24 April, 2011

القائد المفكر Pemimpin Pemikir; Menjana Idea Organisasi


Dalam teori kepemimpinan dan kepengikutan, sudah selesai kajian dibuat mengenai ciri-ciri pemimpin. Pemimpin samada untuk sebuah negara, negeri, pertubuhan, parti politik, persatuan, kelab ataupun unit menampakkan ciri dan gaya kepemimpinan yang pelbagai. Ianya dibentuk samada melalui proses latihan formal yang dilaluinya atau terbina daripada bakat semula jadi yang sedia ada dalam dirinya.

Hakikatnya, dunia sudah berubah. Corak, ciri dan gaya kepemimpinan seseorang pemimpin juga perlu berubah. Cabaran semasa kepada orgainsasi adalah jauh berbeza berbanding zaman dahulu. Asakan globalisasi, produk identiti, penjenamaan strategik serta kehadiran yang dirasai, perlu diambil kira oleh sesebuah organisasi untuk terus kekal relevan dalam dunia semasa.

Maka, pemimpinnya juga perlu bercirikan pelbagai dimensi atau memiliki nilai tambah selain kemahiran kepimpinannya untuk mempengaruhi orang lain (ahli-ahli) mengikut bersamanya untuk bertindak bagi mencapai matlamat organisasinya. Sebagi contohnya, kemahiran pemikiran dijadikan nilai tambah kepada seorang pemimpin. Maka jadilah dia sebagai seorang Pemimpin Pemikir dan tidak semata-mata Pemimpin.

Tentu sahaja ada hujahan balas supaya diasingkan di antara pemikir dan pemimpin dalam satu susuk tubuh badan manusia. Menyatukannya hanya akan membawa masalah lain. Ini kerana pemikir biasanya akan 'terbelenggu' dengan idea-idea, dapatan-dapatan, kesimpulan-kesimpulan, yang belum tentu dapat digerakkan dalam bentuk tindakan. Biarlah tindakan dilakukan oleh orang lain supaya ianya segera dilaksanakan.

Namun, itu kalau dilihat dari sudut pemikir-ke-pemimpin. Untuk menyelesaikan isu ini, kita perlu melihat dari sudut pemimpin-ke-pemikir. Seseorang pemimpin yang terbukti kemahiran kepimpinannya diterapkan pula dengan kemahiran pemikiran yang sistematik. Seperti apa yang diungkapkan Johanes Ariffin Wijaya (2010, Jakarta) dalam bukunya "2012 Motivitamin Hidup Sukses" menyatakan bahawa para pemimpin adalah pemikir-pemikir yang strategis, Mereka dapat melihat suatu 'gambaran besar'. Selain itu, beliau menyatakan juga pemimpin adalah pemikir-pemikir yang berantisipasi terlebih dahulu. Mereka mempertimbangkan segala konsekuansi dari perilaku mereka sebelum bertindak.

Justeru, seorang pemimpin perlu menaikkan taraf dirinya menjadi 'Pemimpin Pemikir' dalam organisasi yang dipimpinnya. Ini kerana ahli-ahli dan masyarakat umum mahu melihat 'idea baru' yang hendak dibawa dalam organisasi. 'Idea baru' hanya akan tercetus melalui kekuatan pemikiran yang membuat analisa menyeluruh tentang dalaman organisasi serta luarannya. 'Idea baru' juga akan membezakan gaya kepimpinannya dengan pemimpin-pemimpin sebelum daripadanya. 'Idea baru' juga akan mampu memberikan 'feel good factor' yang baru kepada ahli-ahli yang dipimpinnya.

Maka, boleh jadi 'idea baru' itu dalam bentuk slogan baru yang dicanangkan, boleh juga dalam bentuk matlamat dan hala tuju baru yang lebih relevan, atau mungkin juga dalam bentuk gerak kerja yang menekankan pendekatan baru atau penggunaan teknologi baru.

Namun, perlu diingat, menjadi Pemimpin Pemikir bukan senang. Ianya perlu diawali dengan latihan-latihan mencanai minda secara konsisten. Budaya ilmu dan budaya berfikir perlu menjadi 'makanan harian' seorang pemimpin jenis ini. Jika tidak, dia hanya akan mengulangi perkara yang sama seperti sebelumnya, cuma dengan hanya perubahan pada nama atau labelnya sahaja.


2 maklum balas:

ozzy said...

Assalam..

Pemimpin yg dikagumi Dr Mahathir kerana mempunyai wawasan dan seorang pemikir serta penganalis yang baik

Hisyam Muhibah said...

Ozzy - pemimpin pemikir sebegini mungkin tidak ramai. maka perlu dimanfaatkan sebaiknya

Post a Comment

Powered by Blogger.