07 April, 2011

Selain Isu Video, Banyak Lagi Kemelut Umat Yang Perlu Diprihatinkan


Hari ini masuk hari ke 18 isu video hitam putih (saya lebih selesa dengan label ini berbanding label 'video s**s') dijadikan satu 'kegemparan' di negara kita. Walaupun pada awalnya saya tidak berhajat untuk menulis entri mengenainya kerana tidak mahu terlibat serta bimbang termasuk dalam golongan yang memanjangkan perkara yang belum pasti kebenarannya (baca : fitnah), hari ini entri mengenainya dibuat juga.

Pendirian dan sikap telah dibuat. Setakat pagi ini saya menolak untuk mempercayai dakwaan individu pelaku di dalam video hitam putih itu sebagai Dato' Seri Anwar Ibrahim. Full Stop. Kita tunggu hasil siasatan polis selain mengingatkan bahawa laporan polis yang dibuat DSAI sehari selepas pendedahan video itu di Carcosa Seri Negara adalah bertumpu kepada orang yang memiliki dan mempertontonkan video hitam putih itu kepada wartawan-wartawan terpilih.

Apa yang lebih penting pada saya ialah selama 18 hari rakyat Malaysia diseret untuk mengikuti isu ini, ada banyak lagi isu lain yang lebih penting, malah lebih relevan berbanding dengan isu video hitam putih itu. Antara lain isu-isu tersebut ialah :

  1. Krisis kepimpinan di Libya yang melihatkan campurtangan tentera bersekutu yang menyerang Libya. Serangan balas dilakukan oleh tentera yang menyokong Ghadaffi. Terkini, Ghadaffi melalui anaknya sudah mula menawarkan pelan perubahan kepimpinan negara. Isunya ialah semakin ramai orang awam dilaporkan terbunuh kerana serangan tentera bersekutu serta krisis minyak dunia juga akan menjadi masalah kepada kita semua.
  2. Harga ayam yang naik melambung di pasaran sehingga ada yang menjual pada harga RM8.60 sekilogram. Perkara ini tentu saja menambahkan keresahan orang ramai kerana kos sara hidup sudah tentu meningkat. Kuasa beli jatuh sedikit. Antara sebab yang diberikan ialah kekurangan bekalan kerana permintaan tinggi semasa Tahun Baru Cina, musim cuti sekolah dan musim kenduri kahwin. Tetapi, trend itu sudah saban tahun berlaku pada bulan Mac. Sepatutnya sudah ada persiapan untuk memastikan bekalan ayam kekal cukup dan harganya kekal stabil sepanjang bulan Mac dan April.
  3. Perbahasan mengenai samada Malaysia memerlukan loji nuklear atau tidak mula mendapat tempat di kalangan rakyat. Ini selepas kejadian gempa bumi di Jepun yang menyebabkan kebocoran reaktor nuklear di sana. Akibatnya, radiasi sudah terbebas dan kesan radioaktif sudah mula meresap ke dalam laut, tanah, binatang, tumbuhan dan lain-lain. Samada Malaysia memerlukan loji nuklearnya sendiri perlu diambil berat oleh kita semua.
  4. Kekerapan kejadian gempa bumi sejak beberapa tahun kebelakangan ini dipercayai mengakibatkan kedudukan titik gempa di Sumatera, Indonesia beralih dan semakin menghampiri Malaysia. Gempa sudah berlaku di Myanmar dan terbaru berlaku di Jakarta. Kita harus bersiap sedia terhadap sebarang kemungkinan yang akan berlaku.
  5. Jumlah pencari kerja (tak mahu sebut penganggur) adalah besar di Malaysia. Sebanyak 200 000 permohonan mencari kerja diterima sepanjang 3 hari program Karnival Kerja Pemuda BN. Mereka ini terdiri daripada orang muda belia yang memerlukan pekerjaan untuk meneruskan kehidupan dengan selesa. Usaha Pemuda BN harus dipuji untuk membantu mereka yang masih belum mempunyai pekerjaan.
  6. Pengharaman tarian poco poco oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak mencetuskan sedikit polemik dan reaksi pelbagai daripada orang awam. Ada yang menyokong dan ada yang mengecam. Maka, eloklah dibawa ke peringkat Majlis Fatwa Kebangsaan dan diputuskan di peringkat itu. Ini kerana tarian poco poco diamalkan di seluruh negara dalam program-program awam atau kerajaan. Imej Majlis Fatwa dan Mufti juga perlu dipertahankan daripada dikritik sebagai tidak mengikuti perkembangan semasa atau kajian yang cetek sebelum mengeluarkan fatwa.
  7. Kemunculan virus Adeno di PULAPOL memang membimbangkan. Tambah satu lagi penyakit yang tak pernah didengar sebelum ini. Samada ianya berjaya dikawal setakat di PULAPOL sahaja atau boleh juga tersebar atau berjangkit, kita tidak pasti. 3 nyawa pelatih telah terkorban. Kita juga perlu sentiasa berhati-hati dan mengambil tahu tentang virus ini supaya ianya tidak terus tersebar.
  8. Isu syarikat Lynas Corp. Lt. dari Australia yang mendapat kelulusan membina kilang pemprosesan bahan kimia di Gebeng Kuantan mula memasuki fasa 'pertembungan kepentingan umum dan politik'. Kebimbangan orang awam terhadap pembinaan kilang ini tidak perlu dilihat daripada sudut politik. Walaupun usaha MP Kuantan berjaya meraih sokongan rakyat, itu tidak bermakna orang awam telah dikelirukan oleh pembangkang. Jaminan MB Pahang bahawa projek itu adalah selamat juga melegakan. Usaha penerangan oleh kerajaan negeri melalui agensinya PKNP diharap dapat membuka ruang dialog serta pemahaman yang lebih baik terhadap isu ini.
  9. Penahanan 62 pegawai Kastam Diraja Malaysia oleh SPRM membuka satu lagi episod rasuah yang semakin membarah. Antara pembongkaran yang ditemui adalah terdapat pegawai yang memiliki kereta mewah, jam tangan buatan emas, jongkong emas serta menyimpan wang tunai yang banyak.  Juga ditemui kotak-kotak bunga api dan rokok kretek di rumah salah seorang pengarah yang ditahan. Amanah yang diberikan untuk menjalankan tugas nampaknya dilihat dari sudut 'peluang' untuk kepentingan peribadi. Akibatnya, kerugian dianggarkan RM108 bilion yang sepatutnya menjadi pendapatan negara setiap tahun lesap manakala lebih RM10 bilion lagi dipindahkan secara haram ke luar negara. Duit oh duit, buta mata dan buta hati manusia.
  10. Harga minyak petrol RON97 terus naik. Terkini ianya mencecah RM2.70 seliter. Kita akui yang harganya mengikut harga pasaran minyak dunia. Tetapi kesannya kepada kehidupan seharian juga harus diberikan perhatian. Kuasa beli pengguna-pengguna RON97 jatuh sedikit. Kita juga mengharapkan agar minyak petrol RON95 akan kekal harganya untuk tempoh masa yang lebih panjang.
  11. Kegagalan mengawal emosi sehingga hilang pertimbangan telah menyebabkan seorang ustaz memukul anak muridnya yang berusia 7 tahun sehingga cedera parah dan akhirnya meninggal dunia. Hukuman adalah satu elemen dalam pendidikan. Tetapi jika ianya disalah guna akan membawa masalah yang lebih buruk. PAS Perlis sudah mengeluarkan kenyataan memohon maaf atas kejadian yang berlaku di institusi pendidikan di bawah kelolaan mereka.
Nah, ini 11 isu yang dirasakan lebih penting daripada video hitam putih 20 minit itu. Tak perlulah terlalu mengagungkan politik sehingga meletakkan kualiti politik Malaysia pada tahap politik murahan, politik seks, politik selak kain dan politik fitnah. Masalah rakyat lebih utama untuk diselesaikan.

