22 July, 2011

Pasca Perhimpunan Bersih 2.0; Mengekalkan Momentum Masing-Masing

Esok akan masuk minggu kedua perhimpunan Bersih 2.0 telah diadakan di Kuala Lumpur. Tidak perlu diceritakan tentang perinciannya kerana semua sudah sedia maklum. Laporan, gambar, video boleh diakses dengan mudah di Internet. Cumanya, versi mana yang dipilih. Adakah versi kerajaan atau versi peserta perhimpunan.

Sudah tentu perhimpunan Bersih 2.0 mempunyai impaknya yang tersendiri. Tidak keterlaluan jika dikatakan kesan daripada Bersih 2007, momentumnya mempengaruhi pola pengundian semasa PRU12 lalu. Hasilnya, suara pembangkang semakin kuat dan menguasai kerajaan-kerajaan negeri yang mereka menangi.

Samalah juga dengan perhimpunan Bersih 2.0. Semua pihak akan membuat pemerhatian berterusan dan pastilah penamatnya ialah pada PRU13 yang akan berlaku pada bila-bila masa sahaja sekarang ini. Ukuran kejayaan perhimpunan Bersih 2.0 akan dilihat pada keputusan PRU13 nanti. Ini bermakna, dalam menuju tarikh PRU13 yang masih misteri, kesemua pihak perlu mengekalkan momentum supaya impaknya akan dapat dilihat pada PRU13 nanti.

Secara mudahnya, dua pihak yang terlibat dalam Bersih 2.0 ialah penganjurnya iaitu 62 NGO dan didokongi oleh parti-parti politik pembangkang. Satu pihak lagi ialah kerajaan yang merangkumi SPR dan PDRM.

Pihak penganjur dilihat akan terus mengekalkan momentum Bersih 2.0 dengan siri-siri ceramah, dialog dan forum. Mini demonstrasi secara susulan juga diadakan. Laman-laman web dan blog terus mengulas isu ini daripada mereka. Matlamatnya mudah, memberikan mesej bahawa sistem pilihanraya negara diminta supaya diubah berdasarkan 8 tuntutan yang mereka buat itu.

Di pihak kerajaan pula, momentum juga perlu dikekalkan. Ini dilihat dari aspek memberikan gambaran sebenar daripada perspektif mereka untuk mengatakan bahawa perhimpunan Bersih 2.0 adalah tetap haram. Tuntutan sudah dipenuhi dan sistem pilihanraya sudah ada penambahbaikan. Komen orang ramai yang mengeluh mengenai kesusahan mereka semasa hari kejadian juga ditayangkan. Ini bagi memastikan tanggapan orang ramai terhadap perhimpunan Bersih 2.0 adalah negatif.

Terbaharu ialah pendedahan polis melalui klip-klip video yang mendedahkan gambaran sebenar bagaimana polis menangani para demonstran semasa hari kejadian.

Hakikatnya, kedua-dua pihak perlu memastikan perhimpunan Bersih 2.0 lalu akan memberikan manafaat kepada mereka. Sudah pastilah, keputusan PRU13 nanti akan turut dipengaruhi oleh perhimpunan Bersih 2.0 ini juga. Menuju PRU13, negara kita akan terus berwarna warni dengan cerita-cerita politik yang ada kalanya sangat menarik, ada kalanya sangat menjengkelkan.



2 maklum balas:

Yastro said...

Aku tak suka cara berdemo..terpulangla pd pandangan org lain. Yg penting bg aku pemimpin yg nak dipilih ialah dikalangan org2 islam. Tu je...jgn le dok ikut sgt org2 kapir tu...
"biar kita jadi pencatur...jgn kita jadi buahnya."

Pacifist said...

salam ziarah.
frasa "taat kepada pemerintah" memberi banyak konotasi.iaitu taat yg bagaimana dibenarkan dlm Islam.
1)adakah semata2 dia menjadi pemimpin kita.kita kena taat sepenuhnya/akur dgn segala tindak tanduknya?
2)adakah semata2 dia mengucap 2 kalimah syahadah sama spt kita sudah cukup menjadikan dia seorang
Islam yg sempurna?
inilah nasib yg menimpa kebanyakkan negara umat Islam di dunia.Apabila pemimpinnya seorang Islam
dan mengucap 2 kalimah syahadah spt kita ttp tindak tanduk tiada beza dgn pemimpin kafir.Dan ulama berselisih pendapat bagaimana menghadapi pemimpin jenis ini.
-ada yg akur kerana dia (spt no 1 dan 2 diatas)
-ada yg menentang pemerintah dlm konsep demokrasi (pilihanraya)
-ada golongan yg kononnya mengikut sunnah nabi.Menunggu kekuasaan diserahkan kpd mereka(tanpa berbuat apa) utk mewujudkan sistem khalifah
-ada golongan yg asyik dgn kerohanian tanpa mempedulikan konsep kenegaraan Islam konon apa2 di luar lingkungan mereka telah mewujudkan pepecahan sesama Islam.
-ada golongan yg tidak menghiraukan langsung apa -apa,janji dpt hidup,tidur, makan
kesimpulan,pepecahan sesuatu yg tidak dpt dielakkan.sejak awal penciptaan manusia telah terjadinya pepecahan.tiada yg akan bersatu kecuali dgn iktikad yg diyakini.berpecah dr golongan yg batil menuju golongan yg hak.Wallahua'lam

Post a Comment

Powered by Blogger.