04 June, 2011

Menjunjung Adab Mengundang Dan Menghadiri Jemputan


Cuti sekolah tiba lagi. Ini bermakna musim kenduri kahwin juga akan diadakan di sana sini. Sehinggakan dalam hari yang sama, lebih daripada dua undangan akan diterima untuk meraikan majlis perkahwinan. Sudah tentu, kita sebagai umat Islam perlu mematuhi adab-adab yang telah digariskan agama.

Maklumat berikut disesuaikan daripada laman Kementerian Hal Ehwal Ugama Kerajaan Negara Brunei Darussalam dalam teks khutbah yang bertajuk Adab Mengundang Jemputan.

Adab-adab yang perlu dipatuhi oleh orang yang mengundang :

  1. hendaklah tidak membezakan kedudukan mereka yang diundang samada golongan kaya atau golongan miskin. Rasulullah SAW ada menyatakan dalam sabda baginda maksudnya:

    "Dari Abi Hurairah Radiallahu Anha ia berkata: Seburuk-buruk makanan ialah makanan walimah yang dijemput orang-orang kaya sahaja dan ditinggalkan orang-orang miskin" (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)

  2. niat menjemput pula hendaklah semata-mata untuk merapatkan hubungan silaturrahim, bukan untuk lain-lainnya seperti hendak berbangga-bangga dan bermegah-megah
  3. hendaklah jangan mengundang orang yang memang sukar untuk menerima undangan, begitu juga orang yang diketahui kehadirannya akan merosakkan dan menghuru-harakan majlis yang diadakan.
Manakala adab bagi orang yang menerima undangan pula ada lima iaitu:
  1. Tidak membezakan undangan, baik undangan tersebut datangnya daripada orang kaya ataupun orang miskin, kerana perbuatan itu dilarang dalam Islam.
  2. Tidak menolak sesuatu undangan hanya disebabkan alasan jauh.
  3. Tidak menolak sesuatu undangan hanya kerana ia berpuasa, tetapi adalah lebih baik ia menghadirinya. Jika ia hanya berpuasa sunat, ia dibolehkan berbuka dan tetap mendapat pahala jika niatnya berbuka itu untuk menyenangkan hati dan mengembirakan tuan rumah. Tetapi jika ia berpuasa wajib seperti puasa qada', maka tidaklah boleh ia berbuka.
  4. Menolak undangan jika diketahuinya makanan yang dihidangkan dari barang yang syubahat dan haram, ataupun dimajlis itu diadakan berbagai-bagai kemungkaran seperti hiburan yang diharamkan oleh syarak, ataupun orang yang mengundang itu bersifat zalim atau fasik atau suka bermegah dan membesar diri.
  5. Janganlah hendaknya menerima undangan itu dengan niat untuk memuaskan kehendak perut, bahkan hendaklah ia memperbanyakkan niatnya dengan tujuan baik seperti mengikut sunah Rasulullah SAW, memuliakan tuan rumah, menjaga hati serta perasaan saudaranya dan sebagainya.
Seterusnya ialah adab dalam menyediakan jamuan dan makanan kepada tetamu :
  1. menyegerakan untuk menikmati hidangan jika jemputan telah ramai dan tetamu yang belum hadir hanya sedikit sedangkan waktu yang telah ditetapkan telah berlalu.
  2. Makanan yang dihidangkan pula hendaklah sekadar mencukupi, jangan sampai membazir, kerana perbuatan sedemikian boleh dikategorikan sebagai riak.
  3. jangan pula sampai tidak mencukup kerana ia merupakan perbuatan kurang sopan
  4. hidangan yang dihidang janganlah diangkat atau dikemas melainkan setelah semua jemputan selesai makan.
Berikut adalah adab-adab tetamu semasa menghadapi hidangan jamuan :
  1. Dilarang memilih tempat duduk seperti duduk ditempat yang ditetapkan oleh tuan rumah untuk orang yang tertentu, tetapi hendaklah merendah diri dan duduk di tempat yang disediakan
  2. Memberi salam serta bertanya khabar pada orang-orang yang duduk berhampiran dengannya, kerana dengan itu kemesraan boleh terjalin
  3. Jangan duduk terlalu lama sedangkan majlis telah selesai, dan jangan pula bersegera hendak pulang sehingga tuan rumah tergesa-gesa untuk menghidangkan jamuan
  4. Apabila telah dijamu untuk makan, hendaklah mendahulukan orang yang lebih utama serta orang-orang tua.
  5. Apabila mengambil makanan hendaklah mengikut giliran dan janganlah mengambil terlalu lama sehingga orang lain tertunggu-tunggu.
  6. Apabila makan hendaklah bersederhana tidak berlebihan sehingga tidak mencukupi untuk orang lain, amalkanlah sifat berampit-ampitan.
  7. Janganlah menyebut atau melakukan sesuatu yang boleh menjijikan orang lain sehingga menyebabkan orang lain tidak ada selera untuk makan.



2 maklum balas:

Che Mid said...

salam kenal... saya follow

Yastro said...

Musim kenduri kendara nih...tp koi tgk skg majlis kawen ni agak mahai laa....bebaru ni kawan koi nk kawen...hantaran je 15k...lom campur yg len2...pengsan woo camni...seb bek koi dh lepas...:)

Post a Comment

Powered by Blogger.