menarik penawaran kepada makanan-makanan ringan ini. Maka, pendidikan dan kesedaran lebih utama jika kementerian benar-benar serius mahu menyelesaikan isu ini. Ianya terkait dengan bidang kesihatan, bidang pelajaran dan bidang kepenggunaan.

Tanamkanlah kesedaran dan pendidikan bahawa makanan ringan terkandung bahan kimia yang diletakkan sebagai ramuan. Bahan-bahan kimia ini bertindak sebagai bahan perasa, bahan pewarna, pengawet dan bahan yang digunakan untuk membantu membentuk tekstur dan penyediaan makanan ringan itu. (rujuk buku Anakku Mahu Makan tulisan Zuraini Mat Issa terbitan PTS Litera Utama 2006).

Malah lebih membimbangkan seperti apa yang dijelaskan oleh Dr. Danial Zainal Abidin (2006) dalam bukunya Penemuan Islam Dan Bukti Sains Moden, makanan ringan boleh dikategorikan sebagai makanan kurang berkhasiat yang memudharatkan kerana ianya mengandungi kabohidrat jenis biasa, lemak tepu dan garam pada kadar yang tinggi, disamping rendah atau tiada langsung bahan serat, protien, vitamin dan zat-zat logam di dalamnya. Maka ia boleh menyebabkan masalah darah tingi, asma, sakit jantung, kesan kepada otak dan buta.

Pendidikan dan kesedaran juga perlu diberikan kepada ibu bapa. Apalah gunanya jika larangan hanya berkuat kuasa di kantin sekolah semata-mata, sedangkan di luar sana masih terdapat jualan makanan-makanan ringan di kedai-kedai runcit atau peniaga tepi jalan yang akan menjadi sasaran pelajar-pelajar sekolah sebaik sahaja loceng tamat sekolah berbunyi. Janganlah juga, ibu bapa pula yang menyediakan bekal makanan ringan kepada anak-anak apabila pergi sekolah lantara kantin sekolah sudah melarang jualannya.

Akhirnya, marilah kita merenungi ayat Al-Quran dalam Surah Al-Baqarah ayat ke 172 yang bermaksud : "Wahai orang-orang yang beriman, makanlah di antara rezeki yang baik-baik yang Kami berikan kepadamu dan bersyukurlah kepada ALlah jika benar-benar hanya kepadaNya kamu menyembah."


4 maklum balas:

Miecyber said...

Satu usaha yang murni.
Buluh hanya boleh di bentuk dengan mudah hanya pada waktu rebungnya..

China miliki 960,000 jutawan

kueh bakar said...

nasik lemak rm 1 sebungkus tu bukan la puncanya.....dah 50 tahun nasik lemak dijual kat kantin sekolah...

skrg baru isu? isk.iskkk...

nyanyisunyi said...

Alhamudlillah anak2 kekal langsing mcm ibunya...dan anak2 pun tk terlalu kerap makan nasi lemak kerana setiap pagi sy pasti masakkan sarapn buat anak2

ozzy said...

Assalam..

Hakikatnya tidak terlalu mudah krn kanak2 mmg sukakan makanan ringan yg berperisa.
Apapun mungkin kesedaran ini boleh ditekankan di sekolah.

Post a Comment

Powered by Blogger.