20 May, 2011

Islam dan Konsep Storan, Pemprosesan dan Penyebaran


Pagi ini dimulakan dengan mencari bahan-bahan bacaan yang mengaitkan Islam dengan teknologi maklumat. Alhamdulillah, ada satu buku yang bagus dalam mengupas perkaitan ini. Buku berjudul "Islam, Komunikasi dan Teknologi Maklumat" ini ditulis oleh Zulkiplee Abd. Ghani (2001) dan diterbitkan oleh Utusan Publication.

Dalam konsep teknologi maklumat, komponennya terdiri daripada input, proses, output dan storan. Komponen ini merupakan asas kepada dunia pengkomputeran dan pemprosesan maklumat sejak dulu sehingga kini. Komponen-komponen ini pula akan berfungsi dengan bantuan perkakasan dan perisian yang dicipta dan dibangunkan oleh manusia.

Menurut buku ini, Islam itu sendiri sudah memiliki konsep yang sama dengan empat komponen ini. Pengarangnya menyebutkan bahawa teknologi bukanlah sesuatu yang asing dengan sejarah dan ajaran agama Islam. Ianya satu proses yang berterusan, berkembang dengan kepandaian manusia dan memudahkan urusan kehidupan. Agama Islam dan ketinggian tamadun ilmunya juga memanfaatkan teknologi dan penciptaan untuk berkembang. Malah teknologi pembuatan mesin, kertas, arkitek, ketenteraan, perkapalan, tekstil, pertanian dan sebagainya telah membantu ke arah membangunkan kecemerlangan Islam dan ummah terutamanya sebelum abad ke 16 masihi.

Tiga aktiviti utama dalam perbincangan teknologi maklumat ialah storan, pemprosesan dan penyebaran sebenarnya telah menjadi agenda utama dalam pensejarahan pembangunan Islam. Usaha storan yang melibatkan pengumpulan maklumat, menganalisis dan mengembangkannya boleh dilihat sebagai contoh dalam perbincangan yang berkaitan dengan pembukuan Al-Quran, pengumpulan Hadith, dan hasil daripada perbincangan berkaitan dengan ijmak, kias dan ijtihad.

Usaha pemprosesan pula dilihat seperti aktiviti menapis, menyaring dan menentukan prioriti maklumat. Malahan, Allah SWT telah berfirman dalam konteks pemprosesan ini, yang bermaksud :
"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan." (Al-Hujurat, 49:6)
Dalam aktiviti penyebaran (output) pula, ilmu dan maklumat yang diyakini benar sahaja disebarkan kepada individu ataupun massa supaya pembangunan umat Islam menjadi terpimpin. Maklumat  berkenaan disalurkan melalui pelbagai manhaj dengan turut mengambil kira aspek keberkesanannya. Sebagai contoh, Rasulullah SAW menggunakan metod yang paling canggih sewaktu ucapan Haji Wida' dengan menggunakan transmitters sehingga membolehkan ribuan manusia yang hadir mendengar ucapannya dengan berkesan meskipun pada zaman itu tidak ada perkakasan pembesar suara.



1 maklum balas:

akuanakpahang said...

Bagus buku nie... membaca satu amalan yang mulia.

Post a Comment

Powered by Blogger.