16 April, 2011

Sarawak Kekal Kubu BN, Tsunami Politik Masih Bertahan


Keputusan rasmi sudah diperolehi. BN Sarawak kembali diberikan mandat untuk memerintah negeri terbesar itu. Tan Sri Abdul Taib Mahmud sudah mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sarawak di hadapan Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng di Kuching pada jam 10.35 malam tadi. Keputusan yang dibuat rakyat harus dihormati petanda demokrasi tetap subur di negara kita.

Namun, kembali ke takhta dengan kekurangan panglima-panglimanya. Daripada 71 kerusi yang dipertandingkan, BN memenangi 55 kerusi, PR pula menang 15 dan ada 1 kerusi dimenangi calon Bebas. Bermakna, BN telah terlepas 8 kerusi kepada PR dan 1 kerusi kepada Bebas berbanding Pilihanraya Negeri pada 2006 apabila hanya 7 orang sahaja wakil pembangkang di dalam DUN Sarawak.

Maka, sudah tentulah post-mortem akan dibuat untuk mengkaji prestasi merosot BN Sarawak terutamanya 'bungkus'nya SUPP yang merupakan parti komponen BN Sarawak yang mewakili kaum Cina di sana. Presidennya telah mengikut jejak langkah Presiden MIC, Presiden Gerakan dan Presiden PPP yang telah tewas dalam PRU ke 12 yang lalu. Sokongan pengundi kepada DAP meningkat sekali ganda manakala kerusi PKR bertambah 2 kali ganda.

Maka, kesimpulan awal boleh dibuat bahawa tsunami politik PRU12 3 tahun lalu masih lagi membara dan ternyata sudah sampai ke Sarawak. Namun benteng pertahanan yang dipasak BN Sarawak walaupun masih ampuh tetapi sudah menunjukkan keruntuhan di sana sini. Ternyata senario politik Sarawak benar-benar menunjukkan perubahan. Faktor pengundi Cina sekali lagi menjadi penentu kepada pemenang dalam sesuatu kawasan.

Maka, perlulah semua parti politik di negara kita terus memberikan tumpuan kepada pengundi Cina dan pengundi bandar yang nampaknya masih tekal dengan pendirian dan sikap politik yang tidak berubah dalam masa 3 tahun selepas PRU12.

0 maklum balas:

Post a Comment

Powered by Blogger.