12 maklum balas:

Miecyber said...

Isu video panas adalah isu memalukan dan membuang masa sahaja.

Malangnya Malaysia kerana di terajui oleh pemimpin pemimpin yang rendah IQ..


Terima Award.Makasih sobat

Suara Kalbu said...

Setiap hari saya baca isu ini di akhbar dengan sedikit jelak. Percaya tidak, menolak pun tidak.

Saya kira masih banyak perkara serius yang perlu diambil serius.
Contohnya seperti apa yang tuan tulis disini.

Moga-moga diambil iktibar

akuanakpahang said...

Salam, saya menyokong saranan anda benar rakyat seperti terus diperbodohkan dgn isu sedemikian sedangkan perkara lain yang lebih penting terus tenggelam didalam kegelojohan mereka memcanang video seks ini yang haram tidak memberi kebaikan utk rakyat.

Yastro said...

Kuasa lagi penting dari segala2nya...itulah hakikat politik disini...

#Kalau tiap2 hari dok momok mende yg sama...lama2 yg menyokong pun jadi jelak...hehehe

ozzy said...

Assalam..

Saya turut setuju agar tidak perlu membuang masa dgn isu video tersebut tidak kira samada Anwar atau siapa saja khususnya org melayu.
Isu ini juga tak perlu dibahaskan diparlimen ..buang masa krn banyak lagi isu lain perlu diberi perhatian.

smtabi'in said...

assalamualaikum tuan,

saya sangat setuju dengan tuan, banyak lagi perkara yang harus diberi perhatian berbanding video 20 minit itu.. saya cuma ingin menambah satu saja yang saya fikir sangat penting terhadap umat islam masa kini dan akan datang iaitu bible berbahasa melayu. apa kesudahan kisah ini?? apa penyelesaianya?? apa yang berlaku sebenarnya sehingga mufti selangor membidas putrajaya, mengatakan bahawa kerajaan yang membuat undang undang tetapi kerajaan juga yang melanggar undang undang... adakah ini semua untuk mengaburi mata marhaen disebalik usaha mengekalkan kuasa pada pilihan raya negeri sarawak...???? wallahu a'lam

Hisyam Muhibah said...

Miecyber - jauh lagilah masanya kita akan melihat budaya baru politik

Hisyam Muhibah said...

Suara Kalbu - isu begini akan menjauhkan lagi golongan atas pagar daripada mengambil tahu hal politik negara

Hisyam Muhibah said...

En. Yassin AAP - politic is a art of possibilities.. semuanya mungkin berlaku..

Hisyam Muhibah said...

Yastro - politik Malaysia dah semacam timur tengah. rakyat dan pembangkang katalah apa sahaja isu dan masalah, tetapi jangan sesekali diusik dan dicabar tampuk kekuasaan..

Hisyam Muhibah said...

En. Ozzy - itu lah harapan rakyat. takkan lah rakyat yang kena menasihati pemimpin politik supaya hentikan politik selak kain dan politik fitnah sebegini!

Hisyam Muhibah said...

Tabiin - ya, isu bible bahasa melayu juga perlu dibicarakan. ianya jadi lebih ketara apabila tibanya pilihanraya sarawak ni.. tak masuk dalam senarai 11 isu selain video kerana isu bible bahasa melayu dibincangkan sebelum isu video muncul. insyaAllah ada gerak usaha untuk menangani isu ini.

Post a Comment

Powered by Blogger.