16 May, 2011

Landskap Gerakan Belia Terus Berubah


Semalam 15 Mei 2011 merupakan sambutan Hari Belia Negara. Semua negeri menganjurkan sambutan dan perhimpunan sebelum acara kemuncaknya iaitu Himpunan Sejuta Belia 2011 yang akan diadakan di Putrajaya pada 27-29 Mei 2011. Di peringkat negeri Pahang, sambutan telah diadakan di Padang MPK 2 yang dirasmikan oleh YAB. Menteri Besar Pahang.

Ternyata perubahan struktur sosial dan masyarakat kerana perubahan semasa itu juga memberi kesan kepada gerakan belia di negara ini. Gerakan belia (baca : pemimpin dan pertubuhan belia) pada masa kini sangat terkesan dengan arus teknologi maklumat selain orientasi sosial yang jauh berubah. Mungkin ada juga perubahan lain, namun dua faktor ini dilihat sebagai 'tekanan' utama kepada belia.

Untuk rekod, bilangan rakyat Malaysia dalam usia belia 15 hingga 40 tahun adalah 12 juta orang. Bilangan ini membentuk 46% daripada keseluruhan rakyat Malaysia.

Arus teknologi maklumat masa kini ditandai oleh kegilaan gajet, bentuk kandungan serta cara berkomunikasi di kalangan penggunanya. Pengguna teknologi maklumat sudah tentu kebanyakannya terdiri daripada warga belia. Teknologi maklumat sudah menjadi gaya hidup warga belia dan ianya sentiasa menjadi buruan mereka. Maka, jika belia tidak memiliki gajet, ia boleh dianggap tidak 'stylo' atau tidak mengikuti arus semasa. Selepas memiliki gajet, apakah pula bentuk kandungan yang menjadi 'langganan' para belia. Sudah tentu pada masa kini kandungan berbentuk rangkaian sosial menjadi pilihan. Akhirnya, trend ini akan membentuk satu cara berkomunikasi baru yang menjadi identiti kepada warga belia pada masa kini. Mereka berhubung menggunakan Facebook dan Twitter, mereka berhujah menggunakan blog dan mereka berekspressi di laman YouTube.

Kesan yang timbul kepada gerakan belia ialah keperluan untuk mengisi perubahan ini supaya warga belia dan gerakan belia tidak akan terpisah kerana kecanggihan teknologi pada masa kini. Bermakna, pertubuhan belia juga perlu mesti 'IT savvy' serta memanfaatkan segala teknologi dan perkakasan serta kandungan dan perisian untuk berada bersama-sama dunia belia yang baru ini. Pemimpin-pemimpin belia perlu meninggalkan stigma formal dan label 'Mat Belia' berbaju batik yang sudah tidak relevan pada masa kini.

Perubahan dalam orientasi sosial juga perlu difahami secara tuntas oleh gerakan belia. Senario belia yang mencari kerja untuk membayar semula hutang pinjaman pendidikan tidak boleh dipandang sepi. Selagi mereka tidak memiliki pekerjaan yang stabil dengan pendapatan yang selesa, maka janganlah terlalu mengharap mereka akan berfikir untuk melibatkan diri dalam gerakan belia atau kesukarelaan. Ini bermakna, gerakan belia akan kehilangan 'focus group' mereka dalam menggerakkan aktiviti-aktiviti yang berfaedah.

Selain itu juga, kecenderungan belia pada masa kini juga berubah dalam bentuk minat dan hobi mereka. Minat belia sudah menjadi 'narrow' atau mengkhusus kepada sesuatu bidang sahaja. Sebagai contoh, futsal menjadi pilihan yang sangat popular di kalangan belia untuk mereka bersosial. Juga mereka yang minat kepada kamera DSLR, permainan kawalan jauh, kelab bermotor, band muzik, serta aktiviti hiburan seperti karaoke. Dengan mewujudkan kumpulan-kumpulan belia berteraskan minat atau 'interest based' mereka boleh menganjurkan aktiviti bersama-sama. Maka, mereka tidak lagi memerlukan persatuan belia yang dianggap sangat formal untuk mereka menganjurkan program.

Pertubuhan dan gerakan belia pula lah yang perlu berubah dengan menawarkan ruang-ruang untuk memenuhi keperluan belia masa kini yang sudah menjadi terlalu spesifik ini. Mudah-mudahan pemimpin-pemimpin belia masa kini mampu untuk menangani landskap baru gerakan belia masa kini, jika tidak belia dan persatuan-pemimpin akan terus terjarak.





4 maklum balas:

Miecyber said...

Selamat hari belia....

4 beranak perompak berjubah

suri said...

salam]rindunya hari belia..dulu masa study kolej sslu kami tak akan miss turun padang utk menyambutnya..

kni keadaan dah berubah ada kluga tu hrus fokuskan lebih

Miecyber said...

Semuga menjadi belia yang berguna...

Seluruh Rakyat Malaysia Di Seru Turun Beramai-Ramai Ke Perarakan Bantah Lynas Dari KLCC Ke Kedutaan Australia Pada Hari Jumaat 20 Mei Ini

Hisyam Muhibah said...

suara belia harus terus didengari, peranan mereka harus diiktiraf

Post a Comment

Powered by Blogger.