23 May, 2011

Tidak Berdaftar Bukan Bermakna Beroperasi Secara Haram


Kita semua berkongsi rasa sedih dengan kejadian tanah runtuh yang mengorbankan nyawa anak-anak yang menjadi penghuni Rumah Anak-Anak Yatim dan Anak-Anak Kebajikan Madrasah Al-Taqwa di Hulu Langat. Kejadian yang berlaku semasa mereka sedang melakukan persiapan program itu telah mengorbankan 16 orang penghuni dan penjaganya manakala 9 lain yang tertimbus telah terselamat.

Marilah kita sama-sama sedekahkah bacaan Al-Fatihah, moga-moga anak-anak kecil dan penjaga mereka akan ditempatkan di tempat yang mulia di sisi Allah SWT.

Kebiasaannya mana-mana pihak yang mengendalikan rumah anak yatim terdiri daripada orang perseorangan, pertubuhan sosial-kebajikan dan juga NGO. Selain daripada yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) rumah anak-anak yatim yang lain beroperasi dengan dana sendiri hasil daripada sumbangan pelbagai pihak dan orang ramai.

Kebiasaannya juga, rumah-rumah anak yatim tidaklah dihuni oleh anak-anak yatim semata-mata. Ada yang bercampur dengan anak fakir miskin, anak tidak sah taraf, institusi tahfiz, dan lain-lain. Ini kerana, selain anak yatim, golongan lain yang memerlukan bantuan juga menjadi sasaran pihak pengelolanya.

Persoalannya, mengapa ada rumah anak yatim yang tidak berdaftar dengan JKM? Sudah tentulah banyak sebabnya. Kebanyakannya disebabkan oleh struktur bangunan itu sendiri samada bangunan wakaf, sumbangan ikhlas mahupun premis lama yang dibaik pulih. Maka, untuk dijadikan rumah anak yatim, sudah tentu ubah suai perlu dilakukan berdasarkan ruang yang sedia ada pada bangunan yang sedia ada itu juga.

Sedangkan, JKM sendiri sudah tentu ada spesifikasi tertentu yang perlu ditepati sebagai salah satu syarat untuk berdaftar dengan mereka. Kemungkinan spesifikasi tersebut yang tidak dapat dipenuhi, maka jawatankasa pengelola memilih untuk tidak (baca : tangguhkan) memohon untuk berdaftar dengan JKM. Maka, operasi diteruskan atas dasar tanggungjawab membela anak yatim,  beroperasi secara 'swasta' dan mencari dana sumbangan daripada pelbagai pihak untuk menyediakan tempat tinggal yang selesa serta makanan yang mencukupi.

Maka, tidak berdaftar dengan JKM bukanlah bermakna rumah-rumah anak yatim ini beroperasi secara haram. Kebanyakan rumah anak yatim dijadikan satu aktiviti khidmat masyarakat yang dikendalikan oleh sesebuah pertubuhan sosial-kebajikan ataupun NGO. Sudah tentu pertubuhan atau NGO tersebut sah berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan. Maka tidak timbul rumah anak-anak yatim ada yang beroperasi secara haram.

Saya juga percaya semua jawatankuasa pengelola rumah-rumah anak yatim memang mahu berdaftar dengan JKM. Ini bagi mendapat manafaat yang lebih banyak seperti bantuan kewangan per-kepala per-hari untuk menampung kos makan minum serta manfaat jaringan kerjasama yang lebih luas dengan agensi kerajaan itu mahupun dengan rumah anak yatim yang lain. Namun, disebabkan kekangan-kekangan tertentu seperti faktor bangunan dan lokasi, maka hasrat tersebut ditangguhkan dahulu.

Dalam masa yang sama, sumbangan ikhlas orang ramai samada kewangan, barangan, mahupun sokongan motivasi adalah tidak mengira samada rumah anak yatim tersebut berdaftar dengan JKM atau tidak. Semua sumbangan diterima dengan tangan terbuka dan didoakan semula kesejahteraan pihak penyumbang itu.

Mungkin juga saya cadangkan supaya JKM boleh mewujudkan satu lagi kategori pendaftaran kepada rumah-rumah anak yatim atau rumah kebajikan yang lain. Selain rumah anak yatim atau rumah kebajikan yang berdaftar penuh dengan JKM (mendapat bantuan per-kepala per-hari) elok juga diwujudkan kategori yang berdaftar separuh dengan JKM. Bantuan daripada JKM adalah berbentuk one-off diberikan sekali setahun untuk tujuan pengurusan. Jumlahnya juga adalah seragam untuk semua pemohon. Selain manafaat bantuan, JKM juga boleh mengemaskinikan data rumah-rumah anak yatim atau rumah kebajikan yang wujud di seluruh negara. Data ini kemudiannya akan memudahkan pula para penyumbang yang sangat banyak di negara kita ini.

Untuk rekod, saya dan rakan-rakan mengendalikan rumah anak yatim puteri Baitul Husna yang lokasinya di Bukit Sekilau, Kuantan. BH belum lagi berdaftar dengan JKM dan kami sebagai Jawatankuasa Pengelola memang mempunyai hasrat ke arah itu juga. Anda semua dijemput untuk melayari laman blog http://baitulhusnabukitsekilau.blogspot.com atau di Facebook : Baitul Husna Bukit Sekilau.





7 maklum balas:

smtabi'in said...

assalamualaikum sheikh... apa kabar,

sedih mendengar berita tentang kejadian ini, namun hati bertambah sedih apabila berlaku saling tuding jadi sesama kita ketika musibah ini sudah berlaku, dan saya fikir sekiranya musibah ini tidak berlaku sekalipun, mereka yang menuding jari tu tidak akan ambil tahu pun apa yang dilakukan dan diusahakan di premis tersebut... tiap kalai berlaku malapetaka seperti ini, lagu bangau oh bangau akan sentiasa berkumandang....

akuanakpahang said...

Salam sahabat, ttp simpati dgn apa telah terjadi alfatihah dan takziah buat mereka semua.

suri said...

nasib mereka perlu dibela..sb mrka ada hal utk dpat apa yg org lain dapat..

tak wajar d pinggirkan.jabatan kerjaan juga pelu pandang hal ni dg lebih seris lagi..

wanUSJ said...

Sesungguhnya Allah lebih menyayangi mereka.. Moga roh-roh mereka yang terkorban ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.. Amin

Miecyber said...

Cara agensi kerajaan nak lepas tangan...

Gambar Anak Yatim & Anak Kebajikan Madrasah Al-Taqwa Sejurus Sebelum Kejadian Tanah Runtuh

Seindah CiptaanNya said...

perkara 'tunding menuding' mmg dijangka berlaku...erm..melalu pemerhatian saya dalam surat khabar kerajaan baru2 ni mengatakan bangunan ni tiada sijil CF,yg peliknya..bangunan itu dipersalahkan..walhal,menurut pakar bencana yg turut berada disana,kejadian berpunca dr dua faktor utama iaitu faktor jenis tanah bukit itu dan terdapat aktiviti2 di atas bukit berkenaan..Allahuakbar..

Fasya Abadie said...

sedih. al-fatihah kepada mangsa :(

Post a Comment

Powered by Blogger.